Semasa saya membeli belah di Uniqlo Manchester di United Kingdom, saya perasan satu teknologi yang sangat menarik di kaunter layan diri Uniqlo. Biasanya, kita perlu mengimbas kod bar barang yang kita mahu beli. Tetapi, dengan teknologi baru kaunter layan diri pintar Uniqlo, pengguna hanya perlu meletakkan barang mereka dalam satu ruangan, dan mesin tersebut dengan cepat sekali dapat menentukan barang apa yang dibeli. Lebih menarik lagi, walaupun anda meletakkan banyak barang, mesin tersebut mampu menentukan semua barang yang dibeli. Ini sangat memudahkan pengguna.

Teknologi baru kaunter pembayaran layan diri pintar Uniqlo
Penggunaan hanya perlu meletakkan barang mereka di ruangan kanan di dalam gambar.

Pendigitalan dalam Uniqlo

Dalam industri fesyen, ianya penting untuk memberikan produk fesyen terkini kepada pelanggan secepat yang mungkin. Untuk menyelesaikan masalah ini, Uniqlo telah lama melaksanakan Industri 4.0 dalam industri mereka. Terdapat sembilan tiang dalam Industri 4.0 seperti yang dinyatakan di dalam artikel sebelum ini. Beberapa elemen tersebut yang diimplementasikan seperti teknologi Cloud, IoT dan Analitik data.

Pada tahun 2015 contohnya, Uniqlo bekerjasama dengan Accenture untuk membina platform yang berasaskan Cloud untuk meningkatkan keseluruan rantaian bekalannya dan memberi servis yang baik kepada pelanggan. Satu lagi peluang yang dilihat oleh Uniqlo adalah peningkatan dalam kedai atas talian (online store) lebih-lebih lagi di dalam era pandemik yang tidak menentu. Penggunaan Artificial Intelligence juga digunakan di dalam inventori gudang mereka. Teknologi ini mengurangkan inventori berlebihan, seterusnya mengurangkan kan kos. Pengurusan inventori yang baik juga mengelakkan syarikat tersebut mengurangkan harga untuk barangan yang tidak terjual.

Teknologi kaunter layan diri Uniqlo pula menggunakan teknologi RFID dan AI. Pada November 2017, Tadashi Yanai, pengasas Uniqlo mengumumkan penggunaan teknologi cip RFID dalam bisnesnya untuk menjimatkan masa pengguna semasa membuat pembayaran. Inisiatif tersebut mampu mengurangkan masa pelanggan sebanyak sepuluh kali ganda sungguhpun menelan belanja menjangkau berbilion yen.

Teknologi yang digunakan

Teknologi yang digunakan ialah RFID (Radio Frequency Identification) atau dalam bahasa kita dipanggil Teknologi Pengecaman Frekuensi Radio.

Apakah itu Radio Frekuensi?

Radio yang digunakan dalam kereta ataupun set radio lama dikampung juga menggunakan teknologi radio frekuensi. Radio frekuensi ialah satu gelombang elektromagnet yang berada dalam spektrum elektromagnet kita. X-ray yang digunakan di hospital-hospital untuk melihat keadaan dalam badan anda juga salah satu gelombang elektromagnet. Juga, contoh paling mudah ialah cahaya. Cahaya juga merupakan gelombang elektromagnet. Setiap aplikasi yang menggunakan gelombang elektromagnet mempunyai frekuensi tertentu. Contohnya, teknologi X-ray mempunyai frekuensi 3×1019 hingga 3×1016 Hz. Manakala, teknologi RFID menggunakan frekuensi 300 hingga 1000 MHz.

Spektrum cahaya yang boleh dilihat
Cahaya merupakan satu-satunya gelombang elektromagnet yang boleh dilihat manusia.

Bagaimana RFID tag Uniqlo tersebut berfungsi?

Pada setiap produk yang berada di dalam Uniqlo, terdapat tag yang mampu mengeluarkan radio frekuensi jika ia berada dalam medan elektromagnet. Medan elektromagnet tersebut dikeluarkan oleh kaunter pembayaran layan diri. Setiap tag RFID mempunyai chip unik untuk setiap produk. Maka, tag RFID tersebut mengeluarkan ID yang unik untuk setiap baju. Dalam terma kejuruteraan elektronik, ianya dipanggil ‘Load Manipulation’. Apa yang lagi menarik ialah, mesin pembaca RFID tersebut mampu membaca kesemua barang yang diletak tanpa ada pertembungan elektromagnet antara tag RFID baju yang berlainan, atau kita panggil ‘Inteference’. Pengguna hanya perlu meletakkan semua barang yang mahu dibeli ke dalam ruangan khas dan hanya sekelip mata, mesin tersebut mampu mengenal pasti barang yang anda beli.

Teknologi baru kaunter pembayaran layan diri pintar Uniqlo
Terdapat dua elemen penting: Tag RFID dan medan radio frekuensi

Kesimpulan

Pendigitalan dalam industri fesyen memudahkan pengguna sungguhpun syarikat perlu membelanjakan bilion dollar untuk meningkatkan infrastruktur IT mereka. Ini merupakan salah satu cabaran dalam pelaksanaan Industri 4.0. Penggunaan kaunter layan diri pintar oleh Uniqlo ini bukan sahaja memudahkan pengguna, namun ianya juga boleh menjadi salah satu strategi pemasaran kerana Uniqlo antara industri fesyen pantas yang terawal menggunakan teknologi ini.

Rujukan

https://digital.hbs.edu/platform-rctom/submission/uniqlo-bridging-the-physical-world-of-apparel-with-the-digital-world/

www.howstuffworks.com

www.fastretailing.com

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *