Perbezaan Bluetooth Classic dan Low Energy (BLE)6 min read

0

Bluetooth merupakan sebuah teknologi yang membolehkan anda menggunakan fon kepala, papan kekunci, dan tetikus tanpa menggunakan wayar. Teknologi ini sesuai digunakan untuk tujuan ini kerana Bluetooth dicipta untuk membolehkan data dihantar dalam jarak yang dekat tanpa wayar. Bluetooth merupakan protokol yang berorientasikan sambungan. Ini bermakna, untuk bertukar data antara dua peranti, sambungan harus dibuat terlebih dahulu. Sambungan jarak dekat ini akan membentuk sebuah rangkaian yang dipanggil Rangkaian Kawasan Peribadi (PAN). Kini, terdapat dua jenis utama teknologi Bluetooth. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang perbezaan Bluetooth Classic dan Bluetooth Low Energy (BLE), mari kita mengenali asal usul Bluetooth.

Sejarah ringkas Bluetooth

Asal usul nama ‘Bluetooth’

Sewaktu saya kecil, pada awal teknologi Bluetooth digunakan pada telefon bimbit, saya sering tertanya kenapa teknologi dinamakan gigi biru, atau Bluetooth? Apa kena mengena gigi dengan telefon bimbit? Persoalan saya ini terjawab setelah saya memasuki Universiti, mengambil kelas berjudul Embedded Network System juga dibantu dengan kemudahan Google. Saya agak terkejut apabila diberitahu bahawa Bluetooth sebenarnya dinamakan sempena seorang raja dari Denmark/Norway zaman dahulu yang memerintah sekitar tahun 960 Masihi. Nama raja tersebut King Harald Bluetooth (nama yang telah ditukar kepada versi Inggeris).

Asal usul nama Bluetooth

Idea nama Bluetooth datang daripada Jim Kardach, seorang jurutera dari Intel yang sedang membina sistem untuk membolehkan telefon bimbit berkomunikasi dengan komputer. Beliau mendapat idea ini kerana sedang membaca novel bertajuk The Long Ships, mengenai Vikings dan King Harald Bluetooth. King Harald Bluetooth merupakan raja yang menyatukan Scandinavia, sama seperti teknologi Bluetooth yang menyatukan komputer dan industri selular.

Sejarah awal pembangunan teknologi Bluetooth

Pembangunan teknologi radio pautan pendek (short-link) dimulakan pada tahun 1989, oleh Nils Rydbeck, CTO Ericsson Mobile di Sweden. Tujuannya adalah untuk mencipta fon kepala tanpa wayar. Pada tahun 1997, Adalio Sanchez dari IBM berbincang dengan Nils untuk berkolaborasi dalam projek penyambungan telefon bimbit dan komputer riba ThinkPad. Adallio Sanchez kemudian merekrut Toshiba dan Nokia dalam projek teknologi radio terbuka mereka. Pada tahun 1998, Bluetooth SIG dilancarkan, sebuah organisasi yang memantau piawaian Bluetooth. Organisasi awal ini mempunyai sebanyak lima ahli: Erricsson, IBM, Nokia dan Toshiba. Peranti Bluetooth pertama, sebuah alat dengar mudah alih dilancarkan pada tahun 1999. Bluetooth SIG pada hari ini mempunyai sebanyak 35,000 ahli.

Jenis Bluetooth

Bluetooth secara amnya, (tidak kira sama ada Classic atau LE) berfungsi dalam jalur frekuensi 2400-2483.5MHz. Jalur frekuensi yang digunakan sama seperti Wi-Fi dirumah anda iaitu frekuensi ISM 2.4 GHz. Bluetooth menggunakan skema FHSS (Frequency Hopping Spread Spectrum). Ini bermaksud, frekuensi yang digunakan melompat dari ke satu yang lain mengikut urutan rawak. Selain itu, bluetooth menggunakan sistem master/slave. Setiap penyambungan antara dua peranti, akan ada satu peranti master dan satu peranti slaves.

Bluetooth Classic

Dalam Bluetooth Classic, satu master boleh bersambung dengan 7 slaves. Data pula dibahagikan kepada paket-paket kecil dan ditukar melalui salah satu daripada 79 saluran (channel) Bluetooth. Setiap saluran mempunyai lebar jalur 1MHz.

Bluetooth Classic merujuk kepada semua versi Bluetooth yang dikeluarkan pada tahun sebelum 2010. Berikut merupakan versi Bluetooth yang dikeluarkan sebelum tahun 2010:

  • 1999: Bluetooth 1.0
  • 2004: Bluetooth 2.0
  • 2007: Bluetooth 2.1
  • 2009: Bluetooth 3.0

Terdapat tiga jenis teknologi dalam Bluetooth Classic iaitu:

  • BR- Basic Rate
  • EDR- Enhanced Data Rate
  • HS AMP- High-Speed Alternate MAC/PHY

Bluetooth Low Energy

Pada awalnya, Bluetooth LE dibangunkan bertujuan untuk komunikasi tanpa wayar berkuasa rendah dalam persisian telefon bimbit. Kini, BLE memainkan peranan yang penting dalam industri IoT kerana cirinya yang berkuasa rendah.

Bluetooth LE boleh mempunyai jumlah slave yang tidak terhad. BLE hanya mempunyai 40 saluran. Ini disebabkan lebar jalur digunakan ialah 2 MHz.

BLE merujuk kepada versi Bluetooth yang dikeluarkan selepas 2010. BLE memasuki pasaran pada tahun 2011 sebagai Bluetooth 4.0. Berikut merupakan versi Bluetooth dikeluarkan selepas 2010:

  • 2011: Bluetooth 4.0
  • 2013: Bluetooth 4.1
  • 2014: Bluetooth 4.2
  • 2016: Bluetooth 5
  • 2019: Bluetooth 5.1
  • 2019: Bluetooth 5.2

Versinya pula hanya dikenali sebagai LE (Low Energy)

Perbezaan dari segi fungsi dan aplikasi

Bluetooth Classic

  • Dapat mengendali data yang banyak
  • Menggunakan kuasa yang banyak.
  • Disebabkan itu, peranti yang menggunakan Bluetooth Classic perlu disambung kepada punca kuasa yang berterusan atau bateri yang besar.
  • Biasa digunakan untuk menghantar fail, media, lagu dan video.
  • Oleh itu, sesuai digunakan dalam aplikasi penstriman muzik dan video.

Fon kepala tanpa wayar yang menggunakan Bluetooth Classic untuk menstrim lagu.

Bluetooth LE

  • Hanya mengendali data yang sedikit
  • Menggunakan tenaga yang sangat rendah.
  • Disebabkan itu, peranti BLE boleh beroperasi dengan hanya menggunakan bateri kecil, sekecil bateri bersaiz butang. Saiz bateri bergantung kepada berapa banyak tenaga digunakan oleh peranti BLE. Kebiasannya, bateri peranti IoT yang menggunakan BLE mampu bertahan sehingga 5 tahun tanpa perlu menukar bateri baharu.
  • Digunakan untuk menghantar signal dan data pendek seperti bacaan sensor.
  • Oleh itu, sesuai digunakan dalam aplikasi IoT seperti mentol pintar dan jam tangan pintar seperti Fitbit.
Perbezaan antara bluetooth classic dan bluetooth Low Energy
Contoh sensor industri yang menggunakan teknoogy Bluetooth Low Energy untuk menghantar data yang ringkas.

Perbezaan dari segi teknikal

Bluetooth LE dibangunkan untuk aplikasi penghantaran data dalam kadar yang rendah. Oleh itu, Bluetooth LE sesuai digunakan dalam aplikasi IoT. Kita boleh lihat kadar data atas udara dan daya pemprosesannya lebih rendah daripada Bluetooth Classic. Disebabkan Bluetooth LE tidak memerlukan pemprosesan data yang tinggi, ini menjadikan penggunaan tenaganya yang lebih rendah.

Jumlah slaves yang boleh disambung oleh satu master hanya 7 pada Bluetooth Classic. Ini kerana dalam Bluetooth Classic, alamat logik bersaiz 3 bit diberikan kepada slave. Di dalam Bluetooth LE, jumlah slaves yang boleh disambungkan adalah tidak terhad secara teori. Namun, secara praktikal, 4-20 slave boleh disambungkan ke satu master.

Perbezaan bluetooth Classic dan bluetooth Low energy

Konklusi

Kini, kita sudah memahami apakah perbezaan Bluetooth Classic dan Bluetooth Low Energy. Teknologi Bluetooth sangat memainkan peranan dalam kehidupan seharian. Teknologi ini terus dimajukan lagi dengan pengenalan Bluetooth Low Energy untuk menampung permintaan protokol penghantaran data berkuasa rendah. Telefon pintar anda semestinya mempunyai Bluetooth. Anda tidak perlu risau sama ada telefon pintar anda dilengkapi Bluetooth Classic atau LE kerana kebanyakannya dilengkapi cip Bluetooth dua mod. Peranti seperti fon kepala dan jam tangan pintar pula kebiasannya hanya dilengkapi cip Bluetooth satu mod, sama ada Bluetooth Classic atau Bluetooth LE. Pemilihan ini bergantung kepada jurutera yang membangun produk tersebut.

Rujukan

www.blognerdicsemi.com

https://en.wikipedia.org/wiki/Bluetooth

www.ti.com

https://www.rfwireless-world.com/Terminology/Bluetooth-vs-BLE.html

www.silabs.com

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *