Kadang-kadang, kalau komputer anda terasa berat dan lambat, mesti rakan atau jurujual di kedai mencadangkan anda untuk menambah RAM pada komputer anda. RAM juga sering dikaitkan dengan keupayaan untuk multi-tasking. Apakah itu RAM dan fungsinya serta bagaimana ia boleh melajukan komputer anda?

Apakah itu RAM?

RAM ialah singkatan kepada Random Access Memory atau jika ditukarkan kepada Bahasa Melayu dipanggil sebagai Ingatan Capaian Rawak. Ianya sebuah memori yang terdapat pada komputer, komputer papan tunggal dan juga telefon pintar yang digunakan sebagai storan jangka masa pendek. RAM ialah sebuah memori yang meruap (volatile). Maksud meruap disini ialah data akan hilang jika sumber tenaga hilang atau komputer anda dimatikan. Disebabkan data pada RAM boleh diakses secara rawak berbanding berurutan seperti pada CD dan pemacu cakera keras (Hard Drive), ianya lebih laju.

Rupa bentuk RAM yang terdapat di dalam komputer.
Sumber: An-d, CC BY-SA 3.0 via Wikimedia Commons

Jenis-jenis RAM

Terdapat dua jenis utama RAM iaitu: RAM Dinamik (DRAM) dan RAM Statik (SRAM).

1. SRAM

SRAM terdiri daripada empat hingga ke enam transistor. Ianya menyimpan data di dalam memori selagi mana tenaga dibekalkan ke dalam sistem, tidak seperti DRAM yang perlu disegar semula (refresh) secara berkala. Walaupun SRAM lagi laju, namun ianya lebih mahal berbanding DRAM. Oleh itu, menjadikan DRAM memori yang lebih lazim dalam sistem komputer.

Terdapat enam transistor (yang dilabel M) di dalam satu sel memori SRAM

2. DRAM

Merupakan jenis RAM yang digunakan secara meluas di dalam memori komputer. Setiap memori sel DRAM terdiri daripada sebuah transistor dan juga sebuah kapasitor dalam sebuah litar bersepadu. Satu bit data disimpan di dalam satu kapasitor. Disebabkan kapasitor secara perlahan akan nyahcas voltan di dalamnya, DRAM perlu disegarkan semula (refresh) setiap beberapa milisaat untuk mengekalkan data.

Terdaat satu transistor yang dilabel (3) dan satu kapasitor yang dilabel (5) dalam sebuah sel memori DRAM.

SDRAM- DRAM Segerak (Synchronous DRAM)

Segerak disini bermaksud ia menyamakan kelajuan jam CPU supaya pengawal memori tahu kitara jam yang tepat apabila data yang diminta telah bersedia.

DDR SDRAM- SDRAM Kadar Data Berganda (Double Data Rate SDRAM)

Sebuah jenis memori segerak yang mempunyai jalur lebar dua kali ganda daripada SDRAM pada kelajuan jam yang sama. Ia menghantar data pada kedua-dua naik dan turun isyarat jam tanpa perlu meninggikan frekuensi jam.

Teknologi DDR merupakan teknologi RAM yang kebanyakan komputer hari ini gunakan. Teknologi DDR yang pertama ialah DDR1, diikuti dengan DDR2, DDR3 dan paling baharu ialah DDR4 yang memberikan kelajuan yang lebih baik. Jika anda ingin menukar RAM komputer anda, pastikan anda semak dulu teknologi DDR apa yang komputer anda gunakan.

Apakah Kegunaan RAM?

Komputer adalah sebuah mesin digital yang hanya memahami isyarat binari seperti ‘0’ dan ‘1’ yang dipanggil sebagai bit. Setiap fail atau program komputer terdiri daripada jutaan atau berbilion bit tersebut. Di dalam komputer terdapatnya unit pemprosesan pusat (CPU) yang berfungsi sebagai otak. Kesemua jutaan bit tadi diproses oleh CPU. Semakin teknologi menjadi lebih maju, semakin banyak jumlah bit yang perlu diproses oleh CPU.

Untuk menyelesaikan masalah ini, RAM mula dicipta sebagai memori jangka masa pendek. Seperti manusia, komputer mempunyai memori jangka masa panjang dan juga jangka masa pendek. Komputer menggunakan memori jangka masa pendek untuk tugas yang diperlukan segera.

RAM membolehkan komputer untuk membuat banyak tugas dalam satu masa dengan menukar satu tugas ke tugas yang lain. Contohnya, jika anda membuka banyak perisian dan tab chrome sekali gus. RAM membantu untuk komputer anda ingat dimana anda berada apabila anda menukar perisian yang lain. Semakin besar saiz RAM yang komputer anda ada, semakin tinggi kebolehan komputer anda untuk multi-tasking. Kita telah tahu apa kegunaan RAM, mari kita lihat bagaimana RAM berfungsi.

RAM membolehkan komputer anda untuk membuka elbagai program dalam satu masa Sumber: Benjamintf1, CC BY-SA 3.0 via Wikimedia Commons

Bagaimana RAM berfungsi?

Di dalam sebuah komputer, terdapatnya tiga komponen penting iaitu CPU, RAM dan juga pemacu storan. Pemacu storan adalah seperti Hard Disk Drive dan juga Solid State Drive. Apabila anda menjalankan program komputer seperti permainan video atau Microsoft Word, sistem pengndalian (OS) komputer akan memperuntukkan ruangan di dalam RAM untuk melakukan tugas tersebut.

Perisian yang anda buka dan failnya akan diambil daripada pemacu storan oleh CPU dan dihantar ke RAM. Sebab itu apabila anda membuka sesebuah perisian, ianya mengambil sedikit masa bergantung kepada berapa besar perisian tersebut untuk CPU memindahkan data daripada pemacu storan ke RAM. Setelah kesemua fail dan data penting dimuatkan ke dalam RAM, barulah perisian yang anda buka boleh digunakan. Juga, bila anda menutup perisian tersebut, segala perubahan yang anda buat pada fail akan dipindahkan semula daripada RAM ke dalam pemacu storan.

Mengapa CPU perlu memindahkan data daripada pemacu storan ke RAM terlebih dahulu? Kenapa CPU tidak terus untuk mengakses data daripada pemacu storan? Untuk tahu kenapa, mari kita lihat apa beza RAM dan pemacu storan.

Akah itu RAM komputer dan Bagaimana RAM berfungsi
Animasi menunjukkan bagaimana RAM memainkan peranan dalam komputer.

Apakah beza RAM dan pemacu storan?

Apakah itu RAM dan fungsinya

1. Memori meruap dan memori bukan meruap

Beza utama RAM dan pemacu storan adalah RAM merupakan memori yang meruap (volatile memory) manakala pemacu storan merupakan memori yang bukan meruap (non-volatile memory). Apa yang dimaksudkan ialah RAM hanya boleh menyimpan data selagi ia dikuasakan atau selagi komputer anda hidup. Untuk data disimpan sungguhpun selepas komputer dimatikan, ianya mesti disimpan di dalam pemacu storan. Di sini, pemacu storan berfungsi sebagai memori jangka masa panjang.

2. Kelajuan

Mengapa CPU perlu memindahkan data terlebih dahulu daripada pemacu storan ke RAM ialah kerana RAM merupakan sebuah memori yang lebih pantas. Pemacu storan seperti Pemacu cakera keras (Hard Disk Drive) merupakan sebuah peranti mekanikal, tidak seperti RAM yang merupakan peranti elektronik (terdiri daripada cip memori). Elemen mekanikal jauh lebih perlahan daripada elemen elektronik.

Teknologi pemacu storan baharu seperti Solid State Drive (SSD) membolehkan pemacu storan mempunyai kelajuan yang lebih laju berbanding HDD. SSD menggunakan jenis litar memori yang NAND flash memory untuk menyimpan data. Walaupun SSD menggunakan cip memori, ianya masih lebih perlahan daripada RAM. Ini kerana sebahagiannya kerana prestasi cip memori yang digunakan dan sebahagian lagi kerana terdapat limitasi pada sambungan pemacu storan pada komputer. Pemacu storan kebiasannya disambungan melalui sambungan SATA manakala RAM disambungkan pada sambungan PCIe yang lebih tinggi jaur lebarnya.

Berbalik kepada persoalan tadi, kenapa CPU tidak terus mengakses data daripada pemacu storan kerana kelajuannya. Tanpa RAM, anda tidak akan dapat menggunakan perisian komputer sepantas yang anda rasa sekarang.

Konklusi

Kita boleh umpamakan RAM dengan meja kerja anda. Semakin besar meja anda, semakin mudah untuk anda menukar informasi kepada informasi yang lain dengan cara membuka perlbagai buku atau fail atas meja anda. Sebelum anda memulakan kerja di meja anda, pastinya anda akan mengambil fail dan buku di simpanan kabinet atau rak buku. Rak buku ini umpama pemacu storan anda. Bila sudah siap kerja. mesti anda akan simpan fail dan buku tersebut, sama seperti komputer. Melainkan, anda tidak kemas meja anda. Sama seperti jika anda letakkan komputer anda pada mod tidur!

Rujukan

https://www.youtube.com/watch?v=p3q5zWCw8J4

https://www.atpinc.com/blog/computer-memory-types-dram-ram-module

Centralvalleycomputerparts.com/articles/-ram-explained

www.backblace.com/blog/whats-diff-ram-vs-storage

Tentang Penulis

2 thoughts on “Apakah itu RAM komputer dan fungsinya?7 min read

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *