Apakah kelebihan yang dibawa oleh HDR untuk TV?7 min read

1

Ciri-ciri televisyen moden kini dilengkapi dengan teknologi HDR atau High Dynamic Range. Jika kita sedang dalam fasa memilih TV untuk dijadikan alat hiburan di rumah, kalian pasti akan memilih TV yang mempunyai ciri ini walaupun kita tidak terlalu faham sisi teknikalnya.

Teknologi HDR kini sudah terlalu ‘common’ dalam kalangan TV yang mempunyai spesifikasi yang tinggi mahupun spesifikasi rendah. Malah, kini sudah banyak servis aliran hiburan seperti Netflix, Apple + dan sebagainya juga telah menggunakan teknologi ini.

Apakah itu High Dynamic Range (HDR)?

Contoh gambar yang menggunakan ciri High Dynamic Range (HDR). Gambar: Samsung

HDR sangat membantu sesebuah TV tersebut untuk memaparkan perbezaan yang besar di antara warna gelap dan warna cerah. Selain itu, ia juga mampu menawarkan warna yang lebih tepat dan pelbagai untuk menyerupai warna sebenar.

Namun, ia bukan bermaksud skrin itu dipaparkan dengan kecerahan yang tinggi semata-mata tetapi ia juga mengekalkan perincian dan kualiti sesuatu objek tersebut. Sama seperti apabila skrin itu digelapkan dimana kegelapan yang dihasilkan juga tidak menyembunyikan perincian atau kualiti objek.

Fungsi High Dynamic Range ini sangat membantu kepada teknologi skrin 4K atau skrin yang mempunyai resolusi pixel 3840 x 2160. Hal ini kerana skrin 4K ini mempunyai 4 kali ganda jumlah pixel berbanding sebuah HDTV yang biasa.

Dengan kata mudah, teknologi 4K menunjukkan kuantiti pixel tetapi teknologi HDR pula menunjukkan kualiti pixel tersebut.

Jenis-jenis HDR

Teknologi High Dynamic Range mempunyai kepelbagaian format di dalam industri. Antara salah satunya adalah Dolby Vision, HDR10, HDR10+ dan Hybrid Log Gamma (HLG).

Dolby Vision

Dolby Vision merupakan format HDR yang tersendiri oleh syarikat Dolby itu sendiri. Jika sesuatu media atau skrin ingin menggunakan Dolby Vision ini maka mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada Dolby.

Kandungan daripada Dolby Vision menggunakan teknik metadata dinamik dimana sesuatu kandungan tersebut akan memberikan arahan kepada HDR TV iaitu apa kecerahan cahaya dan warna yang diperlukan berdasarkan keupayaan maksima televisyen tersebut.

HDR 10

HDR10 merupakan piawaian yang telah ditetapkan oleh UHD Alliance. Ia menggunakan teknik metadata statik yang konsisten kepada semua skrin. Selain itu, HDR10 juga menetapkan tahap warna dan pencahayaan dengan maksimum. Ia juga merupakan piawaian terbuka maka setiap pengeluar boleh menetapkan ssecara bebas dengan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dalam HDR10.

HDR10+

HDR10+ pula merupakan piawaian yang telah ditetapkan oleh Samsung. Ia merupakan tambahan kepada HDR10 yang sedia ada dengan menggunakan teknik metadata dinamik. Ia juga merupakan piawaian yang terbuka sama seperti HDR10.

Hybrid Log Gamma (HLG)

Hybrid Log Gamma ini tidak digunakan secara meluas namun menawarkan pilihan yang pelbagai untuk HDR. Teknologi ini hanya digunakan di beberapa saluran di BBC dan DirecTV. Selain itu, teknologi ini juga khusus dibuat oleh syarikat NHK dan BBC untuk menghasilkan format video dalam High Dynamic Range.

HLG tidak menggunakan teknik metadata langsung sebaliknya menggabungkan lengkung gamma dan lengkung logaritma untuk mengira berapa banyak cahaya yang berupaya dihasilkan oleh Tv itu. Namun, aplikasi teknologi ini susah untuk digunakan di pelbagai medium serta masih belum lagi teknologi ini diguna pakai secara langsung oleh syarikat penyiar.

HDR TV dan Foto HDR

Buat pengetahuan semua, aspek yang paling penting berkenaan teknologi High Dynamic Range ini ialah HDR untuk Tv dan Foto HDR adalah tidak sama. Ianya ibarat terma sukan ‘football’ dimana orang Amerika dan orang Eropah mentafsirkan terma itu berbeza. Mari kita lihat definisi HDR yang berbeza untuk Tv dan fotografi.

  • TV HDR: Mengembangkan lagi ratio kontras dan warna untuk menghasilkan imej yang lebih natural dan realistik.
  • FOTO HDR: Menggabungkan beberapa imej yang berbeza ‘exposure’ untuk menghasilkan satu imej yang cantik.

Jika dibandingkan antara Tv dan foto, sudah jelas bahawa High Dynamic Range untuk Tv menghasilkan gambar yang lebih cantik kerana ia melibatkan ratio kontras dan warna manakala foto pula hanya melibatkan ‘exposure’ yang digabungkan.

Bagaimana HDR berfungsi?

Fungsi Electro-Optical Transfer

Electro-Optical Transfer Function (EOTF) merupakan salah satu teknologi yang diguna pakai untuk HDR. Walaubagaimanapun, ia tidak serumit seperti namanya. Ia sebenarnya hanyalah nilai elektronik yang menunjukkan kecerahan pada Tv anda.

Sebagai contoh, nilai 768 pada Tv daripada peranti HDR Blu-Ray bersamaan dengan 2 nits (unit cahaya).

Sebelum HDR diperkenalkan, fungsi pencahayaan pada skrin Tv adalah tidak menentu. Sebagai contoh, jika peranti HDR Blu-Ray memberi signal kepada sesebuah Tv untuk memancarkan 100% cahaya putih yang cerah namun Tv tersebut hanya mampu memancarkan cahaya yang telah ditetapkan sahaja. Selain itu, nilai pencahayaan juga tidak diberi spesifikasi.

Oleh hal yang demikian, fungsi EOTF telah mengubah kekurangan tersebut dimana HDR Tv mampu memancarkan cahaya yang lebih cerah.

Ratio Kontras

Ratio kontras juga membawa maksud yang sama seperti ‘dynamic range’ atau perbezaan cahaya di antara warna yang cerah dan warna yang gelap. Seperti yang terdapat pada namanya, High Dynamic Range (HDR) juga bermaksud ciri ‘dynamic range’ yang lebih luas.

Tetapi teknologi ini juga bukan bergantung kepada kecerahan kepada seluruh skrin sahaja namun lebih berfokus kepada beberapa bahagian. Namun, keupayaan spesifikasi pada Tv hanya menyumbang kepada separuh daripada fungsi tersebut. Ini bermakna separuh lagi adalah bergantung kepada kandungan media tersebut.

Tv HD yang normal kebiasaannya mempunyai 8 bits. Ini bermaksud bahawa Tv tersebut mempunyai 8 tahap kecerahan yang ia boleh capai. Manakala pula, HDR Tv mempunyai 10 bit.

8 bit mempunyai 256 warna manakala 10 bit pula ialah 1024 warna. Lagi banyak warna bermakna lagi banyak ruang ia untuk memaparkan cahaya yang lebih cerah.

Warna

Teknologi HDR yang terkini juga dilengkapi dengan fungsi WCG iaitu Wide Colour Garmut untuk menambahkan lagi warna untuk paparan. Buat pengetahuan semua, fungsi WCG ini telah diperkenalkan dan dipopularkan oleh syarikat Apple semasa pelancaran iPhone 8.

graf hdr
Graf warna. Gambar: CNET

Berdasarkan daripada graf-graf ini, ia menunjukkan perbezaan keluasan warna yang digunakan. Segi tiga kecil itu merupakan keupayaan teknologi SDR atau Rec.709, iaitu teknologi warna untuk Tv yang lama. Kedua-dua segi tiga yang lebih besar daripada SDR ialah sebahagian daripada teknologi HDR iaitu DCI-P3 dan Rec 2020. DCI-P3 merupakan piawaian terkini keupayaan skrin. Kebiasaan peratusan yang menunjukkan keupayaan maksimum DCI-P3 ialah dalam lingkungan 95%-100%. Manakala Rec.2020 merupakan piawaian yang terbaru namun masih belum lagi digunakan di skrin secara komersial.

perbezaan jenis hdr
Graf-graf yang menunjukkan keluasan warna yang berbeza. Gambar: PCmag

Kelebihan fungsi WCG ialah warna-warna asas seperti merah hijau dan biru akan menjadi lebih mendalam atau ‘kaya’. Selain itu, banyak warna-warna baharu dapat dihasilkan seperti deep purple, ‘fire-truck red’ dan sebagainya.

Peranti yang menyokong HDR

Pada era globalisasi ini, penggunaan High Dynamic Rage kini makin meluas. Bukan sahaja di Tv malah peranti telefon pintar moden kini juga sudah menjadikan ciri ini sebagai piawaian asas. Selain itu, aplikasi Youtube, Google Play, iTunes dan Netflix juga sudah membenarkan ciri ini diguna pakai di kandungannya. Antara telefon pintar terkini yang menyokong fungsi ini adalah Samsung S10, iPhone XS, LG V30 dan bermacam-macam lagi.

Selain itu, Tv 4K juga sudah banyak yang menyokong fungsi ini. Namun demikian, bukan semua Tv 4K lebih-lebih lagi model tahun lama yang menyokong fungsi ini. Jika Tv anda tidak menyokong fungsi ini, maka anda tidak dapat menikmati gambar atau video yang cantik.

Graf yang menunjukkan peratus penghantaran Tv High Dynamic Range ke seluruh pelosok dunia.

Adakah HDR berbaloi?

Kita sudah mengambil maklum bahawa teknologi ini sudah terbukti untuk menghasilkan warna yang cantik disamping kontras yang hebat jika dibandingkan dengan teknologi lama iaitu Standard Dynamic Range (SDR) sejak sekian lama. Ia juga merupakan salah satu fungsi ‘game-changer’ untuk hiburan moden lebih-lebih lagi apabila ia didampingi dengan skrin 4K.

Rujukan

https://www.cnet.com/news/how-hdr-works/

www.techradar.com

https://www.cnet.com/news/dolby-vision-hdr10-advanced-hdr-and-hlg-hdr-formats-explained/

https://www.bijlibachao.com/television-tv/wide-color-gamut-wcg-improves-picture-quality.html

Tentang Penulis

1 thought on “Apakah kelebihan yang dibawa oleh HDR untuk TV?7 min read

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *