Pencetak 3D untuk beginner dan yang baru nak mula12 min read
Lompat untuk lihat terus senarai pencetak 3D untuk beginner dan yang baru nak mula kalau tidak mahu saya berceloteh panjang kenapa anda patut beli pencetak 3D dan macamana nak pilih sebelum beli 😆.
Mungkin agak berlebihan kalau saya kata percetakan 3D mengubah hidup saya. Namun, percetakan 3D membuka ruang kepada saya untuk menceburi dalam bidang perniagaan kecil, menjual cenderhati dan hadiah yang direka sendiri melalui permodelan 3D dan dicetak oleh pencetak 3D pertama yang saya beli. Ketika itu saya buat kecil-kecilan sebagai hobi, dengan bermodalkan RM 1500, saya dapat balikkan modal untuk menampung kos permulaan tersebut dan menghasilkan duit sampingan pada waktu itu dalam masa setahun.
Selain daripada membuat duit, pencetak 3D juga bagus untuk mengembangkan kreativiti dan mengembangkan otak kanan anda. Ketika dalam proses permodelan 3D menggunakan perisian CAD dalam komputer, tiada apa yang dapat menghalang imaginasi anda untuk menghasilkan sesuatu kecuali hukum fizik dan batasan kebolehan pencetak 3D yang anda gunakan. Oleh itu, saya sarankan pencetak 3D untuk anak-anak dan pelajar sekolah kerana pada fasa tumbesaran inilah paling penting untuk mengembangkan kognitif dan kreativiti anak-anak. Perkembangan minda pada fasa ini menentukan kebolehan dan kerjaya anak-anak pada usia dewasa mereka.
Lagi satu pengalaman yang saya nak kongsi adalah kali pertama saya lihat dan menggunakan pencetak 3D adalah sewaktu belajar di universiti di UK. Boleh dikatakan lambat juga saya didedahkan dengan teknologi ini. Juga, secara kasar, satu daripada empat orang yang saya kena di sana mempunyai pencetak 3D di rumah mereka. Ini sangat berbeza di Malaysia kerana tiada rakan yang saya kenal mempunyai pencetak 3D di rumah. Tapi, masih ada sebilangan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai pencetak 3D yang saya jumpa di group Facebook. Oleh itu, artikel kali ini ditulis untuk membantu dan menyenaraikan pencetak 3D untuk beginner dan yang baru nak mula menceburi hobi atau bidang ini.
Apakah itu Pencetak 3D?
Pencetak 3D adalah satu teknologi mesin dalam pembuatan bahan tambah (additive manufacturing) yang digunakan untuk menghasilkan objek 3D. Dalam percetakan 3D, bahan mentah seperti plastik atau logam dicairkan atau digabungkan menggunakan haba, sinaran UV atau laser secara lapisan demi lapisan. Sebab itu ianya dipanggil pembuatan bahan tambah. berbeza dengan pembuatan bahan tolak seperti teknologi mesin CNC yang memotong dan menghakis sesuatu blok bahan untuk menghasilkan bentuk yang diingini.
Teknologi pencetak 3D ini telah lama digunakan sejak 1980 dalam industri pembuatan. Juga mesin tersebut adalah mahal dan hanya mampu di miliki oleh syarikat besar. Namun, yang menariknya, pada tahun 2009, pencetak 3D mula mampu dimiliki oleh pengguna domestik seperti penggemar hobi dan orang biasa kerana rekaan pencetak 3D meja (desktop 3D printer) yang sangat berkos rendah cukup untuk memenuhi keperluan pengguna domestik. Pencetak 3D berkos rendah ini mempunyai harga dalam lingkungan RM1000 hingga RM 15000. Pencetak 3D yang berharga RM 1000 juga sudah cukup bagus untuk digunakan oleh pelajar dan penggemar hobi.
Ciri-Ciri Penting Untuk Memilih Pencetak 3D
Sebelum saya senaraikan pencetak 3D yang mudah digunakan untuk beginner dan yang baru nak mula, kita perlu tahu cara-cara untuk memilih pencetak 3D yang bersesuaian dengan cara penggunaan anda. Setiap pencetak 3D yang berbeza mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Seperti membuat pilihan untuk membeli kereta, kita perlu tahu kapasiti enjin, luas dalaman dan sebagainya. Untuk memilih pencetak 3D pula, kita perlu mengetahui ciri-ciri yang kita boleh pertimbangkan seperti berikut:
- Teknologi pencetak 3D (FDM atau SLA).
- Kemudahan pemasangan.
- Saiz platform percetakan (print bed size).
- Kaedah penyambungan.
- Mempunyai platform yang dipanaskan atau tidak.
Kenali teknologi pencetak 3D untuk beginner
Terdapat dua jenis teknologi yang sesuai untuk beginner iaitu:
FDM (Fused Deposition Modeling)
Pencetak 3D FDM menggunakan polimer themoplastik (plastik yang boleh dicairkan dan dibentukkan semula menggunakan haba) untuk menghasilkan objek tiga-dimensi. Dalam jenis ini, filamen plastik ditolak kedalam pemanas, dicairkan dan dikeluarkan melalui muncung ke platform lapisan demi lapisan untuk membentuk objek yang diingini.
SLA (Stereolithography)
Jenis pencetak 3D ini menggunakan konsep fotopempolimeran (photopolymerization) dimana cahaya digunakan untuk menggalakkan reaksi pempolimeran yang membentuk struktur polimer yang berangkai silang. Dalam pencetak 3D SLA, laser yang kuat digunakan untuk memberikan cahaya pada cecair resin mengikut lapisan objek yang diingini untuk membentuk objek tiga-dimensi. Bahagian cecair resin tersebut yang terdedah pada cahaya akan mengeras dan membentuk objek 3D.
FDM atau SLA? Yang mana sesuai untuk anda?
Untuk tahu yang mana sesuai untuk anda, ianya mengikut apakah tujuan penggunaan anda. Pencetak 3D FDM sesuai digunakan untuk mencetak objek fungsian, iaitu jika anda menggunakan objek tersebut kerana struktur kekuatan fizikalnya. Contohnya, jika anda ingin mencetak bekas pensel, pemegang telefon, pendakap pemasangan ataupun apa-apa objek praktikal. Dalam erti kata lain, pencetak 3D FDM sesuai untuk mencetak objek besar. Pencetak 3D FDM menggunakan filamen sebagai bahan mentah. Filamen ini hanya perlu disimpan dalam kondisi kering dan tidak lembap supaya ia tahan lama.
Pencetak 3D SLA pula sesuai digunakan untuk sesiapa yang ingin mencetak objek untuk tatapan seperti miniatur atau apa-apa objek 3D yang memerlukan perincian yang tinggi. Pencetak 3D ini terkenal dikalangan artis yang memodelkan bentuk yang kompleks dan terperinci untuk dicetak dalam bentuk 3D. Kualiti yang dihasilkan oleh pencetak 3D SLA adalah lebih terperinci kerana mempunyai ketepatan yang lebih baik berbanding teknologi FDM. Selain itu, pencetak 3D SLA menggunakan cecair resin sebagai bahan mentah. Oleh itu, ia akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan dan anda perlu pengurusan cecair resin yang baik cirinya yang bertoksik.
Kemudahan pemasangan
Terpulang kepada anda sama ada anda mahukan pencetak 3D yang sedia digunakan (plug and play) selepas anda membelinya atau anda seorang yang DIY, sukakan cabaran dan ingin memasang pencetak 3D yang anda beli, anda boleh beli pencetak 3D yang perlukan pemasangan. Terdapat pencetak 3D yang hanya perlukan separuh pemasangan dan juga terdapat pencetak 3D yang memerlukan pemasangan penuh. Jangan risau jika anda takut untuk memasangnya kerana mereka akan memberikan manual cara pemasangan. Mengikut pengalaman saya, ketika saya baru membeli pencetak 3D yang memerlukan pemasangan, saya mengambil kira-kira dua jam untuk pemasangan kali pertama.
Saiz platform percetakan
Lain model pencetak 3D menawarkan saiz platform percetakan yang berlainan. Fikirkan apa objek apa yang anda akan cetak selepas anda membeli pencetak 3D. Kalau anda rasa anda akan mencetak objek yang besar, belilah pencetak 3D yang mempunyai saiz platform yang besar. Saiz biasanya diberikan dalam bentuk isipadu, contohnya: 220 x 220 x 250 mm. Untuk tujuan pembelajaran, sudah memadai untuk membeli saiz percetakan yang kecil contohnya: 120 x 120x 120 mm.
Kaedah penyambungan
Untuk mencetak sesuatu, anda perlu memindahkan fail model objek daripada komputer ke pencetak 3D anda. Pencetak 3D akan menggunakan fail tersebut sebagai arahan untuk menggerakkan motor-motor seterusnya mencetak objek yang anda inginkan. Cara yang paling asas dan berkos rendah bagi pencetak 3D untuk mendapatkan fail tersebut adalah dengan menggunakan kad memori microSD. Oleh itu, anda perlu memasang dan mencabut kad memori tersebut antara pencetak 3D anda dan komputer setiap kali anda ada objek baharu yang anda mahu cetak. Cara kedua yang lebih mudah adalah dengan menyambungkan komputer dan pencetak 3D menggunakan wayar secara kekal. Cara yang paling mudah namun mahal adalah menggunakan sambungan Wi-Fi di rumah. Pencetak 3D akan disambungkan ke Wi-Fi rumah dan komputer anda boleh menghantar fail tanpa wayar.
Pilih kaedah pencetak 3D dengan kaedah penyambungan yang mengikut bajet anda. Sungguhpun anda membeli pencetak 3D dengan hanya menggunakan microSD sebagai kaedah penyambungan, jangan risau kerana anda masih boleh menaik taraf kepada sambungan Wi-Fi di masa hadapan dengan menggunakan sistem OctoPi yang dipasang pada komputer papan tunggal RaspberryPi dengan kos tambahan lebih kurang RM 200.
Kelengkapan pemanas platform percetakan
Bagi pencetak 3D berjenis FDM, anda diberi pilihan sama ada untuk membeli pencetak yang mempunyai pemanas pada platform percetakan atau tidak. Ini kerana pemanas pada platform percetakan akan memudahkan urusan anda mencetak anda kerana objek yang dicetak pada platfrom yang dipanaskan akan mudah melekat dan mengurangkan kebarangkalian untuk objek tersebut tercabut daripada platform. Selain itu, terdapat dua bahan filamen terkenal yang boleh digunakan iaitu: ABS dan PLA. Mencetak ABS sangat memerlukan platform yang dipanaskan manakala mencetak mengugnakan bahan PLA tidak wajib untuk ada pemanas platform. Saya cadangkan untuk beli pencetak 3D yang mempunyai pemanas platform kerana anda boleh mencetak menggunakan bahan PLA yang mudah untuk dikendali.
Senarai pencetak 3D yang sesuai untuk beginner dan yang baru nak mula
Sekarang, mari kita lihat beberapa senarai pencetak 3D yang sesuai untuk beginner dan yang baru nak mula. Pencetak 3D yang saya senaraikan adalah barisan pencetak 3D dalam lingkungan harga rendah dan mempunyai jenama yang dikenali. Senarai dibawah juga adalah berdasarkan model yang boleh didapati di pasaran Malaysia setakat waktu artikel ini ditulis.
Elegoo Mars Pro
RM 1250
Elegoo merupakan salah satu jenama pencetak 3D SLA yang terkenal dan murah. Elegoo Mars pula adalah model untuk pemula. Terdapat beberapa jenis Elegoo Mars iaitu Eleogo Mars Pro dan Elegoo Mars Pro 2. Model Elegoo yang lebih mahal pula adalah seperti Elegoo Saturn.
Untuk Elegoo Mars Pro ini, ia mempunyai resolusi sebesar 0.047mm. Kelajuan percetakannya adalah 22.5mm/jam. Elegoo Mars Pro menggunakan perisian slicer Chitu Box. Untuk memindahkan fail, ia menggunakan pemacu USB yang diberikan sekali bersama pencetak.
ANYCUBIC Photon Mono
RM999
Photon Mono adalah model yang mungkin lebih baik berbanding Mars Pro sebelum ini kerana isi padu percetakannya yang sedikit lebih besar berbanding Elegoo Mars Pro.
Photon Mono tidak memerlukan pemasangan yang rumit, anda hanya perlu menggabungkan beberapa komponen besar yang terpisah. Kelajuan maksimum percetakannya adalah 50mm/jam. Pemacu USB diberikan untuk memudahkan anda memindahkan fail percetakan dari komputer kepada pencetak 3D tersebut. Perisian yang digunakan adalah Anycubic Photon workshop yang merupakan lebih mudah digunakan bagi pemula.
Creality Ender 3 Pro
RM1196
Model ini merupakan model yang saya faham kerana saya sendiri menggunakannya dan merupakan pencetak 3D pertama saya. Salah satu sebab kenapa saya membelinya kerana siri Ender 3 merupakan model pencetak 3D desktop yang paling ramai digunakan bagi penggemar hobi percetakan 3D FDM. Dengan komuniti penggunya yang ramai, mudah untuk kita mencari pendapat dan solusi jika terdapat masalah atau mahu memodifikasi pencetak 3D.
Terdapat juga mesin pencetak 3D lebih kurang sama dan murah harganya berbanding Ender 3 Pro, namun, model daripada Creality ini membuktikan mesin pencetak 3D berkos rendah dengan kualiti yang memuaskan. Sebab lain kenapa saya memilih model ini adalah kerana isipadu percetakannya yang besar berbanding model murah yang lain. Kelebihan lain Ender 3 Pro adalah patform percetakan yang menggunakan magnet, yang mudah untuk digunakan. Ini merupakan ciri baru yang ditambah keatas model sebelumnya (Ender 3) yang tidak menggunakan platform magnet.
Creality Ender 5 Plus
RM2298
Anda mahu cetak objek yang lebih besar? Jangan risau, kerana terdapat juga model daripada Creality yang menawarkan mesin pencetak 3D yang lebih besar iaitu Ender 5 Plus. berdasarkan namanya, mereka memang maksudkan dengan ‘plus‘ untuk memberikan anda isipadu percetakan yang lebih besar iaitu (350✕ 350✕ 400) mm, jauh lebih besar daripada Ender 3 Pro. Terdapat juga model Ender 5 yang lain iaitu Ender 5 dan Ender 5 Pro. Ender 5 dan Ender 5 Pro mempunyai isipadu percetakan yang lebih kecil, namun kelebihannya pada Silent Board yang dilengkapinya menghasilkan bunyi yang lebih senyap daripada Ender 3 Pro.
Selain daripada isipadu percetakannya yang besar, Ender 5 Pro mempunyai kelebihan dari segi sistem pergerakannya yang bergerak dalam satah XY, berbanding model Ender 3 Pro yang bergerak dalam paksi X dan Z. Dalam erti kata lain, Ender 3 Pro mempunyai platform yang bergerak ke sisi dan kebelakang/hadapan manakala Ender 5 Pro tidak. Platform pada Ender 5 Pro hanya bergerak ke atas dan kebawah. Kenapa ini satu kelebihan? Ini kerana terdapat inersia yang tinggi pada platform menyebabkan percetakan tidak sesuai untuk dibuat dalam kelajuan tinggi. Jika platform tidak bergerak ke sisi dan hadapan/belakang, hanya lengan muncung yang bergerak, percetakan lebih berkualiti dan sesuai dilakukan dalam kelajuan tinggi kerana hanya terdapat inersia yang kecil pada lengan muncung mesin.