Mengenali teknologi Face ID3 min read
Face ID
Teknologi Face ID merupakan salah satu teknologi terbaharu yang diperkenalkan oleh syarikat gergasi Apple pada tahun 2017 ketika mereka memperkenalkan model iPhone terbaharu iaitu iPhone X. Sehingga kini mereka masih mengguna pakai dan menaik taraf teknologi ini pada kebanyakkan model-model baharu mereka.
Dengan beralih kepada teknologi Face ID, syarikat Apple telah membuang teknologi Touch ID pada peranti-peranti Apple.

Bagaimana Face ID berfungsi
Teknologi Face ID akan mengesan muka anda untuk membuka akses kepada paparan muka sebagai sekuriti kepada pengguna. Pengimbasan muka ini dilakukan oleh beberapa teknologi di bawah Face ID seperti kamera atau lensa True Depth di belah atas peranti pintar tersebut.
Selain itu, cip Bionic dan rangkaian neural (neural network) juga memainkan peranan dalam pengimbasan muka. Teknologi ini juga dapat menyesuaikan diri jika anda mengalami perubahan sedikit pada wajah anda seperti komestik, memakai kaca mata dan sebagainya.
Kamera True Depth
Kamera atau lensa ini mempunyai beberapa komponen untuk mengimbas muka secara 3D. Terdapat 8 komponen (berdasarkan model iPhone X) iaitu:
- Kamera 7-Megapiksel
- Projektor grid
- Mikrofon
- Pembesar suara
- Sensor cahaya ambien
- Sensor jarak
- Pencahayaan inframerah
- Kamera inframerah

Ketika anda ingin mengakses peranti anda, kamera inframerah akan menangkap wajah anda dan memancarkan sehingga 30,000 dot inframerah di muka anda untuk membuat peta pada wajah anda dan membawa data tersebut kepada rangkaian neural. Dengan cahaya inframerah ini, anda dapat mengakses pada peranti anda walaupun dalam kawasan yang gelap.
Rangkaian Neural
Rangkaian neural pada peranti iPhone anda akan mengimbas data wajah anda bersama dengan wajah anda yang telah di imbas pada tetapan supaya kedua-duanya sama untuk akses kepada peranti anda. Apple mendakwa bahawa teknologi ini sangat selamat dan terjamin kepada pengguna.

Cip Bionic
Apple telah menghasilkan cip rangkaian neural A11 Bionic untuk membaca dan memproses data-data yang diperlukan untuk teknologi Face ID ini. Cip ini telah dihasilkan untuk model iPhone X dan sentiasa dikemaskini untuk model-model baharu yang hadir selepasnya seperti A14 Bionic untuk iPhone 12 Pro (model tahun 2020). Dengan kata mudah, cip ini merupakan komponen yang khas dihasilkan oleh Apple untuk mengendalikan ratusan bilion operasi per saat seterusnya sesuai untuk mengendalikan teknologi pengimbasan muka ini.
