Belajar Teknologi dalam Bahasa Malaysia4 min read

0

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua rakyat malaysia yang tercinta. Tahun 2020 merupakan waktu yang sangat tidak disangka buat seluruh umat manusia. Tahun ini, dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19. Jika sebelum ini kita menjangkakan teknologi kereta terbang, tapi sebaliknya berlaku. Tahun 2020 ini jugalah merupakan artikel pertama kami di Pakcik Engineer. Di sini lahirlah sebuah blog yang akan berkongsi tentang teknologi-teknologi yang ada di Malaysia dan di luar negara.

Tujuan blog ini dilahirkan adalah untuk membiasakan diri masyarakat Malaysia, sama ada muda atau tua dengan teknologi-teknologi yang menarik di sekitar kita. Masih tidak banyak blog teknologi yang dituliskan di dalam Bahasa Malaysia. Kalau kita Google ‘teknologi masa kini’ sekalipun, hanya blog dari negara tetangga kita sahaja yang muncul di laman pertama Google. Oleh itu, kami memulakan inisiatif ini untuk berkongsi tentang teknologi dan kejuruteraan dengan penulisan yang santai. Supaya, bila anak-anak kita mahu belajar sesuatu, bahasa tidak lagi menjadi penghalang.

Memanfaatkan google dalam mempelajari sesuatu teknologi
Pentingnya kemahiran menggunakan google dalam pembelajaran teknologi

Menggunakan google untuk belajar

Saya sendiri pun dari kecil hingga belajar ke Universiti sentiasa menggunakan perkhidmatan carian google untuk mencari dan belajar sesuatu maklumat. Masih saya ingat lagi, sewaktu berumur 13 tahun, saya menggunakan Google dan Youtube untuk belajar cara-cara mengedit gambar dan menggunakan sistem perisian Photoshop. Kemudian saya belajar dengan orang yang saya tidak kenal di internet, untuk belajar edit video menggunakan perisian After Effect. Sewaktu berumur 19 tahun, saya belajar HTML, CSS dan Javascript untuk membuat website pertama saya.

Hingga ke akhir ini, untuk menguatkan ilmu yang saya belajar di Universiti pun saya bergantung dengan Internet. Kita harus bersyukur, bahawa kita hidup di zaman yang mana pendidikan boleh didapatkan dengan percuma di mana sahaja. Semua orang berpusu-pusu berkongsi ilmu mereka di Internet untuk mendapatkan sedikit insentif. Seorang yang berasal daripada kampung sekalipun mampu menjadi usahawan besi dengan hanya belajar menempa besi di Internet. Sebab itulah, teknologi masa kini amat penting untuk diakses oleh semua orang. Rangkaian Internet perlu dilebarkan ke suluruh pelusuk Malaysia, termasuk kampung-kampung pedalaman. Kita tidak tahu, di dalam kampung tersebut akan lahirnya seorang usahawan, saintis mahupun jurutera.

Belajar koding menggunakan google
Skill baru hari ini mudah didapati dengan hanya menggunakan google

Maklumat di hujung jari

Kenapa masih perlu untuk kami membina blog ini sedangkan maklumat senang di dapati di Google di hujung jari? Betul, terdapat banyak sangat maklumat yang kita boleh dapatkan di Internet. Tetapi, kebanyakan maklumat tersebut terdapat dalam Bahasa Inggeris. Malah, rata-rata rakyat malaysia juga boleh dikatakan bagus dalam Bahasa Inggeris. Tetapi, tidak semua mempunyai keistimewaan untuk memahami sesuatu teknologi dalam Bahasa Inggeris. Tidak semua dilahirkan di tengah bandar, mempunyai persekitaran berbahasa Inggeris. Janganlah kita melupakan anak-anak kita yang kurang mendapat peluang persekitaraan yang progressif. Mungkin, ada anak-anak yang masih tidak pandai menggunakan carian Google dalam Bahasa Inggeris untuk mencari pertanyaannya tentang teknologi. Dengan adanya blog ini, mungkin seseorang akan mendapatkan jawapan pada persoalaan seseorang yang mungkin menggunakan carian Google dalam Bahasa Malaysia.

Belajar bahasa asing
Masih penting untuk mempelajari bahasa asing untuk mendalami dan memperbaiki teknologi asing

Masih perlu untuk belajar teknologi dalam bahasa asing

Ini tidak bermaksud kita tidak perlu belajar dan menguasai bahasa asing. Belajar bahasa asing juga penting. Untuk mendalami ilmu yang diterajui bangsa asing, kita harus lah belajar bahasa mereka supaya ilmu mereka dapat diterjemahkan ke dalam bahasa kita. Kalaulah saya tidak menguasai bahasa Inggeris dahulu, mungkin saya juga tidak dapat belajar banyak ilmu seperti koding, mengedit gambar dan belajar ilmu Elektronik di Internet ketika dahulu.

Kalau ditanya Jurutera yang terkenal, pasti mereka pandai bertutur Bahasa Jerman kerana Jerman sangat sinonim dengan teknologi kejuruteraannya. B.J Habibie, mantan Presiden Indonesia yang dulunya sorang Jurutera berkata beliau belajar Bahasa Jerman sewaktu kecil kerana ingin memahami buku penulisan teknologi pesawat yang ditulis dalam Bahasa Jerman. Kalau kita mampu membina teknologi kita sendiri, mungkin, orang asing pun akan belajar bahasa kita untuk memahami teknologi tersebut. Oleh itu, kami akan selitkan terma-terma Inggeris di dalam Artikel yang mungkin berguna untuk lakukan carian Google jika pembaca ingin mengetahui lebih dalam tentang sesuatu benda.

Saya akhiri penulisan saya kali ini. Nantikan pelbagai maklumat menarik dan berguna yang akan kami kongsikan dalam blog ini. Kalau anda berminat untuk kongsikan penulisan anda, hubungi sahaja kami melalu emel. Akhir kata, bukalah minda, belajarlah perkara baharu dan jadilah bangsa yang berinovatif. Banyakkanlah lakukan rujukan kerana semua maklumat di Internet tidak semuanya tepat. Kami pun mungkin terdedah untuk membuat silap.

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *