Adakah FLNG bakal memainkan peranan penting kepada industri minyak dan gas?5 min read

0

Apakah itu FLNG?

FLNG atau Floating Liquefied Natural Gas merupakan suatu sistem fasiliti yang merangkumi penyimpanan luar persisiran air, pemprosesan dan pengangkutan gas Liquefied Natural Gas (LNG).

Fasiliti kapal yang besar ini menggunakan sistem yang sama seperti loji LNG di darat. Ini bermakna gas dapat diproses secara langsung dengan lokasi sumber gas tersebut tanpa memerlukan sistem paip yang panjang yang menghubungkan dengan fasiliti darat yang terdekat.

kapal flng
Imej kapal Floating Liquefied Natural Gas (FLNG). Gambar: Shell

Apakah itu Liquefied Natural Gas (LNG)?

Gas LNG merupakan gas asli yang merupakan campuran gas metana dan etana yang disejukkan kepada bentuk cecair supaya ia senang diangkut. Selain itu, cecair LNG juga mengambil 1/600 daripada ruang isipadu oleh LNG dalam keadaan gas.

Di samping itu, gas LNG ini juga tidak berbau, tidak berwarna, tidak toksik dan tidak menghakis. Namun, ia juga mudah terbakar jika ia berada dalam keadaan gas.

Kelebihan gas LNG

Isipadu yang rendah

Ia mempunyai isipadu yang 600 kali lebih kecil berbanding jika ia berada dalam keadaan gas sepenuhnya. Hal ini memudahkan ia diangkut dengan lebih mudah dan lebih selamat kepada loji regasifikasi (regasification plant) di seluruh dunia. Loji regasifikasi ini akan menukarkan cecair gas LNG ini kepada gas yang dibakar untuk menghasilkan tenaga atau elektrik.

Sumber tenaga yang bersih dan selamat

Sumber gas asli merupakan sumber yang paling bersih dan selamat di pasaran. Apabila ia dibakar, ia akan menghasilkan separuh kandungan CO2 jika dibandingkan dengan arang.

Buat masa sekarang, sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar masih belum mampu memenuhi permintaan tenaga, gas asli masih memainkan peranan penting untuk menjana tenaga dengan bersih.

Permintaan tinggi

Permintaan terhadap sumber tenaga gas asli semakin meningkat tahun ke tahun. Pada tahun 2000, kurang 100 juta tan LNG yang dihasilkan. Namun pada tahun 2017 sebanyak 284 juta tan gas LNG telah dihasilkan dan dianggarkan akan lebih meningkat. Oleh hal yang demikian, teknologi baru amat diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak LNG.

Namun pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah menyebabkan permintaan gas LNG berkurangan. Jika vaksin dapat dihasilkan dengan cepat, saya berpendapat pasaran industri gas LNG dapat bangkit semula paling kurang pada tahun 2022.

Kelebihan FLNG

Fasiliti FLNG lebih mesra alam

Fasiliti FLNG juga mempunyai kelebihan terhadap alam sekitar jika dibandingkan dengan fasliti LNG di darat. FLNG dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pembinaan fasiliti LNG di darat serta dapat mengurangkan pembinaan sistem paip yang panjang.

Dengan jangka hayat selama 20 tahun, kapal FLNG dapat digerakkan ke kawasan sumber gas asli yang lain bila-bila masa sahaja seterusnya mengurangkan kos pembinaan fasiliti yang baharu.

Keupayaan teknologi

Pembinaan fasiliti kapal FLNG sudah semestinya memberikan cabaran baharu. Namun, dari segi aspek teknologi sudah semestinya pembinaan ini akan memerlukan penyelesaian yang inovatif seterusnya memberi kelebihan kepada jurutera-jurutera untuk membina sesuatu yang dianggap mustahil sebelumnya.

Cabaran terbesar yang dihadapi ialah untuk memuatkan kesemua komponen dan alatan yang sama seperti di fasiliti darat ke atas sebuah kapal untuk memastikan kadar pengeluaran yang sama. Saiz permukaan di kapal hanyalah suku daripada saiz keseluruhan fasiliti di darat.

Ekonomi

Kelebihan dari segi ekonomi untuk industri minyak dan gas ini amatlah besar. Hal ini demikian kerana permintaan tenaga di peringkat global akan lebih 37% lebih tinggi pada tahun 2040. Selain itu, sumber LNG juga merupakan sumber yang paling cepat berkembang.

Bagaimanakah FLNG berfungsi?

Terdapat beberapa proses penting yang dilakukan oleh FLNG untuk memastikan pemprosesan Liquefied Natural Gas (LNG) berjalan dengan lancar;

Ekstradisi – Fasiliti FLNG akan berlabuh betul-betul di atas kawasan sumber gas asli. Gas asli ini digali daripada dasar laut dan dipindahkan ke kapal.

Rawatan – Gas yang diesktrak ini diberi rawatan dengan membuang kekotoran di kapal sebelum dicairkan menjadi cecair gas.

Pencairan – Gas asli ini disejukkan sehingga -160 Celcius seterusnya mengurangkan isipadu 600 kali ganda menjadikan ia Liquefied Natural Gas (LNG).

Penyimpanan – Gas asli yang dicairkan ini seterusnya disimpan di dalam tangki di dalam kapal tersebut.

Pemunggahan – Kapal pengangkut kecil akan berlabuh pada kapal FLNG ini untuk mengangkut gas LNG dan dibawa ke darat.

Projek FLNG di seluruh dunia

FLNG Prelude

Kapal ini dimiliki oleh syarikat minyak Shell dan merupakan fasiliti terapung LNG yang terbesar di dunia. FLNG Prelude bernilai 14 billion USD dengan panjang sehingga 488 meter iaitu lebih tinggi daripada menara berkembar Petronas. Kapal ini diletakkan di persisiran laut di barat Australia pada tahun 2017. Ianya mempunyai kapasiti sehingga 1.2 juta tan gas LNG setiap tahun.

Petronas FLNG Satu dan FLNG Dua

Petronas Satu merupakan kapal FLNG yang pertama dihasilkan di dunia dan telah beroperasi sejak pada tahun 2016. Kapal ini juga mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 1.2 juta tan gas LNG setiap tahun.

Petronas Dua pula dijangkakan untuk menghasilkan gas pertama dari kawasan gas asli di Rotan iaitu di perairan laut Sabah pada tahun 2020 ini. Saiz Petronas Dua lebih besar berbanding Petronas Satu dimana ia mempunyai kapasiti sehingga 1.5 juta tan setiap tahun.

FLNG Coral

FLNG Coral merupakan suatu projek yang dihasilkan oleh syarikat minyak Itali iaitu Eni. Pembinaan fasiliti kapal FLNG ini akan bermula pada tahun 2022.

Komponen-komponen kapal tersebut sedang dibina di Singapura dan Korea Selatan. Apabila disiap kelak, kapal ini bakal ditempatkan di perairan laut negara Mozambique. Fasiliti gergasi ini juga mampu menampung kapasiti sehingga 3.4 juta tan gas LNG setiap tahun.

Masa hadapan FLNG

Dengan permintaan gas LNG yang semakin meningkat, fasiliti FLNG berupaya menunjukkan cara yang lebih ekonomikal untuk menghasilkan gas di mana-mana sahaja.

Antara kawasan-kawasan hangat ialah di persisiran laut Australia dimana terdapat 14 projek FLNG yang sedang dipertimbangkan disitu. Selain itu, terdapat banyak juga kawasan sumber gas asli seperti di China, Kanada, Brazil dan Amerika Syarikat yang berpotensi menjadi lubuk fasiliti FLNG ini. Dianggarkan sehingga 22 kapal FLNG akan disiapkan pada tahun 2022.

Rujukan

www.oilandgasiq.com

www.theconversation.com

www.wikipedia.com

Artikel Berkaitan

Liberalisasi Industri Gas di Malaysia

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *