Sejarah Penciptaan Kereta Dunia16 min read

Kenderaan Pra-Sejarah

Pernahkah anda tertanya siapakah yang mencipta kereta dan bagaimana sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia berlaku? Kereta adalah medium pengangkutan paling digemari manusia kerana kemudahan yang diberikan. Namun, kereta adalah sebuah mesin yang sangat kompleks. Mungkin sekarang ianya tidaklah sesusah seperti dahulu apabila manusia-manusia hebat mula memikirkan bagaimana untuk menggantikan kuda yang dahulunya bertindak sebagai enjin menjadi enjin seperti yang kita ada sekarang, yang boleh memberikan kuasa untuk memandu kenderaan. Semuanya bermula dengan kuda, atau anjing, atau mana-mana haiwan yang mereka gunakan untuk menarik kenderaan mereka waktu zaman pra-sejarah. Juga, sebelum adanya roda pada kenderaan, mereka menggunakan ‘travois‘, sebuah kerangka kayu yang digunakan untuk meletakkan barang, juga boleh dianggap sebagai troli tanpa roda. Boleh dilihat pada gambar ianya sangat tidak effisien disebabkan daya geseran yang tinggi dikenakan pada permukaan tanah. Mula digunakan seribu tahun dahulu, ianya masih diheret sehingga abad ke-19 masihi.

Rupa bentuk travois yang digunakan oleh masyarakat orang asli Amerika.
Sumber: Public Domain, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=213923

Penemuan roda

Kemudian, manusia mendapati roda mampu mengurangkan daya geseran pada tanah. Roda mula dijumpai sekitar 3500 BCE, merupakan salah satu ciptaan yang paling penting pada zaman pra-sejarah. Masyarakat Mesopotamia dan Mesir purba menggunakan roda untuk menggelungsurkan objek berat dan membina piramid. Namun, cara mereka menggunakan roda tersebut tak sama bagaimana kita gunakan pada kenderaan sekarang. Ini kerana, mereka menggunakan roda tersebut sebagai pengguling. Pengguling yang mereka gunakan adalah kurang effisien kerana mereka perlu menggantikan roda baharu di belakang apabila roda sebelumnya berada di posisi paling hadapan. Penyelesaianya adalah: gandar (axle).

Pemikir Yunani purba menyadari bahawa roda yang dipasang pada gandar dapat meningkat lagi daya tolakan atau tarikan. Bangsa Yunani juga memberikan kita gear, untuk meningkatkan kuasa atau kelajuan. Sungguhpun roda yang dipasang mampu meningkatkan lagi kemampuan kenderaan purba, ianya dihadkan oleh kondisi jalan. Masyarakat Rom adalah yang pertama menyadari bahawa kenderaan hanya bagus jika keadaan jalannya bagus. Oleh itu mereka menyambungkan empayarnya dengan rangkaian lebuh raya.

Rupa bentuk kenderaan yang digunakan masyarakat Rom

Penciptaan enjin wap

Di sini kita lihat masyarakat Yunani memberikan kita roda dan gear manakala maysrakat Rom memberikan kita jalan raya. Namun, bagi kuasa untuk menggerakkannya, manusia masih tidak dapat lari daripada menggunakan kuda sebagai enjin sehinggalah zaman pertengahan. Pada zaman ini, manusia mula memikirkan apa yang mereka boleh gantikan kuda untuk medium baru. Pada tahun 1335, Guido von Vigevano daripada belanda melakar “Windwagen” yang menggunakan angin untuk menggantikan kuda. Manakala, Leonardo da Vinci (1452-1519) melakarkan ‘clockwork car‘. Fungsi kerjanya serupa dengan jam yang yang menggunakan tenaga daripada spring dan rangkaian gear.

