Apakah itu galas bebola (ball bearing) dan kegunaannya?3 min read

0

Galas bebola adalah sebuah komponen mekanikal yang sangat penting untuk banyak mesin sama ada mesin harian yang sering kita guna ataupun mesin-mesin perindustrian. Penggunaan konsep galas bebola telah lama diguna pakai sejak zaman Leonardo da Vinci lagi. Galas bebola yang kita lihat sekarang dicipta pada akhir kurun ke-19. Manusia menggunakan galas bebola kerana ianya telah difahami bahawa gulingan mengurangkan geseran berbanding seretan atau luncuran. Galas bebola adalah komponen mekanikal yang menggunakan konsep gulingan bebola untuk membantu mengurangkan geseran. Artikel ini akan menerangkan apakah itu galas bebola (ball bearing) dan kegunaannya.

Apakah itu galas bebola (ball bearing)

Galas bebola adalah sebuah komponen yang membantu putaran sesuatu objek. Ia menyokong aci pacu (shaft) yang berpusing di dalam mesin. Banyak mesin yang menggunakan galas bebola termasuklah mesin automotif, kapal terbang, penjana elektrik dan macam-macam lagi. Contoh terdekat yang boleh kita lihat adalah seperti basikal. Bearing pada basikal membantu putaran tayar pada kerangka basikal. Tanpa galas bebola, amatlah susah untuk anda mengayuh basikal kerana geseran.

Selain membantu putaran pada tayar, roda dan aci pacu, bearing juga digunakan untuk membantu putaran gear, turbin, rotor. Ini kerana, gear dan turbin juga perlu berputar dengan lancar pada gandar (axle).

Apakah itu galas bebola (ball bearing) dan kegunannya?
Galas bebola pada gear. Sumber: Jacoposki, Flickr.com

Struktur galas bebola

1. Bebola (Ball)

Kebiasaannya diperbuat daripada keluli aloi krom dengan ketulenan tinggi. Terdapat juga bebola yang diperbuat daripada seramik dan plaksik. Bebola akan bergulingan pada larian yang dibentuk pada gelang dalam dan luar.

2. Sangkar (Cage)

Sangkar berfungsi untuk menjarakkan bebola dan memandu mereka di dalam larian. Bahan yang digunakan merangkumi keluli, tembaga dan plastik.

3. Gelang luar (Outer ring) dan gelang dalam (Inner ring)

Berfungsi sebagai perumah bebola. Di dalamnya terdapat larian untuk bebola berguling semasa putaran. Beban daripada luar diterima oleh kedua-dua gelang ini, membantu menyama ratakan tegasan.

4. Pelindung (Shield)

Melindungi ruang dalam galas bebola daripada debu dan habuk.

Apakah itu galas bebola (ball bearing) dan kegunaannya?
Struktur galas bebola

Kegunaan galas bebola

1. Mengurangkan daya geseran dan memastikan putaran yang lancar.

Kegunaan utama galas bebola adalah untuk mengelakkan sentuhan langsung antara dua elemen yang bergerak (atau sendi kinematik) secara relatif. Ini dapat mengurangkan daya geseran, penghasilan haba dan kehausan permukaan objek tersebut. Galas bebola juga megurangkan penggunaan tenaga yang perlu digunakan untuk menggerakkan elemen tersebut.Oleh itu, penggunaan galas bebola dapat meningkatkan efisiensi kerana kurang tenaga dibazirkan dalam bentuk tenaga haba.

2. Melindungi bahagian yang menyokong struktur sendi revolut dan juga mengekalkan posisi aci.

Sejumlah beban yang besar diperlukan untuk menampung aci dan bahagian yang menyokong mereka. Beban ini akan memberikan tegasan kepada dua-dua bahagan ini. Oleh itu, galas bebola dapat mengurangkan tumpuan tegasan (stress concentration) permukaan sendi. Ini kerana galas bebola menghantar beban pada sendi ke perumah galas bebola tersebut. Beban tersebut sama ada dalam arah radial ataupun axial. Selain itu, galas bebola juga mengekalkan posisi aci yang berpusing.

Konklusi

Kita telah belajar apakah itu galas bebola (ball bearing) dan kegunaannya. Galas bebola sangat membantu bahagian berputar pada mesin untuk berputar tanpa rintangan. Tanpanya galas bebola, jangka hayat mesin semestinya berkurangan kerana hakisan dan tegasan pada mesin.

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *