Apakah itu Automasi Proses Robotik (RPA) ?5 min read
Jika anda pertama kali mendengar terma Automasi Proses Robotik, mesti anda menyangka ia ada kaitan dengan robot fizikal yang ada dalam fikiran anda. Namun, sebenarnya ia tidak ada kena mengena dengan robot biasa. Habistu, kenapa terdapat perkataan ‘robotik’ kalau tidak ada kena mengena dengan robot yang biasa kita lihat? Artikel kali ini akan menerangkan apakah itu Automasi Proses Robotik (RPA).
Apakah itu Automasi Proses Robotik (RPA) ?
Automasi Proses Robotik, juga dipanggil Robotic Process Automation (RPA) adalah sejenis teknologi robot perisian yang membolehkan ia mengautomasikan kerja-kerja asas manusia yang berinteraksi dengan aplikasi dan perisian komputer. Robot perisian ini boleh diaturcarakan untuk mengikut langkah kerja yang diinginkan seperti membaca emel, memuat turun invois, mengambil maklumat daripada invois, mengisi borang dan banyak lagi.
Berbalik kepada soalan kita tadi, RPA tidak ada kena mengena dengan robot fizikal. Perkataan ‘robotik’ adalah merujuk robot perisian, iaitu robot di dalam komputer. Jika robot fizikal membantu manusia meringankan kerja berat yang memerlukan kekuatan fizikal, robot perisian membantu kerja manusia yang ada di dalam komputer seperti contoh yang disebut tadi. Automasi Proses Robotik tidaklah bertujuan untuk menggantikan manusia. Namun, ia mengurangkan beban kerja manusia di komputer yang berulang.
Baca Juga:
Sejarah Penciptaan Komputer Dunia
Adakah RPA sama dengan AI?
Jawapan ringkas: Tidak. AI (Artificial Intelligence) / Kecerdasan buatan adalah satu teknologi untuk meniru kecerdasan berfikir manusia dalam mesin/komputer. Manakala, Automasi Proses Robotik (RPA) hanyalah teknologi digunakan untuk meniru proses kerja manusia di dalam komputer. Tidak ada unsur ‘kecerdasan’ di dalam RPA kerana ia hanyalah robot yang tidak mampu berfikir namun mampu membuat kerja tanpa henti dan rasa bosan.
Namun, tidak bermaksud AI tidak boleh ditambah ke dalam program RPA. Kombinasi antara RPA dan AI mungkin boleh membuka kemungkinan baharu. Automasi Proses Robotik yang dilengkapi dengan AI mungkin boleh melakukan proses kerja dengan lebih bijak. CIri-ciri AI yang boleh ditambah kedalam RPA adalah seperti pemproses bahasa serta pengecaman imej dan aksara. Dengan adanya ciri-ciri AI ini, mungkin RPA boleh melakukan tugas yang lebih kompleks seperti:
- Mendapatkan data daripada borang/invois yang ditulis tangan
- Membaca perenggan emel yang ditulis oleh manusia
Ciri-ciri tugas yang sesuai dilakukan oleh RPA
Automasi Proses Robotik hanya sesuai tugas-tugas tertentu. Antara ciri-ciri tugas yang sesuai dilakukan oleh RPA adalah:
- Digital
- Berulang
- Memakan masa
- Mudah dijangka
- Terdedah kepada kesilapan manusia
Namun, RPA tidak sesuai untuk kerja-kerja yang:
- Tugas sekali buat
- Proses tugas yang mempunyai masalah
- Tugas yang manusia masih bagus untuk jalankan. Contohnya tugas yang memerlukan pengesahan visual.
- Tugas yang memerlukan kepintaran dan kreativiti.
Dimana RPA digunakan?
Automasi Proses Robotik digunakan di banyak industri seperti sektor awam, perubatan, pendidikan, sumber manusia kewangan, khidmat pelanggan dan IT. Di dalam kewangan, contohnya, bank, pihak insurans dan institusi pelaburan merupakan pengguna awal RPA. Satu proses yang membebankan untuk bank-bank besar seperti menyemak dan mengisi skor kredit ke dalam borang permohonan di dalam komputer dibantu menggunakan RPA.
Di dalam sektor sumber manusia pula, syarikat-syarikat besar menggunakan RPA untuk membaca resume pemohon pekerjaan dan memilih beberapa yang terbaik, sebagai langkah pertama sebelum ia disemak oleh pengrekrut pekerjaan tersebut. Proses ini penting kerana terlalu banyak resume yang perlu disemak. Oleh itu, proses saringan awal yang dilakukan oleh robot RPA membantu mengurangkan beban pekerja sumber manusia tersebut.
RPA bukan sahaja terhad kepada aplikasi diatas. Mana-mana industri atau aplikasi yang melibatkan data dan pemfailan boleh memanfaatkan RPA untuk meringkaskan lagi proses digital yang berulang dan membosankan.
Apakah kelebihan RPA?
RPA adalah pekerja robotik maya. RPA boleh juga dikatakan sebagai pembantu kepada pekerja manusia. Satu kelebihan utama Automasi Proses Robotik adalah ia boleh melakukan tugas dengan lebih pantas dan konsisten daripada manusia, tanpa perlu untuk berehat dan keluar makan. Perlu diingat bahawa RPA tidak bertujuan untuk menggantikan manusia, namun membantu manusia untuk melakukan kerja dengan lebih pantas dan cekap. Kenapa perlu buat kerja yang berulang dan membosankan kalau kita boleh suruh robot yang buat? Kerja yang berulang dan membosankan membuatkan pekerja kurang bahagia dan tidak bersemangat. Dengan adanya RPA, manusia boleh melakukan kerja yang lebih produktif seperti bahagian strategik dan juga yang memerlukan kreativiti. Kerja-kerja yang memerlukan cabaran berfikir dan kretiviti meningkatkan lagi motivasi pekerja.
Berikut merupakan kelebihan-kelebihan lain RPA yang memenfaatkan perusahaan dan pekerja:
- Mengurangkan kos operasi
- Meningkatkan produktiviti
- Mengurangkan kesilapan manusia
- Meningkatkan analitik
Alat dan perisian yang digunakan dalam RPA
Terdapat perisian di pasaran yang boleh di beli oleh perusahan untuk mengautomasikan proses kerja mereka. Contoh-contoh alat RPA yang boleh digunakan adalah UiPath, Blue Prism, Automation Aywhere, WorkFusion, Pega Systems dan banyak lagi. Namun, peneraju pasaran dalam perisian RPA adalah UiPath, Blue Prism dan Automation Anywhere. Perisian ini tidaklah murah kerana pasaran sasarannya adalah syarikat-syarikat besar. Untuk pengetahuan anda, harga untuk menggunakan perisian tersebut bermula daripada RM 15 000 setahun!
Selain daripada melanggan perisian tersebut, syarikat-syarikat besar juga biasanya mengambil pekerja yang mahir dalam bidang komputer dan pengatucaraan untuk membina perisian RPA di dalam syarikat atau organisasi mereka sendiri. Pekerjaan ini dipanggil RPA Developer atau RPA Engineer.
Jika anda mahir dalam pengatucaraan, mungkin ada sendiri boleh membina perisian RPA anda sendiri untuk memudahkan kerja anda. Terdapat tunjuk ajar di Internet bagaimana anda boleh menggunakan kod Python untuk mengatucara robot RPA anda sendiri. Mungkin ini solusi RPA yang sesuai untuk perniagaan kecil dan sederhana untuk memudahkan proses mereka.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, Automasi Proses Robotik atau RPA adalah robot perisian yang boleh diaturcara untuk meniru manusia untuk melakukan tugas digital dan berulang untuk memudahkan manusia daripada tugas-tugas yang membosankan. RPA boleh dianggap sebagai pembantu digital yang melakukan tugas yang memakan masa manusia.
Bacaan Lanjut
https://www.edureka.co/blog/what-is-robotic-process-automation/