Eskalator: Bagaimanakah ia berfungsi?4 min read
Tangga bergerak atau dipanggil sebagai eskalator merupakan suatu mekanisma ringkas yang digunakan untuk membawa objek atau manusia menaik ke tingkat atas atau menurun ke tingkat bawah secara vertikal. Selain itu, eskalator juga mempunyai kapasiti untuk mengangkut manusia dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa. Ia juga banyak didapati di dalam bangunan seperti pejabat, bangunan komersial, pasaraya dan sebagainya.
Mekanisma Asas
Sebuah eskalator dikuasai oleh motor elektrik arus ulang-alik (alternating current) secara kelajuan tetap. Kebiasaanya kelajuan pergerakan tangga bergerak ini dalam lingkungan 0.5 m/s dengan menggunakan kuasa kuda sebanyak 100 hp. Di samping itu, sudut maksimum untuk tangga bergerak ini adalah dalam lingkungan 30-50 darjah.
Komponen
Antara komponen-komponen penting untuk sesebuah eskalator ialah;
- Tapak tangga
- Trek dalaman dan luaran
- Struktur kekuda (truss)
Struktur kekuda
Struktur kekuda ialah struktur besi yang mempunyai keratan geronggang yang menghubungkan platfom pendaratan atas dan platform pendaratan bawah. Selain itu, struktur kekuda ini juga bertujuan untuk menampung beban binaan eskalator disamping beban oleh orang yang menggunakannya.
Tapak tangga
Tapak-tapak tangga eskalator ini adalah sebuah tapak yang padu dan dibuat dengan bahan aluminum melalui proses penuangan acuan (die-casting process). Paparan tapak ini mempunyai corak seperti sikat agar ia senang untuk melalui keluar dan masuk platform pendaratan atas dan bawah dengan mudah. Selain itu, tapak tangga ini disambungkan dengan roda luaran dengan rantai besi supaya mereka dapat membentuk sistem gelung tertutup.
Terdapat dua jenis roda yang disambungkan dengan tapak tangga tersebut iaitu roda mengekor pada bahagian hadapan untuk trek dalam manakala roda langkah (step-wheel) pada bahagian belakang tangga untuk trek luaran.
Trek
Sistem trek untuk eskalator dibina di dalam kerangka kekuda untuk disambungkan dengan rantaian langkah (step-chain) dimana ia menarik tapak-tapak tangga ke atas atau sebaliknya secara berterusan.
Roda-roda yang dibina bersama tapak tangga ( roda langkah) disambungkan kepada rantaian langkah (step chain) yang dipusingkan oleh sistem gear utama. Manakala roda mengekor pula hanya mengekori pergerakan roda yang satu lagi, tanpa ditarik oleh sesiapa pun.
Di samping itu, tapak-tapak tangga akan disusun membentuk sebuah tangga apabila terdapat perbezaan ketinggian antara roda hadapan dan roda belakang.
Sistem Pergerakan
Kesemua komponen digerakkan melalui sistem gerakan yang terdiri daripada 3 elemen utama iaitu mesin gerakan dengan pengurang gear, sistem gerakan langkah (step drive) dan sistem selusur tangan.
Mesin gerakan dan gear utama
Keseluruhan sistem eskalator dikuasai oleh motor elektrik arus ulang-alik dengan kelajuan tetap. Motor ini diletakkan di bawah atau di dalam platform pendaratan atas. Selain itu, motor ini disambung dengan sistem gear utama dimana ia memancar tork kembali kepada pemacu rantai untuk menggerakkan tapak tangga tersebut.
Sistem gerakan langkah
Sistem ini mempunyai dua rantai yang dihubungkan secara langsung dengan gear utama untuk digerakkan. Rantai langkah berada di dalam manakala rantai selusur berada di luar. Rantai langkah akan digerakkan dengan rantai gear utama sambil menarik tapak-tapak tangga tersebut.
Sistem gerakan selusur
Sistem ini digerakkan secara langsung oleh sistem gerakan langkah dengan bantuan rantai lebihan yang disambungkan dengan gear utama. Oleh hal yang demikian, kedua-dua sistem selusur dan gerakan langkah bergerak dengan kelajuan yang sama untuk memastikan keselesaan untuk pengguna.