Perkembangan teknologi industri makin berkembang seterusnya. Pada tahun 1712, lahirnya mesin yang yang digunakan untuk mengepam air hujan daripada lombong arang batu oleh Thomas Newcomen. Mesin ini menggunakan enjin wap. Seorang jurutera Scotland, James Watt menambah baik ciptaan Newcomen supaya ia mampu memusingkan gear dan roda. Bermula dari sinilah, manusia cuba menggunakan enjin wap untuk menggantikan kuda untuk menggerakkan kenderaan. Selepas daripada itu, pembangunan ciptaan kereta berkembang dengan pesatnya dengan sumbangan ramai jurutera dan pereka cipta. Bahagian seterusnya akan menerangkan perkembangan teknologi kereta dalam bentuk garis masa.

Sejarah penciptaan kereta dunia
Lakaran kenderaan Leonardo da Vinci.

Garis Masa Sejarah Penciptaan Kereta Dunia

1769

Teknologi Enjin Wap

Selepas terciptanya teknologi enjin wap, seorang pereka cipta daripada Perancis, Nicholas Joseph Cugnot menggunakan teknologi enjin wap untuk memacu traktor beroda tiganya untuk menarik meriam tentera yang berat. Walaubagaimanapun, ciptaannya mempunyai masalah sumber air dan pengawalan tekanan wap. Kenderaan ciptaanya mempunyai kelajuan paling tinggi pada 5 km/h. Mungkin dengan kelajuan tersebut, kita mungkin fikir ia kurang menyebabkan bahaya. Namun, kenderaan tersebut terlalu berat dan susah untuk dikawal akhirnya mengakibatkan ia merempuh sebuah dinding dan pemandunya dihumban ke dalam penjara.

Sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia.
Sumber: Nicolas-Joseph Cugnot, CC BY-SA 3.0 via Wikimedia Commons

1801

Jika ciptaan Cugnot yang sebelumnya digunakan untuk menarik meriam tentera, ciptaan seorang jurutera perlombongan Richard Trevithick mencipta kenderaan lokomotif jalanraya yang dinamakan Puffing Devil, mampu membawa enam penumpang. Puffing Devil juga menggunakan enjin wap. Malang sekali, kenderaan tersebut rosak dalam ujian lanjut. Ciptaannya juga tidak mampu mengekalkan tekanan wap yang mencukupi unutk jangka masa yang lama.

Sumber: Barry, flickr.com

1807

Enjin Pembakaran Dalaman Pertama

Nicéphore Niépce dan abangnya, Claude mencipta kemungkinan enjin pembakaran dalaman yang pertama dipanggil Pyréolophore. Mereka memilih untuk memasangkan ciptaanya pada bot, bukan pada kenderaan darat. Pyréolophore bekerja menggunakan konsep letupan habuk terkawal menggunakan bahan bakar serbuk Lycopodium (sejenis serbuk yang terdiri daripada spora kering tanaman clubmoss) , serbuk arang batu dan resin

Sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia.
Pelan lakaran enjin Pyréolophore.
Sumber: Nicéphore Niépce ( 1765 – 1833) and Claude Niépce (1763 – 1828), Public domain, via Wikimedia Commons

Pada masa yang sama, secara kebetulan François Isaac de Rivaz juga mencipta enjin pembakaran dalaman yang dipanggil ‘de Rivaz internal combustion engine‘. Namun ia menggunakan campuran hidrogen dan oksigen. Berlainan dengan Nicéphore Niépce yang menggunakan serbuk Lycopodium. Sayangnya, kedua-dua rekaan tidak begitu berjaya.

Sumber: François Isaac de Rivaz 1752 – 1828), Public domain, via Wikimedia Commons

1839

Tayar Goodyear

Siapa sangka cara memproses tayar dijumpai secara tidak sengaja apabila seorang ahli kimia bernama Charles Goodyear tertumpahkan getah India yang dicampur sulfur diatas dapur panas menyebabkan getah tersebut menjadi keras dan kuat. Proses ini dinamakan pemvulkanan (vulcanisation) dimana tayar yang kita ada pada hari ini menggunakan proses yang sama untuk menghasilkan getah tayar yang kuat.

Iklan tayar Goodyear tahun 1957.
Sumber: sv1ambo, Flickr.com

1881

Kereta Elektrik Awal

Gustave Trouvé, seorang jurutera elektrik dari Perancis menunjukkan kereta beroda tiga pertama yang dikuasai elektrik di International Electical Exhibition di Paris. Percaya atau tidak, manusia telah memikirkan tentang kenderaan elektrik lebih lama dari apa yang kita sangka. Ciptaan Gustave ini juga kemungkinan adalah automobil elektrik pertama yang ditunjukkan di halayak ramai. Namun ianya tidak popular dikembangkan pada abad ke-20 kerana kenderaan enjin pembakaran dalaman yang lebih berkos rendah, laju dan boleh dipandu jarak jauh. Hanya sekarang (pada abad ke-21) dunia kembali mengembangkan idea kereta elektrik kerana keprihatinan terhadap alam sekitar.

Sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia.
Sumber: Jacques CATTELIN, CC BY-SA 4.0 via Wikimedia Commons

1885

Karl Benz Pencipta Kereta Moden

Terdapat banyak lagi pencipta dan pemikir hebat termasuklah yang di atas yang terlibat dalam penciptaan kereta namun, Karl Benz dikenali sebagai pencipta kereta moden yang kita ada ada hari ini. Kendaraan yang diciptanya dipanggil Motorwagen, dicipta di Mannheim, Jerman. Motorwagen menggunakan enjin empat lejang silinder tunggal. Banyak ciptaanya menggunakan enjin pembakaran dalaman yang mudah untuk memberi kuasa kepada kenderaan. Dalam tempoh 1888 hingga 1893, terdapat 25 kenderaan buatannya berjaya dijual. Syarikatnya yang bernama Benz & Cie ditubuhkan pada 1883 dikenali sehingga sekarang sebagai Mercedez Benz.

Sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia.
Rupa bentuk Motorwagen ciptaan Karl Benz.
Sumber: Public Domain, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=49836

1888

Pemandu Kereta Pertama

Bertha Benz, Isteri Karl Benz, merupakan pemandu kereta pertama kerana membuat perjalanan sejauh 87 km bersama anaknya menggunakan kenderaan yang dicipta suaminya untuk menunjukkan kebersanan ciptaan suaminya itu. Mungkin anda tertanya bahan api apakah yang digunakan kenderaanya untuk melakukan perjalan sejauh itu, tambah-tambah lagi tiada stesen minyak pada waktu itu. Bahan api yang digunakan adalah ligroin, sejenis cecair yang digunakan untuk menghilangkan kotoran pada pakaian dan boleh didapati di farmasi pada ketika itu. Ketika kembara tersebut Bertha meminta ligroin sebanyak 10 liter daripada farmasi membuatkan ahli kimia tersebut terkejut mendengar permintaanya.

Bayangan bagaimana Bertha dan anaknya melakukan kembara perjalanan kereta pertama.
Sumber: Mercedes-Benz.com

1892

Rudolf Diesel pencipta enjin diesel

Seorang lagi pencipta dan jurutera dari Jerman, Rudolf Diesel menyumbang dalam pembangunan automobil pada ketika ini. Ketika beliau berada di hospital disebabkan kemalangan, beliau menelaah banyak buku dan kertas kajian pencipta sebelumnya berkaitan teknologi enjin. Beliau yakin bahawa beliau mampu mencipta enjin yang lebih baik dariada enjin gasolin yang sedia ada. Maka, lahirlah enjin diesel yang mempunyai kuasa dua kali ganda daripada enjin wap. Oleh itu kita sering mendengar minyak diesel yang sering digunakan pada kenderaan berat kerana ia digunakan untuk enjin diesel.

1901

Pengeluaran Kereta Berskala Besar Pertama

Bermulanya abad ke-20, kereta berenjin gasolin semakin berkualiti dan laju. Namun, ianya juga terlalu mahal. Untuk menyelesaikan masalah ini, pengilangan perlu dilakukan secara berskala besar. Pengeluaran kereta berskala besar dimulakan oleh Ransom olds di Michigan, berdasarkan teknik barisan pemasangan tetap.

1913

Henry Ford dan barisan pemasangan bergerak pertama

Berdasarkan konsep barisan pemasangan tetap sebelumnya, Henry Ford mengembangkan teknik pengeluaran menggunakan barisan pemasangan bergerak pertama di dunia. Dengan teknik ini, ia mampu menghasilkan kereta setiap 15 minit, meningkatkan produktiviti sebanyak lapan kali ganda. Tenaga kerja manusia juga dapat dikurangkan daripada 12.5 jam orang kepada 1.5 jam orang. Satu perkara yang menjadi penghalang adalah cat yang digunakan. Hanya cat hitam Jepun sahaja yang mampu kering dengan pantas memaksa syarikat tersebut tidak menawarkan warna lain. Sebab itu syarikat tersebut terkenal dengan ayat “any color as long as it’s black“.

Sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia.
Sumber: The Henry Ford, Flickr.com

1950s

Kereta Negara Terbit Matahari

Pembuat kereta Jepun seperti Toyota, Nissan, Suzuki, Mazda dan Honda yang pada asalnya merupakan syarikat yang bukan pembuat kenderaan bertukar kepada pembuatan kereta. Keputusan yang dibuat oleh Pengasas syarikat Toyota iaitu Kiichiro Toyoda, untuk menukarkan syarikat penenunannya kepada syarikat pengeluar automobil menjadikan Toyota Motor Corporation sebagai pengeluar kereta terbesar di dunia.

Sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia.
Barisan pengeluaran di kilang toyota. Sumber: Wikimedia commons

1959

Ciptaan tali pinggang keledar

Tali pinggang keledar yang biasa dijumpai di banyak kereta harian hari ini dipanggil tali pinggang keledar tiga titik atau three point seat belt. Ianya dicipta oleh Nils Bohlin, jurutera keselamatan Volvo. Yang menariknya, beliau memberikan paten ciptaan tersebut kepada pembuat kereta lain secara percuma bertujuan untuk menyelematkan banyak nyawa. Di UK, ianya menjadi satu kewajiban untuk pembuat kereta melengkapkan tali pinggang keledar bermula daripada 1965.

Nils Bohlin menunjukkan ciptaan tali pinggang keledarnya.

1971

Sistem ABS pertama

ABS adalah singkatan daripada Anti-Lock Braking Systems atau dipanggil sistem brek antikelincir. Ianya merupakan idea yang bijak dimana ia berfungsi untuk menghalang tayar terkunci ketika brek mengejut justeru mengelakkan tayar tergenlincir. Mula digunakan pada kereta api dan pesawat Concorde sebelum dilengkapkan pada kereta model Chrysler Imperial.

Demonstrasi menunjukkan perbezaan antara kenderaan dengan sistem ABS dan tidak.

1988

Beg Udara Pertama

Sebenarnya, beg udara mula diperkenalkan dan diperkembangan sejak 1919 lagi untuk tujuan selain daripada automobil dan kemudianya dicadangkan untuk tujuan automobil. Ia mengambil masa agak lama untuk dipakai sepenuhnya di dalam kenderaan kerana beberapa cabaran teknikal dan komersial. Contohnya, sekitar tahun 1960, prinsip udara mampat yang digunakan di dalam beg udara mekanikal tidak cukup pantas untuk memaksimumkan keselamatan. Akhirnya, prinsip beg udara kimia dan elektrik diperkenalkan dan diguna pakai sehingga hari ini. Pada tahun 1977, Syarikat Ford dan GM juga menentang terhadap keperluan untuk menggunakan beg udara kerana tidak sesuai dan mendapat kurang sambutan daripada pengguna. Ahirnya pada tahun 1988, syarikat Chrysler melengkapkan beg udara pada kenderaanya. Hanya bermula pada tahun 1990, beg udara digunakan secara meluas di Amerika.

Gambar menunjukkan Allen Breed yang mencipta sensor untuk sistem beg udara.

2000

Teknologi Kereta Hibrid

Kereta hibrid adalah kereta yang menggunakan lebih dariada satu jenis sumber kuasa seperti enjin pembakaran dalaman dan juga motor elektrik. Meletakkan motor elektrik pada kenderaan berenjin petrol adalah satu impian pada abad ke-19. Namun, idea tersebut nampaknya seperti tidak berhasil. Syarikat Toyota kemudian merealisasikan idea tersebut dan akhirnya mencipta Toyota Prius, menakluk dunia sebagai peneraju pasaran kereta hibrid dunia. Hari ini, banyak pengeluar kereta dunia mengikut jejak Toyota dengan mengeluarkan kereta hibrid mereka tersendiri.

Toyota Prius model 2013 antara kereta hibrid popular di dunia. Sumber: EurovisionNim, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

2008

Kereta Elektrik moden

Mula dibangunkan pada 2004, syarikat pengeluar kereta elektrik terkenal iaitu Tesla Motors mengeluarkan Tesla Roadster dan pertama digunakan pada 2008. Ia berupaya melakukan perjalanan sejauh 320 km untuk setiap kali cas. Kemudian pada 2009, syarikat pengeluar kereta elektrik Jepun Mitsubishi memperkenalkan Mitsubishi i-MiEV dan pada tahun 2010, Nissan Leaf pula diperkenalkan oleh syarikat Nissan. Kemudian banyak lagi syarikat automotif lain mengeluarkan kereta EV mereka tersendiri. Di sini kita lihat Tesla Roadster menjadi pemangkin kepada permintaan kereta elektrik. Kereta EV bukanlah idea baru, namun ia berkembang semula kerana faktor alam sekitar dan juga perkembangan teknologi Metal Oxide Semiconductor (MOS), MOS field-effect transistor (MOSFET), mikropengawal dan mikropemproses.

Roadster keluaran Tesla Motors. Sumber: EuPlug In America, CC BY-SA 2.0 via Wikimedia Commons

2014

Ciri Autopilot

Seorang CEO yang berkarekter futuristik, Elon Musk adalah yang pertama menawarkan teknologi autopilot di dalam kereta keluaran syarikat kendaliannya, Tesla Motors iaitu Model S. Model S adalah kereta komersial pertama yang dilengkapi bantuan pemandu dimana membolehkan komputer di dalam kenderaan tersebut mangawal stereng dan lebih hebat lagi mampu menukar lorong di lebuh raya. Ini adalah langkah pertama sebelum dunia memasuki era kereta pandu-kendiri atau Self Driving Car.

Papan pemuka di dalam kenderaan menunjukkan kemampuan Tesla model S untuk mengesan kenderaan lain disekelilingnya. Sumber: Marco Verh, Flickr.com

2020

Kereta pandu-kendiri (Self-Driving car)

Teknologi kereta pandu-kendiri telah lama dikaji sejak tahun 1980 lagi. Digambarkan, pada tahun 2020, tidak akan ada pemandu yang akan memandu kereta di jalan raya. Beberapa syarikat yang membangunkan teknologi pandu-kendiri ini seperti Waymo (daripada Google) dan Tesla mensasarkan teknologi mereka akan sedia pada tahun 2020. Hakikatknya, kita masih lagi mengawal stereng kenderaan kita pada 2020. Teknologi kereta pandu-kendiri dikatakan lebih susah daripada apa yang difikirkan sebelumnya. Namun, ianya tidak mustahil pada masa akan datang kita tidak lagi perlu memandu kereta.

Waymo, sebuah kereta pandu-kendiri oleh Google. Sumber: Grendelkhan, Wikimedia Commons

Kesimpulan

Kereta yang kita ada hari ini adalah hasil daripada ciptaan dan sumbangan banyak pencipta yang hebat. Teknologi kereta juga berkembang dengan sangat laju dalam tempoh 200 tahun. Perkembangan teknologi kereta juga selari dengan perkembangan teknologi bidang sekelilingnya seperti semikonduktor, elektronik dan AI (Artificial Intelligence). Susah untuk dibayangkan rupa kereta pada masa 100 tahun akan datang. Jika anda hidup pada zaman sebelum adanya kereta, adakah anda akan terfikir untuk memindahkan manusia dari titik A ke titik B, kita memerlukan sebuah kerangka besi seberat 2000kg? 🤯

Sejarah penciptaan kereta dan automobil dunia
Menunjukkan garis masa teknologi yang ditambahkan pada kereta sepanjang zaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *