Kenapa roket Saturn V sangat ikonik?6 min read

0

Intro

Roket Saturn V merupakan salah satu roket yang terbesar dan terkuat di dunia pada ketika dahulu dan digunakan untuk mengangkut manusia ke bulan. Roket ini juga sebahagian daripada kenderaan-kenderaan yang digunakan untuk misi Apollo 11 selain daripada Lunar Module. Misi Apollo 11 pada ketika itu merupakan misi yang terbesar dalam sejarah umat manusia kerana pada sebelum ini bulan tidak pernah lagi dijejaki oleh manusia.

Misi ini juga adalah jawapan kepada visi yang diutarakan oleh mantan presiden Amerika Syarikat pada ketika itu iaitu Presiden John F. Kennedy yang ingin menjadikan Amerika Syarikat sebagai negara pertama yang berjaya sampai ke bulan.

Bukan itu sahaja, beliau juga ingin membuktikan bahawa mereka adalah kuasa besar sebenar dunia berbanding seteru mereka pada ketika itu iaitu kerajaan Soviet. Hal ini demikian kerana kedua-dua negara tersebut tengah berlumba-lumba untuk mendominasi perlumbaan ke angkasa. Dengan kejayaan misi Apollo 11, lima misi Apollo (12,14,15,16 dan 17) juga berjaya mengikut serta mendarat ke bulan.

Namun yang demikian, terdapat 5 misi Apollo (1,7,8,9 dan 10) yang tidak mendarat di bulan atas faktor objektif misi-misi yang berbeza kerana sebagai persediaan untuk misi yang ke-11. Manakala misi Apollo 13 tidak berjaya kerana mempunyai masalah teknikal.

Pelancaran roket angkasa Saturn V. Gambar: Nasa
Pelancaran roket Saturn V. Gambar: Nasa

Saiz dan Berat roket Saturn V

Saiz roket ini sangat besar dengan mempunyai ketinggian sehingga 111 meter. Ketinggian ini melepasi struktur bangunan yang mempunyai 36 tingkat. Selain itu, roket ini juga dilengkapi dengan tiga komponen utama pada strukturnya. Seterusnya, jika roket ini diisi penuh dengan bahan bakar, berat maksima ialah pada sekitar 2.8 juta kilogram.

Oleh hal yang demikian, dengan mempunyai saiz yang besar dan juga berat, roket ini mampu menghasilkan hampir 34.5 juta newtons kuasa tujahan untuk ke bulan. Buat pengetahuan semua, kekuatan roket ini 85 kali ganda lagi berkuasa daripada Empangan Hoover.

Manakala muatan yang mampu ditampung oleh roket ini ialah seberat 130 ton ketika fasa di dalam orbit dan 50 tan ketika fasa luar orbit. Terdapat tiga fasa berbeza untuk melancarkan roket ini sehingga melepasi angkasa. Oleh hal yang demikian, roket ini mempunyai tiga komponen utama dimana mereka bakal berpecah mengikut fasa masing-masing.

Bagaimana Saturn V dibina?

Terdapat tiga fasa penting dalam pembinaan roket Saturn V iaitu S-IC, S-II dan S-IVB beserta unit instrumen yang dipasang pada roket tersebut. Selain itu, bahan bakar yang digunakan Saturn V juga berbeza-beza mengikut fasa masing-masing. Fasa pertama menggunakan bahan bakar bernama RP-1 manakala untuk fasa kedua dan ketiga menggunakan cecair hidrogen atau liquid hydrogen (LH2).

Penggunaan bahan bakar yang berbeza adalah disebabkan oleh terdapat perbezaan sifat di antara bahan-bahan bakar tersebut. Bahan bakar RP-1 digunakan pada fasa pertama kerana bahan bakar LH2 memerlukan tiga kali ganda lebih isi padu berbanding RP-1.

Fasa Pertama

Pada fasa pertama iaitu S-IC, ianya dibina di Michoud Assembly Facility di New Orleans oleh syarikat penerbangan terkenal iaitu Boeing. Fasa pertama atau komponen pertama ini merupakan komponen yang terbesar. Komponen ini berketinggian sekitar 42 meter dan mempunyai 10 meter diameter. Selain itu, komponen pertama juga menyumbang kepada tujahan sehingga 34,000 kiloNewton.

Berat keseluruhan komponen pertama ini apabila telah diisi dengan bahan bakar ialah sekitar 2.3 tan. Pada bahagian bawah komponen pertama ini terdapat lima enjin Rocketdyne F-1 yang berfungsi sebagai enjin utama untuk melepasi graviti bumi.

Pembuatan fasa pertama oleh Nasa
Pembinaan fasa pertama. Gambar: Nasa

Fasa kedua

Pada fasa kedua iaitu fasa S-II, komponen ini dibina oleh North American Aviation yang bertempat di Seal Beach, California. Komponen kedua ini menggunakan lima enjin Rocketdyne J-2 dengan susunan sama seperti S-IC. S-II mempunyai ketinggian sehingga 24.87 meter dengan berdiameter 10 meter. Manakala berat keseluruhan komponen S-II ini ialah seberat 480,000 kg. Di samping itu, bahan bakar yang digunakan ialah cecair hidrogen dan cecair oksigen.

Pembuatan fasa ketiga oleh Nasa
Pembinaan fasa ketiga, Gambar: Nasa

Fasa Ketiga

Akhir sekali, komponen terakhir dan juga terpenting ialah unit instrumen yang dipasang di atas komponen S-IVB. Unit instrumen ini dibina oleh syarikat komputer yang terkenal iaitu International Business Machine (IBM) di Space Systems Cente, Alabama.

Komponen ini dibina khas sebagai komputer utama untuk mengawal roket Saturn V bermulanya ia berlepas sehinggalah fasa terakhir iaitu S-IVB berpisah.

Unit ini juga dilengkapi dengan sistem telemetri dan sistem bimbingan. Kedua-dua sistem teknologi terkini ini berfungsi untuk mengukur kelajuan dan altitud seterusnya dapat mengira pergerakan roket.

Unit instrumen yang diletakkan selepas komponen S-IVB. Gambar: Nasa
Unit instrumen yang dipasang selepas komponen S-IVB. Gambar: Nasa

Selepas ketiga-tiga komponen badan roket Saturn V telah siap, kesemuanya akan dihantar ke Pusat Angkasa Kennedy untuk pemasangan. Namun, fasa pertama dan kedua iaitu S-IC dan S-II sangat besar sehinggakan sukar diangkut melalui jalan darat dan udara. Oleh hal yang demikian, terdapat hanya satu sahaja alternatif untuk mengangkut dua komponen ini iaitu melalui jalan laut dengan menggunakan kapal tongkang.

Fakta-fakta menarik mengenai roket Saturn V

Terdapat beberapa fakta-fakta menarik yang semestinya membuatkan kita terkejut. Boleh lihat dibawah;

  • Reka bentuk dan struktur roket ini lebih kurang sama dengan roket NASA generasi baharu iaitu Space Launch System (SLS).
  • Proses mereka bentuk roket ini hanya mengambil masa selama 6 tahun sahaja.
  • Pereka roket ini dihasilkan oleh jurutera German yang bernama Wernher von Braun.
  • Terdapat bangunan yang khusus untuk pembinaan roket ini iaitu Vehicle Assembly Building (VAB) di Kennedy Space Center.
  • Roket ini juga membawa Skylab ke angkasa. Skylab merupakan stesen angkasa pertama milik Amerika Syarikat.
  • Roket Saturn V lebih tinggi berbanding penggantinya iaitu roket SLS.

Rumusan

Sudah semestinya roket ini sangat ikonik sehinggakan mempunyai penggantinya yang tersendiri iaitu roket generasi terbaharu Space Launch System atau SLS. Roket SLS akan memulakan perjalanan pertama ke angkasa atau bulan pada tahun 2021 dan juga dikhabarkan lebih canggih dan kuat berbanding Saturn V. Manakala dari segi saiz pula, Saturn V masih lagi tinggi berbanding roket SLS.

Roket Saturn V sudah tidak lagi digunakan kerana teknologinya sudah ketinggalan zaman malah bajet yang diperlukan untuk setiap misi Apollo sangat besar. Kos pembinaan roket Saturn V menelan belanja sebanyak 6.417 bilion USD iaitu bersamaan kos inflansi sekarang sekitar 49.9 bilion USD. Di samping itu, kos ini juga meliputi sekitar 80% dari keseluruhan bajet Nasa sekarang.

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *