Asbestos – Jarum halus yang membunuh anda14 min read

Asbestos merupakan satu bahan yang suatu ketika digunakan secara meluas dalam perumahan dan bangunan. Pernahkah anda mendengar tentang asbestos? Tahukah anda bahawa atap bumbung ataupun siling rumah berkemungkinan mengandungi asbestos yang berisiko perlahan-lahan memusnahkan paru-paru anda? Adakah anda cakna bahawa Malaysia belum mengharamkan sepenuhnya asbestos meski saranan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)? Ayuh kita kenali lebih lanjut sejarah dan bahaya asbestos!

Pengenalan

Asbestos ialah nama umum yang diberikan kepada mineral-mineral gentian silikat yang terbentuk secara semula jadi , ditemukan di dalam batu dan tanah. Ia terhasil daripada gumpalan serat (fibre) yang berbeza-beza saiz dan bentuk. Jika serat ini diperincikan di bawah mikroskop, dapat dilihat bahawa serat ini terdiri daripada struktur fibril seperti kaca dan jarum.

Asbestos diperolehi melalui perlombongan di kuari/tapak perlombongan. Mineral-mineral silikat yang tergolong dalam asbestos ialah anthrophyllite, croicidolite (asbestos biru), amosite (asbestos perang), chrysotile (asbestos putih), tremolite, dan actinolite. Antara negara yang pernah dan masih melombong asbestos secara besar-besaran dan merupakan eksport terbesar ialah Kanada, Brazil, China, Russia, dan Afrika Selatan. Malaysia bukanlah salah satu negara yang melombong asbestos.

Sejarah dan Bahaya asbestos
Struktur fibril asbestos di bawah mikroskop (kredit: microlabgallery.com)
Asbestos with muscovite.jpg
Asbestos tremolite yang berserat (kredit: Aram Dulyan)

Ciri-ciri asbestos

Mengapakah asbestos digunakan secara begitu meluas pada suatu ketika dahulu? Hal ini kerana ciri-ciri asbestos yang begitu ideal untuk kegunaan industri dalam skala yang besar seperti berikut:-

  • Murah dan kewujudannya secara semula jadi yang banyak dan boleh dilombong
  • Lengai (chemically inert), tidak larut dalam air dan pelarut organik, tidak larut dalam asid kecuali chrysotile
  • Menebat haba dan arus elektrik
  • Kalis haba dan api, asbestos tidak terurai pada suhu yang tinggi
  • Gentian asbestos adalah sangat kuat dan fleksibel membolehkan serat-seratnya dipintal menjadi produk
  • Tidak mempunyai sebarang bau
  • Berupaya menyerap bunyi
  • Kekuatan tegangan (tensile strength) yang boleh menandingi besi
Kekuatan tegangan asbestos
Perbandingan kekuatan tegangan pelbagai bahan berbanding asbestos (kredit: Canadian Mining and Metallurgical Bulletin)

Dua kumpulan asbestos

Asbestos dianggarkan wujud dalam 2/3 daripada batu di dalam kerak Bumi dan sering ditemukan bersama-sama bahan bukan asbestos tetapi mempunyai formula kimia yang sama (non-asbestos counterparts), yakni bahan yang strukturnya tidak diubah oleh tekanan dan haba yang ekstrem di dalam kerak Bumi sehingga menjadi gentian seperti asbestos. Asbestos tergolong di dalam dua kumpulan mineral iaitu serpentine dan amphibole.

Serpentine – Hanya chrysotile yang tergolong dalam kumpulan serpentine. Chrysotile melengkung, lebih fleksibel dan lebih lembut berbanding asbestos amphibole maka lebih mudah untuk dipintal. Natiijahnya, asbestos ini merupakan jenis asbestos yang paling banyak digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti simen, bahan bumbung dan kegunaan automotif. Chrysotile secara umumnya dianggap kurang merbahaya berbanding asbestos amphibole.

Amphibole – 5 asbestos lain tergolong dalam kumpulan amphibole. Asbestos amphibole bersifat lebih rapuh. Amosite bersifat tajam dan seratnya seakan-akan jarum yang mudah repui (friable), digunakan misalnya untuk bahan penebat dan jubin siling. Croicidolite pula seratnya sangat kecil dan lebih disedut ke dalam paru-paru jika repui dan terampai di udara, ketahanannya ke atas haba dan api juga kurang maka penggunaannya jarang dan sesekali digunakan dalam pembuatan simen asbestos. Tremolite kebanyakannya hanya ditemukan sebagai pencemar dalam produk vermiculite, begitu juga dengan actinolite yang hanya digunakan sebagai bahan sampingan dalam produk vermiculite.

asbestos
6 mineral asbestos (kredit: The Mesothelioma Centre)

Sejarah ringkas kegunaan asbestos

Kajian arkeologi menemukan bukti bahawa asbestos telah digunakan seawal Zaman Batu untuk menguatkan mangkuk tembikar. Sekitar 5000 Sebelum Tahun Masihi (BCE), seramik asbestos telah ditemukan di Finland, Karelia dan semenanjung Fennoscandia. Mereka mencampurkan tanah liat dan asbestos untuk menghasilkan peralatan memasak kerana keupayaannya untuk menyimpan haba dengan lama.

Asbestos juga ada disebut oleh biskop Gereja Koptik Orthodoks di Alexandria, Athanasius pada 318 AD. Menurut at-Tabari, Khosrow II Parviz, seorang raja Empayar Iran pada tahun 590 – 628, mempunya sapu tangan yang dibersihkan hanya dengan mencampakkannya ke dalam api, dan dipercayai diperbuat daripada asbestos yang dibawa dari Hindu Kush.

Era industri asbestos

Pada awal abad ke-19, croicidolite telahpun ditemukan di Free State, Afrika. Industri asbestos secara besar-besaran bermula pada pertengahan abad ke-19, sejajar dengan Revolusi Industri dengan meningkatnya penggunaan enjin wap, dandang dan generator elektrik, dengan bermulanya perlombongan asbestos pada skala yang besar di wilayah Quebec, Kanada pada 1878, bermula dengan penemuan deposit chrysotile yang banyak dan seterusnya menarik minat banyak pihak apabila dipamerkan di London. Penghasilan asbestos juga bermula di Pergunungan Ural pada 1880-an dan di Pergunungan Alps di Turin, utara Itali. Amosite mula dilombong di Transvaal, Afrika Selatan pada 1910 dan anthophyllite di Finland pada awal 1900-an.

Sebelum lewat 1800-an, perlombongan asbestos dijalankan secara manual, tidak membabitkan sebarang mesin. Namun, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat, ditambah pula dengan perkembangan industri kereta api, mesin-mesin automatik telah terlibat dalam perlombongan asbestos untuk mengoptimumkan proses penghasilan, sekali gus melipat gandakan kuantiti penghasilan.

Perang Dunia Ke-2, perkembangan industri pembinaan, industri automotif dan jalan raya, telah merancakkan lagi permintaan dan penggunaan asbestos. Kemuncaknya adalah pada tahun 1977 di mana sebanyak 4.8 juta metrik tan asbestos telah dihasilkan yang kemudiannya turun secara mendadak apabila komuniti global mula menyedari akan kesan-kesan buruk penggunaan asbestos.

Penghasilan asbestos global dari tahun 1900-2017 (kredit: Wjfox2005)

Asbestos di Malaysia

Seperti yang dinyatakan di atas, Malaysia bukanlah negara pengeluar asbestos dan asbestos diimport dari negara-negara lain untuk diproses di kilang-kilang di Malaysia menjadi pelbagai jenis produk. Asbestos didapati mula bertapak di Malaysia pada 1960-an, apabila kilang asbestos pertama memulakan operasi pada 1963, usaha sama (joint venture) dengan syarikat Jepun dan Australia. Industri asbestos tempatan tertumpu kepada pembuatan produk-produk seperti atap bumbung, paip simen asbestos dan gasket.

Rajah di bawah menunjukkan kuantiti asbestos yang dimport dari 2000-2013. Sepanjang 2000-2007, empat negara terbesar yang Malaysia mengimport asbestos daripadanya ialah Kanada, Brazil, Russia dan Afrika Selatan. Walaupun kuantiti import ini merudum, secara relatifnya ini masih dikira banyak kerana Croatia yang telah mengimport secara purata 4000 tan metrik (1995-2001) melaporkan sebanyak 317 kes penyakit berkaitan asbestos (asbestos-related diseases, ARD) (1990-2000) manakala Malaysia hanya melaporkan sebanyak 26 kes (1990-2005). Hal ini memberi petunjuk bahawa kurangnya dokumentasi kes ARD di Malaysia salah satu sebabnya kerana kurangnya doktor pakar terlatih untuk melakukan diagnosis awal ARD. Malangnya, secara amnya negara-negara membangun masih ketinggalan dari sudut kajian tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (occupational safety and health) atas kekangan politik, kewangan dan sosial.

Kuantiti asbestos yang diimport dari 2000-2007 (kiri) dan dari 2008-2013 (kanan)

Kegunaan Asbestos

Asbestos digunakan secara meluas dalam pelbagai industri untuk pelbagai aplikasi. Seperti yang dinyatakan asbestos dari kumpulan serpentine, yakni chrysotile lebih dominan penggunaannya berbanding asbestos-asbestos dalam kumpulan amphibole.

  • Kegunaan asbestos serpentine – panel drywall, plaster, lapisan/semburan/panel kalis api, siling popcorn, pakal (caulk), kasut, selimut kalis api, bumbung, pakaian kalis api dan aditif, pad brek, gasket, kasut dan lain-lain.
  • Kegunaan asbestos amphibole – bod penebat berketumpatan rendah, jubin siling, simen asbestos untuk pembinaan dan paip, gasket dan lain-lain.
Sejarah dan Bahaya Asbestos
Antara aplikasi asbestos dalam industri dan kegunaan harian
Sejarah dan Bahaya Asbestos
Antara kegunaan asbestos di Malaysia yang direkodkan setakat 2011

Impak dan Bahaya Asbestos

Menurut Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO), dianggarkan 125 juta pekerja terdedah kepada asbestos di tempat kerja dan dianggarkan 107000 orang mati setiap tahun akibat ARD. Sebenarnya, sejarah dan bahaya asbestos telah pun disedari seawal tamadun Greek dan Rom. Ahli geografi Greek, Strabo dan sejarawan Rom, Pliny the Elder mengakui penyakit paru-paru dalam kalangan hamba yang bekerja dengan asbestos. Tidaklah digalakkan untuk membeli hamba yang bekerja dengan asbestos kerana mereka cenderung unruk mati lebih awal. Malah, Pliny turut mencatatkan penggunaan lapisan daripada pundi kambing yang digunakan oleh pekerja-pekerja untuk melindungi daripada menyedut serat asbestos.

Padal awal 1900-an, telah didapati kematian awal yang mendadak di sekitar kawasan perlombongan asbestos. Dr. Montague Murray melalui post-mortemnya telah mendapati sisa-sisa asbestos dalam paru-paru seorang pemuda yang telah mati akibat fibrosis pulmonari setelah 14 tahun bekerja di kilang tekstil asbestos. Kajian serupa juga telah dilakukan di Perancis (1906) dan Itali (1908).

Setelah lebih ramai mengakui risiko asbestos, Dr. William Edmund Cooke telah menamakan asbestosis sebagai punca kematian Nellie Kershaw pada 1924. Dia mendapati parut pada paru-parunya yang menandakan simptom jangkitan tuberkulosis yang sudah pulih dan fibrosis yang meluas yang mana dapat dilihat partikel-partikel pelbagai bentuk yang tajam. Setelah ini, pada 1920-an hingga 1950-an, memuncaklah tuntutan yang dibuat oleh pekerja ke atas majikan dan juga desakan demi desakan oleh pengamal perubatan dan aktivis untuk melakukan langkah-langkah pencegahan yang wajar dalam usaha untuk membendung risiko asbestos.

Perbezaan antara paru-paru yang sihat (atas) dan yang menghidap komplikasi setelah terdedah kepada asbestos (kredit: National Heart Lung and Blood Institute)

Penyakit berkaitan asbestos (Asbestos-related diseases, ARD)

Kesan daripada asbestos hanya muncul selepas 30 tahun setelah terdedah kepada asbestos dalam tempoh yang lama. ARD dapat diklasifikasikan kepada barah dan bukan barah. ARD bukan barah termasuklah asbestosis, plak pleura, efusi pleura dan penebalan pleura dan barah pula seperti mesothelioma dan kanser paru-paru. Malah, terdapat bukti bahawa asbestos juga boleh mengakibatkan kanser larinks dan ovari.

Amosite dan croisidolite dianggap sebagai asbestos berserat yang paling berbahaya, namun, chrysotile tetap menunjukkan risiko dan ditemukan sebagai punca asbestosis dan mesothelioma. Asbestos jika tidak terurai/tidak repui, tidaklah membahayakan namun apabila ia mula repui dan menyebabkan serat-seratnya berterbangan di udara, itulah yang menimbulkan risiko pendedahan.

Sejarah dan Bahaya Asbestos
Atap asbestos yang sudah repui membolehkan gentiannya berterbangan
Asbestosis - Fibrous pleural plaque (7468458430).jpg
Plak yang terhasil pada pleura akibat terdedah kepada asbestos (kredit: Yale Rosen)

Status quo berhubung penggunaan asbestos

Setakat ini di peringkat global, 67 negara telah mengharamkan sepenuhnya penggunaan asbestos, kebanyakannya terdiri daripada negara-negara maju. Asbestos disenaraikan dibawah kategori sisa dikawal dalam Annex I, Basel Convention on the Control of Transboundary Movements of Hazardous Wastes and their Disposal [1992]. Secara umumnya, negara-negara anggota konvensyen ini diarahkan untuk melarang sebarang sisa mengandungi asbestos ke negara-negara anggota lain. Kebanyakan negara telah menyuarakan hasrat untuk menyenaraikan asbestos chrysotile dalam senarai bahan merbahaya (hazardous materials) pada Konvensyen Rotterdam 2015, walaupun 5 mineral asbestos yang lain sudah pun berjaya disenaraikan. Malangnya, negara-negara seperti Cuba, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Zimbabwe, Pakistan dan Russia menentang cadangan atas faktor kepentingan kewangan mereka ke atas asbestos chrysotile. Mereka mendakwa bahawa chrysotile selamat digunakan jika dikawal dengan baik. Konvensyen Rotterdam memerlukan kesemua 157 negara anggota untuk bersetuju agar mereka dapat meluluskan sebarang cadangan.

Menariknya, China dan Amerika Syarikat merupakan antara negara maju yang masih membenarkan penggunaan sesetengah produk asbestos. Setakat 2013, 5 negara teratas yang melombong dan mengeksport asbestos ialah Russia, China, Brazil (pengharaman penuh pada 2017), Kazakhstan dan India manakala 5 negara teratas yang menggunakan asbestos ialah China, Russia, India, Brazil dan Indonesia. Dapat disimpulkan bahawa negara-negara pengguna asbestos ini ialah negara-negara membangun dan negara-negara yang sedang pesat mengindustrikan negara mereka dan memerlukan bahan binaan yang murah dan mampu milik.

67 negara yang telah mengharamkan sepenuhnya penggunaan asbestos (kredit: Wikipedia)

Negara-negara yang telah mengharamkan (merah) dan mengetatkan kawalan (kuning) penggunaan asbestos setakat 2019 (kredit: asbestos.com)

Status quo di Malaysia

Di Malaysia, usaha pertama untuk cuba mengkaji kesan penggunaan asbestos telah melihat 1000 pekerja kilang simen asbestos daripada 1995-1997 dan menemukan 2 kes asbestosis dan 1 kes kanser bronki. Pada 1999-2003, laporan KKM, menemukan 21 kes mesothelioma dan laporan yang sama merekodkan 8353 kes neoplasma malignan pada bronkus dan paru-paru. Namun, seperti yang telah dinyatakan, rekod rasmi tentang ARD adalah terhad dan mengemukakan cabaran dalam menjustifikasikan polisi pengharam penuh asbestos di Malaysia. Hal ini menjelaskan mengapa Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen ILO No. 162 (C162) yang menyarankan pengharaman penuh.

Pertama kalinya, pada 1986, Peraturan Kilang dan Jentera (Proses Asbestos) 1986 telah mengharamkan penggunaan croicidolite, namun kelima-lima mineral asbestos yang lain masih dibernarkan sehingga kini. Pengharaman penggunaan asbestos dalam pembinaan sekolah, klinik dan hospital kerajaan dilaksanakan pada 1999. Pada 2005, menerusi Spesifikasi Piawaian JKR Untuk Kerja Bangunan 2005, pelaksanaan ini merangkumi kesemua bangunan kerajaan. Namun, produk asbestos untuk industri pembinaan seperti atap dan jubin siling masih wujud dalam pasaran dan ia masih dibenarkan untuk bangunan persendirian.

Setakat ini, dalam rantaian bekalan (supply chain) asbestos, terdapat pelbagai peraturan dan akta yang mengawal kemasukan dan penggunaan asbestos bermula dari peringkat awal pengimportan asbestos hinggalah kerja-kerja perobohan dan pembuangan/pelupusan sisa asbestos seperti yang dipaparkan di bawah.

Sejarah dan Bahaya Asbestos

Ahli-ahli akademik, aktivis-aktivis dan pelbagai lagi pemegang taruh masih giat mengusulkan cadangan pengharaman penuh asbestos kepada pembuat dasar. Asbestos yang berkos rendah lebih banyak ditemukan di kawasan kampung dan pedalaman sekaligus menjadikan kumpulan berpendapatan kecil lebih berisiko untuk terdedah kepada asbestos. Meskipun begitu, jubin siling asbestos masih terdapat dalam pasaran yang masih berkemungkinan digunakan oleh rumah moden. Malah, pekerja-pekerja dalam sektor pembinaan seperti kontraktor, arkitek, juruukur dan jurutera turut berisiko kepada pendedahan asbestos.

atap asbestos penyebab kanser
Atap yang diperbuat daripada asbestos (kredit: Alpha Cladding & Roof Maintenance)

Rujukan

https://en.wikipedia.org/wiki/Asbestos

Zen, I. S., Ahamad, R., Rampal, K. G. & Omar, W., 2013. Use of asbestos building materials in Malaysia: legislative measures, the management, and recommendations for a ban on use. International Journal of Occupational and Environmental Health, 19(3), pp. 169-178.

https://m.malaysiakini.com/letters/144830

https://environmentalchemistry.com/yogi/environmental/asbestosproperties2004.html

Asbestos: Types, Physical Characteristics, and Applications | TriMedia Environmental & Engineering Services, LLC (trimediaee.com)

Asbestos: general information – GOV.UK (www.gov.uk)

https://www.haspod.com/blog/asbestos/when-why-asbestos-banned-uk-construction#:~:text=Even%20though%20asbestos%20materials%20cannot%20be%20used%20in,work%20in%20buildings%20or%20structures%20built%20before%202000.

https://www.asbestos.com/asbestos/history/

https://www.boyesturnerclaims.com/news/asbestos-mining-and-export-around-world#:~:text=Asbestos%20mining%20and%20export%20around%20the%20world%201,with%20today%E2%80%99s%20current%20knowledge%20on%20the%20dangers%20

Mesothelioma & Asbestos Use Around the World

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *