Jenis-jenis asas (foundation) dalam pembinaan4 min read

3

Terdapat beberapa jenis asas dalam pembinaan. Asas (Foundation) boleh dikategorikan kepada dua: asas cetek dan asas dalam. Dalam Bahasa Inggeris, kita gunakan frasa shallow foundation dan deep foundation. Fungsi asas ialah untuk memindahkan beban daripada struktur ke tanah.

Asas cetek (shallow foundation)

Jenis-jenis asas cetek.
Jenis-jenis asas cetek (Sumber: Construction Cost Estimating)

Seperti namanya, asas cetek hanya memindahkan beban struktur ke permukaan tanah atau near-surface soils. Kebiasaannya, asas cetek digunakan untuk bangunan yang bersaiz kecil hingga sederhana. Selain daripada saiz bangunan, keadaan permukaan tanah juga memainkan peranan. Contohnya, sekiranya terdapat batuan dasar (bedrock) yang cetek, asas cetek juga boleh digunakan untuk bangunan yang besar. Sekiranya keadaan permukaan tanah adalah tidak baik tetapi telah diubah suai menggunakan teknik pembaikan tanah, maka asas cetek juga boleh digunakan. Contoh-contoh teknik pembaikan tanah ialah penyingkiran dan pemadatan semula (removal and recompaction), penurapan pemadatan (compaction grouting) dan pencampuran tanah (soil mixing).

Pembinaan asas cetek kebiasannya mudah dan hanya menelan belanja yang rendah jika dibandingkan dengan pembinaan asas dalam. Beberapa jenis asas cetek ialah spread footing, strip foundation, mat or raft foundation dan combined foundation.

Asas dalam

Jenis-jenis asas dalam adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti jenis bahan, kaedah pemindahan beban, kaedah pemasangan dan kegunaan
Jenis-jenis asas dalam (Sumber: Civil Lead)
Jenis-jenis asas dalam
Jenis-jenis asas dalam (Sumber: Civil Seek)

Asas dalam memindahkan beban struktur ke tanah yang lebih dalam. Jika dibandingkan dengan asas cetek, pembinaan asas dalam lebih mahal dan lebih rumit. Oleh kerana keupayaan galas tanah (soil bearing capacity) meningkat dengan kedalaman, asas dalam kebiasaannya memiliki kapasiti beban struktur yang lebih tinggi berbanding asas cetek. Oleh itu, asas dalam akan digunakan apabila keadaan tanah di permukaan kurang elok misalnya tanah liat lembut (soft clay). Selain itu, asas dalam juga turut digunakan jika beban struktur tinggi dan kapasiti beban sisi yang tinggi diperlukan.

Jenis-jenis asas dalam adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kaedah pemasangan, bahan yang digunakan, keratan rentas dan fungsi.

Faktor utama yang mempengaruhi pemilihan asas

Pemilihan jenis asas dalam pembinaan adalah bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya ialah:

1. Beban

Beban ialah salah satu faktor yang mempengaruhi pemilihan asas
Jenis-jenis beban (Sumber: Civil Engineering Forum)

Beban ialah gabungan daripada beban mati (dead load) dan beban kenaan (imposed load). Selain itu, beban angin (wind load), beban gempa bumi (earthquake load) dan lain-lain lagi juga perlu dipertimbangkan mengikut lokasi.

Jumlah beban bergantung kepada jenis struktur, saiz struktur dan bahan-bahan pembinaan. Apabila jumlah tingkat struktur bertambah, maka beban mati dan beban kenaan juga akan meningkat. Pilihan bahan untuk pembinaan seperti konkrit tetulang (reinforced concrete) atau pembinaan keluli (steel) juga memberi kesan pada asas. Bangunan konkrit tetulang memberikan lebih banyak beban pada asas berbanding dengan struktur keluli.

2. Jenis tanah

Komposisi tanah memainkan peranan penting dalam pemilihan asas
Komposisi tanah (Sumber: Soil Mechanics and Foundation
Engineering)

Tanah ialah campuran daripada pepejal, udara dan kelembapan. Terdapat pelbagai jenis tanah, antaranya ialah tanah liat, tanah berpasir dan lain-lain. Penyiasatan tanah harus dilakukan untuk mengetahui sifat tanah, kedalaman permukaan air, jenis tanah, kedalaman lapisan tanah yang berlainan, daya tahan tanah pada kedalaman yang berbeza untuk struktur besar dan struktur atau bahaya yang terdapat di dalam tanah.

Apabila beban dipindahkan daripada struktur ke tanah melalui asas, tanah mempunyai kecenderungan untuk bersatu (consolidate) dan akhirnya petempatan (settlement) asas berlaku. Proses penyatuan (consolidation) berlaku dengan segera sekiranya tanah tidak padat misalnya tanah berpasir. Untuk jenis tanah yang padat, proses penyatuan boleh mengambil masa hingga bertahun-tahun lamanya.

Selain daripada dua faktor utama ini, kita juga perlu mengambil kira beberapa faktor lain seperti lokasi, jenis struktur di persekitaran, kos dan pelaksanaan (execution) di tapak pembinaan.

Tentang Penulis

3 thoughts on “Jenis-jenis asas (foundation) dalam pembinaan4 min read

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *