Bagaimanakah sistem hidraulik berfungsi?4 min read
Tahukah anda bahawa pistol air permainan anda dan kenderaan berat seperti jengkaut menggunakan konsep sistem hidraulik yang sama? Walaupun perbezaan saiz yang nyata tetapi kedua-duanya menggunakan konsep peralihan pergerakan bendalir yang serupa. Bendalir juga merupakan medium perantara yang terpenting sekali dalam sistem hidraulik. Selain itu, sistem ini digunakan di mana-mana sahaja seperti pada permainan kanak-kanak, lori sampah, gerudi pelantar, traktor dan bermacam-macam lagi.
Apakah itu bendalir?
Bendalir merupakan suatu medium yang boleh mengalir secara berterusan dan ianya juga tidak mempunyai rintangan yang konsisten terhadap apa-apa anjakan. Selain itu, bendalir juga akan mengisi ruang kosong sesuatu bekas dengan menyamai bentuknya.
Jenis-jenis bendalir hidraulik
Kebiasaanya kita beranggapan bahawa sistem hidraulik menggunakan air sebagai perantara daya gerakan namun terdapat bendalir jenis lain yang lebih baik berbanding air sahaja. Dibawah ini merupakan bendalir-bendalir yang popular digunakan sebagai bendalir hidraulik.
- Bendalir berasaskan air – Bendalir ini sangat tahan akan api. Namun, bendalir jenis ini perlu diberikan pemerhatian yang rapi kerana ianya tidak memberikan kemampuan pelinciran yang baik. Selain itu, bendalir ini juga senang menyejat dalam suhu yang tinggi.
- Bendalir berasaskan petroleum – Bendalir jenis ini merupakan bendalir yang paling popular digunakan. Selain itu, ia juga boleh diubah suai dengan menepati citarasa yang diinginkan. Sebagai contoh, bendalir ini boleh ditambah dengan ejen penghalang karat dan pengoksidaan.
- Bendalir sintetik – Bendalir jenis ini dicipta oleh manusia dan sangat berguna untuk digunakan dalam sistem hidraulik berketekanan tinggi dan bersuhu tinggi. Selain itu, ia juga tahan api dan juga boleh melincirkan sistem itu. Namun, bendalir jenis ini agak mahal berbanding bendalir jenis-jenis yang lain dan juga bertoksik.
Teori sistem hidraulik
Terdapat empat prinsip asas dalam sistem hidraulik iaitu bendalir yang ketiadaan bentuk, bendalir tidak boleh dimampatkan, kemampuan untuk memindahkan tekanan ke semua arah dan kemampuan untuk digunakan dalam kerja berat;
- Bendalir yang ketiadaan bentuk – Bendalir akan mengisi ruang kosong sesuatu objek dengan mudah sekali. Ciri-ciri ini sangat sesuai untuk sistem hidraulik yang mempunyai rekaan komponen yang rumit.
- Bendalir tidak boleh dimampatkan – Bendalir merupakan medium yang tidak boleh dimampatkan dengan mudah. Oleh hal yang demikian, ia sangat sesuai digunakan kerana ia mampu memindahkan tekanan yang dikenakan ke tempat lain.
- Kemampuan untuk memindahkan tekanan ke semua arah – Sistem hidraulik menggunakan konsep hukum Pascal dimana tekanan yang diberikan adalah sama dengan tekanan yang dikeluarkan pada tempat lain.
- Kemampuan untuk digunakan dalam kerja berat – Sistem hidraulik mampu untuk digunakan untuk kerja-kerja berat walapun rekaan sistem yang agak ringkas.
Anda juga boleh cuba menjawab soalan-soalan berkenaan hukum Pascal di bawah untuk meningkatkan lagi kefahaman anda;
Konsep aplikasi hidraulik
Untuk memudahkan pemahaman tentang aplikasi sistem hirdaulik dalam dunia sebenar, kita boleh lihat bagaimana pistol air mainan berfungsi. Konsep yang diguna pakai ialah konsep hukum Pascal.
Apabila anda menekan picu yang berwarna merah itu, anda akan menggunakan daya yang tinggi untuk menekannya maka picu itu bergerak ke bawah dengan perlahan. Hal ini demikian kerana air didalamnya dipaksa untuk melalui ruang yang sempit dan keluar dalam kadar kelajuan yang tinggi dengan daya rintangan yang rendah.
Jika kita terbalikkan pula dimana bahagian yang kecil dijadikan picu untuk kita tekan, kita dapat merasakan bahawa ianya mengambil masa yang sedikit lama untuk picu kecil itu turun ke bawah dan hanya daya yang sedikit sahaja perlu ditekan.
Komponen dalam sistem hidraulik
Komponen asas dalam sistem hidraulik dalam industri semasa meliputi empat jenis komponen berbeza;
- Tangki takungan – Ruang kosong yang menyimpan bendalir yang berperanan untuk menyerap tekanan dan mengalihkannya ke tempat lain.
- Pam – Berperanan untuk menggerakkan bendalir di dalam tangki takungan melalui daya mekanikal.
- Injap – Injap berperanan untuk mengawal pergerakan bendalir sama ada berhenti atau menukar arah.
- Penggerak – Penggerak berperanan untuk menukarkan daya gerakan hidraulik kepada gerakan mekanikal. Terdapat beberapa jenis penggerak yang digunakan untuk kegunaan yang berbeza.
2 thoughts on “Bagaimanakah sistem hidraulik berfungsi?4 min read”