Apakah itu Pelan Ujian Pemeriksaan atau Inspection Test Plan (ITP)?3 min read

0

Pelan Ujian Pemeriksaan, atau dalam Bahasa Inggerisnya, Inspection Test Plan (ITP), ialah satu dokumen yang menggariskan prosedur secara sistematik untuk memeriksa dan menguji projek, produk atau proses tertentu. Dalam artikel ini, saya akan menggunakan ‘ITP’ sebagai singkatan untuk Pelan Ujian Pemeriksaan. ITP disediakan oleh pengilang dan akan disemak oleh kontraktor dan klien. ITP memainkan peranan sebagai panduan komprehensif untuk aktiviti kawalan kualiti dan jaminan sepanjang kitaran hayat sesuatu projek atau produk.

Kelebihan yang terdapat pada ITP ialah setiap aktiviti pemeriksaan yang disenaraikan adalah disusun mengikut turutan. Jadi, bagi saya, seorang individu yang baharu dalam dunia pekerjaan, ITP adalah rujukan yang paling jelas, mudah dan lengkap untuk mengetahui proses-proses dalam pembinaan penghasilan sesuatu komponen.

Pelan pemeriksaan
Photo by Mikael Blomkvist

Apakah manfaat Pelan Ujian Pemeriksaan kepada industri?

Tujuan ITP adalah untuk mewujudkan peta jalan (road map) yang jelas untuk menjalankan pemeriksaan, ujian dan pengesahan pada pelbagai peringkat projek atau proses pengeluaran. Ia membantu untuk memastikan bahawa semua pemeriksaan dan ujian yang diperlukan dirancang, seterusnya dijadualkan and akhirnya dilaksanakan dengan sewajarnya. Apakah kepentingan perlaksaan ujian pemeriksaan ini? Ia akan meminimumkan risiko ketidakpatuhan dan kerosakan produk. Secara tidak langsung, ia akan memastikan produk tersebut boleh digunakan dengan selamat.

Apakah yang terdapat dalam Pelan Ujian Pemeriksaan?

Contoh Pelan Ujian Pemeriksaan
Contoh Pelan Ujian Pemeriksaan (Sumber: Raharja’s Blog)

ITP biasanya mengandungi maklumat berikut:

  1. Aktiviti Pemeriksaan dan Ujian (Process Description / Inspection Activities) : ITP menerangkan urutan pemeriksaan dan ujian yang akan dilakukan, bersama dengan kaedah dan prosedur yang perlu diikuti. Ia mungkin termasuk ujian tanpa musnah (non-destructive testing), pemeriksaan visual, ukuran dimensi dan banyak lagi. Berdasarkan contoh ITP yang disertakan di atas, lajur (column) nombor 2 ialah antara aktiviti pemeriksaan yang akan dilakukan.
  2. Penerimaan dan Kelulusan: ITP juga akan memperincikan peruntukan untuk semakan, penerimaan dan kelulusan hasil pemeriksaan dan ujian. ITP hendaklah menyatakan piawaian, prosedur dan peralatan yang berkaitan untuk digunakan. Ini boleh termasuk mengesahkan pematuhan dengan kod dan piawaian yang berkenaan, memastikan kualiti produk, mengenal pasti kecacatan atau ketidakpatuhan, dan menilai prestasi keseluruhan. Lajur 3 menyatakan piawaian yang akan dirujuk bagi suatu aktiviti pemeriksaan, manakala, lajur 4 ialah maklumat penerimaan yang diekstrak daripada piawaian tersebut. Contoh mudah, marjin ukuran dimensi.
  3. Pelaporan dan Dokumentasi: ITP menggariskan keperluan untuk melaporkan dan mendokumentasikan hasil pemeriksaan dan ujian. Ia menentukan format laporan, borang dan rekod yang akan digunakan, serta maklumat yang akan didokumenkan, seperti keputusan ujian, pengukuran, pemerhatian, dan sebarang penyelewengan atau ketidakakuran yang dikenal pasti.
  4. Peranan dan Tanggungjawab: Bahagian ini (Lajur 7, 8, 9 dan 10) mentakrifkan tanggungjawab individu yang terlibat dalam proses pemeriksaan dan ujian. Ia mengenal pasti kriteria pemeriksaan pengilang, kontraktor, klien dan pemeriksa pihak ketiga (third party inspection). Kriteria pemeriksaan untuk setiap aktiviti pemeriksaan juga akan ditetapkan dan kebiasannya ialah Surveillance (S), Witness (W), Hold (H) dan Review (R). Definisi untuk setiap kriteria pemeriksaan ini akan disertakan pada ITP, namun secara umum, definisi untuk setiap istilah ialah seperti yang berikut:
    • Surveillance (S): Ini bermakna kehadiran di tapak boleh dilalukan secara rawak
    • Witness (W): Kebiasannya, pengilang perlu memberi notis pemeriksaan kepada individu yang berperanan sebagai Witness. Aktiviti pemeriksaan boleh diteruskan oleh pengilang sama ada individu tersebut hadir mahupun tidak hadir semasa aktiviti tersebut dijalankan.
    • Hold (H): Ini merujuk kepada aktiviti pemeriksaan tidak boleh diteruskan tanpa kehadiran individu yang berperanan sebagai hold point. Menggunakan ITP di atas sebagai contoh, aktiviti pemeriksaan tidak boleh diteruskan tanpa kehadiran pemeriksa pihak ketiga (third party inspector).
    • Review (R): Ini merujuk kepada terdapat dokumentasi yang perlu dihantar kepada individu yang berperanan sebagai Review Point.

Kesimpulan

Pelan ujian pemeriksaan ialah dokumen penting yang memastikan pemeriksaan dan ujian dijalankan secara sistematik, konsisten dan mengikut piawaian yang ditetapkan. Ia perlu untuk mana-mana industri yang ingin menguruskan kualiti dan keselamatan produk secara proaktif.

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *