Projek Neuralink Elon Musk6 min read
Apakah itu Neuralink?
Projek bercita-cita tinggi oleh pengasasnya iaitu Elon Reeve Musk atau Elon Musk telah mendapat perhatian dunia baru-baru ini. Projek tersebut dinamakan Neuralink iaitu projek untuk menyambungkan otak manusia dengan Internet supaya manusia dapat mengawal mesin dengan menggunakan signal daripada otak itu sendiri. Projek ini telah diumumkan pada tahun 2017 walaupun penyelidikan telahpun bermula pada tahun 2016 dan pada bulan Julai 2019, ia telah menerima pembiayaan sebanyak 158 juta US Dollar. Selain itu, seramai 90 staf telah diambil dan diupah untuk menjayakan projek tersebut.
Elon Musk sendiri juga telah melakukan pembentangan di California Academy of Sciences dimana pembentangan tersebut menunjukkan beberapa data yang diuji pada tikus melalui elektrod kecil. Namun, Elon Musk sendiri menyatakan bahawa mereka telah pun memulakan ujian pada mamalia yang lebih besar iaitu monyet.
Pada tahun 2020, Elon Musk juga telah melakukan pembentangan tentang perkembangan terkini teknologi ini. Beliau menyatakan bahawa prototaip ini telah dikemas kini dengan sensor baru seperti sensor pergerakan, suhu dan tekanan. Dalam demosntrasi secara langsung di internet ini, Neuralink menunjukkan bagaimana khinzir yang telah ditanam chipset didalam otaknya menunjukkan signal secara langsung dihantar tanpa wayar kepada komputer.
Bagaimana ia ditanam?
Sekian hari teknologi ini semakin berkembang sejak ianya dimulakan pada tahun 2016. Teknologi ini melibatkan cip yang ditanam pada otak seterusnya menyampaikan tafsiran signal kepada komputer. Selepas itu, signal deria yang baru akan dihantar semula kepada otak.
Chipset atau dikenali oleh N1 chipset yang telah ditanam di otak akan mempunyai saiz yang sangat kecil iaitu berdiameter 8mm. Chipset ini juga mempunyai banyak wayar-wayar halus yang bertindak sebagai elektrod dan juga sebagai penebat. Syarikat itu juga menyatakan bahawa mereka juga boleh menanam sebanyak 10,000 elektrod serentak. Selain itu, wayar-wayar ini akan ditanam menggunakan robot bedah. Namun jangan risau kerana wayar-wayar ini adalah sangat kecil sehinggakan saiznya mempunyai ketebalan yang sama seperti neuron di otak dan juga lebih nipis berbanding sehelai rambut.
Selain itu, robot ini juga telah dirancang dan diprogram untuk menanam chipset tanpa menyentuh urat atau arteri. Max Hodak yang merupakan presiden kepada Neuralink menyatakan kita boleh menanam lebih daripada satu chipset pada bahagian otak yang berbeza untuk melakukan tugasan yang tertentu. Beliau juga menyatakan bahawa syarikat itu akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Amerika Syarikat untuk memastikan prosedur itu selamat untuk dijalankan.
Menurut Elon Musk, prosedur ini bakal mengambil selama 2 jam dan seseorang itu akan berada di bawah separa sedar kerana menggunakan ubat bius.
Bagaimana teknologi Neuralink tersebut berfungsi
Kita mesti menyangka bahawa teknologi ini mampu membuatkan kita mahir dalam kungfu serta-merta seperti Bruce Lee tetapi hakikatnya tidak. Buat masa sekarang, teknologi ini hanya mampu menghantar signal dari otak untuk mengawal mesin sahaja. Berdasarkan kajian yang dijalankan sehingga kini, kita hanya mampu mengawal gajet-gajet asas seperti telefon pintar dan juga komputer. Untuk lebih memahami bagaimana teknologi ini berfungsi, saya akan menerangkan serba sedikit tentang neuron. Buat pengetahuan semua, otak kita akan menghantar pelbagai data atau informasi kepada bahagian-bahagian badan yang berbeza dengan menggunakan neuron.
Neuron-neuron ini bersambung dengan antara satu sama lain untuk membentuk jaringan rangkaian yang besar. Mereka juga berhubung dengan menggunakan isyarat kimia yang juga dipanggil neurotransmitters. Hasil isyarat kimia ini akan menyebabkan berlakunya medan elektrik dan seterusnya dikesan oleh elektrod di dalam otak.
Selepas itu, elektrod tersebut dapat menterjemahkan signal otak tersebut kepada algoritma supaya komputer atau mesin dapat membacanya. Dengan cara ini, kita dapat mengenal pasti apa yang tengah bermain di fikiran kita tanpa mengeluarkan satu perkataan sekali pun dari mulut. Dalam konteks teknologi canggih, kita tidak perlu menyebut “Hi Siri” atau “Hello Google”. Oleh hal yang demikian, Neuralink juga telah membuat aplikasi yang khas untuk kegunaan komersial supaya pengguna dapat mempelajari kemahiran baru untuk mengawal chipset ini.
Elon Musk juga menyatakan bahawa peranti ini mempunyai rangkaian sambungan yang cukup jauh dengan telefon pintar melalui sambungan Bluetooth.
Kebimbangan mengenai N1 chipset
Jika kalian ada menonton Black Mirror di Netflix, cerita tersebut sudah cukup jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh memandang rendah akan Artificial Intelligence atau AI. Hal ini kerana peranti ini bersambung dengan internet maka akan menimbulkan isu tentang keselamatan privasi pengguna. Penggodam juga mungkin dapat mencuri data-data kita jika tiada sekuriti yang ketat. Selain itu, jangka hayat peranti ini juga menjadi tanda tanya. Menurut Elon Musk, peranti ini mampu bertahan sehingga 10 tahun dan juga dapat dicabut semula. Cuma kita belum mendapat apa-apa info bagaimana peranti ini dapat ditanggalkan.
Sebagai rumusan, teknologi ini masih lagi di peringkat kajian dan memerlukan lebih banyak masa sebelum ianya dikomersialkan. Sehingga kini, teknologi ini masih memecah belahkan golongan saintis saraf atau neuroscientist tentang keberkesanan teknologi ini. Terdapat pelbagai cabaran untuk menjadikan projek ini berjaya namun saya akan membuat artikel baru berkenaan ini pada masa hadapan. Walaubagamainapun, pada pendapat saya, teknologi ini sangat menarik dan semestinya mampu membawa perubahan pada masa hadapan.
1 thought on “Projek Neuralink Elon Musk6 min read”