Bagaimana telefon dicipta?4 min read

0

Latar belakang pencipta telefon

Peranti telefon merupakan salah satu peranti yang amat penting kepada manusia. Saya yakin kalian semua mesti mempunyai jumlah paling minima satu peranti telefon pintar kan? Tanpa peranti ini maka perhubungan sesama manusia dari jarak jauh amatlah susah. Sebelum terciptanya peranti telefon ini, manusia berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan surat yang dihantar sama ada melalui manusia atau haiwan seperti burung merpati. Artikel ini akan menceritakan bagaimana telefon pertama telah dicipta.

Selari dengan perkembangan teknologi terkini dimana peranti telefon menjadi lebih pintar maka tidak asing lah jika telefon pintar ialah panggilan baharu untuk manusia pada abad ke-21 ini. Manusia yang pertama mencipta telefon ialah bernama Alexander Graham Bell.

Potrait Alexander Graham Bell
Potrait Alexander Graham Bell. Gambar: History

Biodata Alexander Graham Bell

Beliau dilahirkan di Edinburgh pada 3 Mac 1847 dan juga merupakan seorang warganegara Scotland. Bapa beliau merupakan seorang profesor seni ucapan di University of Edinburgh manakala ibu beliau merupakan pemain piano yang berjaya walaupun ibu beliau mengalami masalah pendengaran.

Berikutan catatan sejarah, beliau membesar dengan pendidikan di rumah sahaja kerana beliau tidak begitu cemerlang di sekolah. Walaupun beliau menghadapi kesukaran sedemikian, beliau juga merupakan seorang yang suka menyelesaikan sesuatu masalah.

Namun, beliau telah berjaya melanjutkan pelajaran di Royal High School dan juga University of Edinburgh. Alexander Graham Bell juga mengahwini Mabel Hubbard, seorang pelajar yang pekak dan dikurniakan 4 cahaya mata.

Sejarah penciptaan telefon

Inisiatif menambah baik peranti telegraf sedia ada

Kejayaan Alexander Graham Bell adalah berpunca daripada inisiatif beliau untuk menambah baik peranti telegraf yang telah sedia ada untuk menjadikannya telegraf pelbagai. Hal ini kerana kedua-dua peranti telefon dan telegraf menggunakan sistem wayar berelektrik. Alat perhubungan telegraf merupakan alat perhubungan yang utama selama 30 tahun namun keupayaan teknologi itu terhad dimana hanya satu mesej sahaja yang dapat disampaikan pada satu-satu masa.

Disebabkan beliau mempunyai kepakaran dalam bidang suara dan lagu, beliau mampu mencari jalan untuk memastikan beberapa mesej dapat disampaikan melalui wayar yang sama pada satu-satu masa supaya dapat menghasilkan telegraf pelbagai.

Potensi dilihat oleh bapa mertua

Pada tahun 1874, kajian beliau telah menjadi semakin maju sehinggakan beliau memberitahu bapa mertua beliau iaitu Gardiner Greene Hubbard yang merupakan seorang peguam Boston. Bapa mertua beliau dapat melihat potensi besar ciptaan telegraf pelbagai tersebut. Graham Bell malah memberikannya bantuan kewangan.

Namun, Graham Bell tidak menyatakan kepada Hubbard bahawa beliau dan pembantunya juga tengah menjalankan kajian mengenai peranti yang mampu membawa suara melalui arus elektrik. Peranti tersebut adalah telefon.

Bagaimana telefon awal dicipta
Paten prototaip telefon yang dihasilkan oleh Graham Bell. Gambar: National Museum Scotland

Bagaimana telefon pertamanya berfungsi

Bagaimana telefon pertama dicipta? Beliau telah membuat paten telefon pertamanya pada tahun 1876. Prototaip telefon pertamanya berfungsi dengan menukarkan suara kepada signal elektrik melalui ‘liquid transmitter’. Proses ini melibatkan penghantaran suara melalui penerima kepada membran nipis. Manakala gabus dan jarum pula disambungkan kepada bateri dengan sebuah cawan yang diisi dengan asid sulfurik dan sekeping besi.

Bagaimana telefon dicipta
Prototaip sebenar telefon yang dihasilkan. Gambar: Howitworksdaily

Prosesnya bermula apabila suara menembusi membran tersebut. Suara itu menyebabkan getaran yang berbeza pada arus elektrik diantara jarum dan besi tersebut. Arus eletrik yang berbeza tersebut disalurkan kepada penerima di tempat lain seterusnya menyebabkan proses terbalik dimana arus elektrik yang mengalir tadi menghasilkan suara melalui kepelbagaian frekuensi yang terhasil.

Buat pengetahuan semua, ayat pertama yang disampaikan melalui telefon ialah “Mr.Watson, come here. I want you”. Encik Watson merupakan penolongnya dalam penciptaan peranti telefon.

Pada waktu itu, bukan sahaja Alexander Graham Bell mencipta peranti ini malah terdapat beberapa lagi prototaip yang telah dihasilkan namun atas kepantasan beliau, beliau berjaya membawa prototaip beliau untuk kegunaan komersial.

Lahirnya rangkaian telefon

Setelah prototaipnya dipatenkan, pembinaan rangkaian wayar telefon telah pun bermula dari Boston ke Massachusetts pada tahun 1877. Beliau juga telah menubuhkan syarikatnya yang bernama Bell Telephone Company pada tahun tersebut yang seterusnya dikenali sebagai AT&T sehingga kini. Pembinaan rangkaian telefon saban tahun makin berkembang ke beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Manakala rangkaian antara benua telah dibina pada tahun 1915. Alexander Graham Bell telah meninggal dunia pada tahun 1922 namun jasa beliau tidak akan dilupakan. Ciptaan beliau telah berjaya merevolusikan gaya hidup manusia sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Apakah itu mikropengawal?

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *