Apakah itu komputer papan tunggal?5 min read
Apabila kita bercakap tentang komputer, mesti komputer persendirian atau desktop computer yang bersaiz besar muncul dalam fikiran kita. Paling tidak pun, komputer riba yang lebih kecil yang akan anda terfikir. Namun, tahukah anda, terdapat juga komputer yang lagi kecil dan ringkas wujud dalam dunia ini dan saiz komputer tersebut boleh menjadi sekecil saiz kad kredit! Komputer ini dipanggil sebagai komputer papan tunggal. Apakah itu komputer papan tunggal? Kenapa kita jarang melihat komputer sekecil ini?
Maksud komputer papan tunggal
Seperti kita tahu, sebuah komputer mempunyai unit pemprosesan pusat (CPU), unit pemprosesan grafik (GPU), memori, storan komputer, peranti input dan output pada papan litar berlainan. Kesemuanya disambungkan pada papan induk (motherboard) melalui soket yang ada.
Komputer papan tunggal mempunyai kesemua unsur yang sebuah komputer biasa ada, namun hanya pada sebuah papan tunggal. Dalam erti kata lain, CPU, GPU, memori dan storan komputer komputer papan tunggal terdapat dalam satu papan litar yang sama. Komputer papan tunggal tidak bergantung pada slot pengembangan untuk fungsi periferal, yang menjadikan perbezaan ketara daripada komputer peribadi dan komputer riba. Oleh itu, membuatkan saiznya lebih kecil berbanding komputer peribadi biasa.
Kegunaan komputer papan tunggal
Komputer papan tunggal kerap digunakan di dalam aplikasi sistem terbenam (embedded system) . Sistem terbenam adalah sebuah sistem komputer yang terletak di dalam sistem yang lebih besar seperti sistem mekanikal dan elektrik untuk mengawal fizikal atau operasi sistem tersebut. Dalam erti kata lain, sistem terbenam berfungsi sebagai otak kepada sesebuah sistem yang lebih besar.
Contohnya komputer dalam kenderaan anda seperti Unit Kawalan Elektronik (ECU) menggunakan komputer papan tunggal sebagai otak untuk mengawal sistem elektrikal dan subsistem dalam kenderaan seperti sistem kawalan enjin, gear, brek (ABS), kestabilan (ESC) dan lain-lain lagi.
Selain daripada kereta, kapal terbang juga menggunakan sistem terbenam yang lebih rumit berbanding kereta. Sistem elektronik tersebut dipanggil avionik yang merangkumi sistem komunikasi, navigasi dan paparan pada kapal terbang. Semestinya komputer papan tunggal diperlukan dalam sistem ini.
Contoh diatas merupakan contoh kegunaan komputer papan tunggal dalam industri. Selain itu, komputer jenis ini juga boleh digunakan dalam aplikasi yang lebih ringkas contohnya dalam robotik, sistem rumah pintar, pelayan media, pelayan NAS dan juga sebagai home server. Terdapat beberapa komputer papan tunggal yang mudah digunakan untuk pembelajaran yang terjual di pasaran. Contoh komputer papan tunggal ini saya sertakan di akhir artikel ini.
Sistem pengendalian (OS) yang digunakan oleh komputer papan tunggal
Seperti kita tahu, kebanyakkan komputer peribadi yang kita lihat menggunakan sistem pengendalian Windows dan iOS. Terdapat juga sistem perisian yang lain pada komputer peribadi seperti Linux OS yang biasa digunakan oleh “computer geek“. Pada komputer papan tunggal pula, banyak jenis sistem perisian yang boleh digunakan seperti Linux OS, Debian OS, Ubuntu OS, Android dan juga Windows OS. Komputer persendirian anda juga boleh menggunakan perisian OS yang komputer papan tunggal gunakan kerana kedua-dua tersebut adalah komputer. Namun, komputer papan tunggal kebiasannya menggunakan Linux OS kerana lebih sesuai untuk aplikasi sistem terbenam (embedded system).
Contoh komputer papan tunggal
Kita telah tahu apakah itu komputer papan tunggal dan sekarang mari kita lihat contoh yang ada. Terdapat banyak komputer papan tunggal yang terjual di pasaran, sama ada anda seorang yang ingin belajar tentang pengkomputeran ataupun anda seorang yang pakar dalam bidang ini. Jika anda pernah dengar, terdapat komputer papan tunggal yang dinamakan Raspberry Pi yang dijual untuk kanak-kanak belajar pengatucaraan dan pengkomputeran. Sungguhpun komputer ini dihasilkan untuk kanak-kanak, komputer papan tunggal ini sangat popular kerana digunakan oleh ramai peminat DIY dan makers di seluruh dunia. Malah, sehingga ke peringkat universiti komputer ini masih digunapakai dalam pembelajaran dan eksperimen.
Raspberry Pi
Raspberry Pi merupakan komputer papan tunggal yang paling mudah untuk dipelajari dan digunakan kerana ianya dihasilkan untuk memupuk kanak-kanak mempelajari bidang sains komputer. Terdapat beberapa model seeprti Raspberry Pi 4B (terbaharu), Raspberry Pi 3A+ dan Raspberry Zero W. Ianya boleh didapati seperti di Shopee dan Lazada.
Harga: RM 174.00
BeagleBone
BeagleBone dihasilkan oleh Texas Instument dan merupakan komputer papan tunggal kedua paling terkenal selepas Raspberry Pi. Ianya mempunyai ciri-ciri lebih kurang sama dengan Raspberry Pi. Terdapat beberapa kelainan dari segi spesifikasi dan harga. Harga BeagleBone sedikit lebih mahal daripada Raspberry Pi.
Harga: RM 259.90
NVDIA Jetson Nano
Berdasarkan pada nama, pasti anda sudah mengetahui ianya dihasilkan oleh syarikat NVDIA yang terkenal menghasilkan cip grafik komputer (GPU). Jetson Nano pula digunakan dalam aplikasi AI (Artificial Intelligence), atau kecerdasan buatan. Merupakan komputer yang dilengkapi cip quad core ARM SoM (System on Module) dan 128 CUDA core GPU.
Harga: RM 550
Terdapat banyak lagi komputer papan tunggal yang terdapat di pasaran cuma saya tidak berkesempatan untuk menyenaraikan kesemuanya. Anda boleh ketahui lebih lanjut daripada carian google.
Artikel Berkaitan
Jenis-jenis Rangkaian Komputer
Rujukan
https://uk.rs-online.com/web/generalDisplay.html?id=solutions/single-board-computers-overview
1 thought on “Apakah itu komputer papan tunggal?5 min read”