Suis adalah penting dalam litar elektrik dan elektornik. Tanpa suis, sukar untuk kita kawal kuasa di dalam litar kerana terdapat masa yang kita perlukan kuasa di dalam litar dan adakalanya kuasa tidak perlukan di dalam litar dan harus diputuskan. Tanpa suis, mungkin kita boleh memutuskan sambungan litar dengan memutuskan sambungan wayar. Namun, perkara tersebut akan menyusahkan pengendali litar. Lebih teruk lagi jika kita ingin menyambung semula litar tersebut jika kita perlu menyambungkan dua wayar yang terputus itu. Oleh itu, suis dicipta untuk memudahkan kita memutuskan dan menyambung litar elektik. Artikel ini akan menerangkan jenis-jenis konfigurasi sentuhan suis yang ada untuk memudahkan anda memilih suis yang sesuai untuk projek anda. Sebelum itu, mari kita fahamkan apakah maksud suis.

Apakah itu suis?

Suis adalah sebuah peranti yang berfungsi untuk mengawal kuasa di dalam litar elektrikal dan elektronik. Ia bekerja dengan menyambung atau memutuskan litar elektrik. Suis akan mempunyai bahagian sentuhan satu atau lebih mengikut jenis-jenis suis yang kita akan bincang. Jika terdapat sentuhan antara bahagian konduktor suis dengan litar, suis tersebut berada di dalam keadaan tertutup (ON). Bila terdapat pemisahan antara bahagian konduktor tersebut, suis itu berada dalam keadaan terbuka (OFF). Kita dah tahu maksud bagi suis, mari kita lihat jenis-jenis variasi konfigurasi suis yang ada.

Jenis jenis suis

Jenis-jenis konfigurasi Suis

Jenis-jenis suis bergantung kepada jenis sambungan yang mereka hasilkan. Dua perkataan penting yang perlu kita faham untuk memilih suis adalah ‘pole’ iaitu kutub dan ‘throw’ iaitu arah.

Kutub (pole) didefinisikan sebagai bilangan litar yang dikawal oleh suis. Atau kita boleh lihat berapa input suis itu boleh kawal. Arah (throw) pula didefinisikan sebagai bilangan laluan output dimana arus elektrik boleh mengalir. Kedua-dua komponen ini akan menetukan variasi suis-suis yang kita akan lihat nanti. Berikut merupakan jenis-jenis suis yang kita akan lihat satu persatu:

  • SPST (Single Pole Single Throw)
  • SPDT (Single Pole Double Throw)
  • DPST (Double Pole Double Throw)
  • DPDT (Double Pole Double Throw)

SPST (Single Pole Single Throw) – Satu Kutub Satu Arah

Suis jenis SPST adalah jenis suis ON/OFF yang paling asas dimana ianya berfungsi dengan memutuskan sambungan antara dua terminal. Suis SPST mempunyai satu input dan satu output, oleh itu ia dipanggil satu kutub dan satu arah.

SPDT (Single Pole Double Throw) – Satu Kutub Dua Arah

Suis SPDT adalah suis tiga terminal dimana satu terminal digunakan sebagai input manakala dua terminal lagi sebagai output. Konfigurasi suis ini membolehkan satu input suis disambungkan ke salah satu output. Dalam erti kata lain, kita boleh pilih antara output mana yang kita ingin sambungkan. Oleh sebab itu ia juga kadangkala dipanggil sebagai ‘selector’ switch.

Salah satu contoh kegunaan dibawah dimana kita menggunakan suis SPDT untuk memilih salah satu mentol untuk dinyalakan, sama ada mentol 1 atau mentol 2.

Jenis konfigurasi sentuhan suis

DPST (Double Pole Single Throw) – Dua Kutub Satu Arah

Suis jenis DPST adalah seperti dua suis SPST yang disusun bersebelahan. Ini menjadikan suis DPST mempunyai 4 terminal secara keseluruhannya, iaitu dua input dan dua output. Fungsi utama suis ini adalah untuk digunakan di dalam litar yang memerlukan untuk mengawal dua litar berlainan atau dua pasangan terminal secara serentak. Kedua-dua litar boleh dikawal oleh satu butang yang sama.

Contoh bila kita boleh gunakan suis DPST jika kita mahu membekalkan kuasa kepada dua komponen yang memerlukan bekalan voltan berlainan dan perlu dibuka dan ditutup secara serentak. LED sebagai contoh memerlukan voltan yang lebih rendah daripada mentol. Atau dalam erti kata lain, jika kita mahu mentol atau LED tersebut dinyalakan oleh dua litar yang berbeza.

DPDT (Double Pole Double Throw) – Dua Kutub Dua Arah

Suis jenis DPDT pula adalah seperti dua suis SPDT yang disusun bersebelahan. Ini bermaksud suis DPDT mampu mengawal dua litar brebeza dengan menyambung dua input setiap litar kepada salah satu daripada dua output. Ini menjadikan suis ini mempunyai enam terminal.

Contoh aplikasi yang bersesuai digunakan oleh suis ini adalah untuk mengaktifkan/mematikan dua output sekali gus antara kesuluruhan empat output, contohnya jika anda ingin menghidupkan lampu LED dan buzzer secara serentak. Lain contoh yang ditunjukkan dibawah adalah untuk membolehkan motor elektrik berpusing dalam dua arah. Motor DC berpusing mengikut arah arus elektrik yang diterima terminalnya. Untuk membolehkan motor DC berpusing dalam dua arah, kita boleh gunakan suis DPDT dengan sambungan yang ditunjukkan dibawah. Dengan posisi suis yang ditunjukkan, motor tersebut akan berpusing dalam arah putaran jam. Jika posisi suis ditukar, motor tersebut akan berputar dalam arah lawan pusingan jam.

jenis konfigurasi sentuhan suis

Konfigurasi lain yang anda perlu tahu: NO & NC

Selain daripada SPST, SPDT, DPST dan DPDT, terdapat juga konfigurasi tambahan seperti SPST-NC dan SPST-NO contohnya. NC dan NO adalah kedudukan asal suis tersebut ketika ianya tidak diaktifkan. Penting untuk anda tahu kedudukan asal suis tersebut untuk memastikan litar anda berfungsi seperti yang anda ingini. Ini kerana suis dijual akan mempunyai salah satu konfigurasi tersebut. Berikut adalah maksud bagi NO dan NC:

Normally open (NO): Kebiasannya terbuka. Litar suis sentiasa terbuka jika tidak ditekan dan arus elektrik tidak mengalir. Jika ditekan suis tersebut, akan menutup suis tersebut menyebabkan arus elektrik mengalir.

Normally closed (NC): Kebiasannya tertutup. Litar suis sentiasa tertutup bila tidak diaktifkan dan arus akan sentiasa mengalir. Jika diaktifkan, sentuhan suis akan terputus, dan memutuskan arus elektrik.

Contoh-contoh gambarajah suis di bahagian sebelumnya adalah contoh konfigurasi suis NO. Gambarajah dibawah meunjukkan perbezaan simbol bagi suis NO dan NC untuk konfigurasi suis SPST:

jenis konfigurasi sentuhan suis

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat beberapa jenis konfigurasi sentuhan suis yang ada dan kita boleh gunakan mengikut aplikasi atau teknik pensuisan yang kita mahu. Artikel di atas menerangkan empat jenis jenis konfigurasi suis. Terdapat lagi konfigurasi suis yang lain seperti 4PST dan SP3T. Jika anda faham bagaimana suis asas yang diterangkan diatas berfungsi, pasti anda faham bagaimana jenis konfigurasi suis lain yang lebih kompleks berfungsi. Mungkin anda tertanya bagaimana untuk anda tahu konfigurasi suis tersebut? Lihat ‘datasheet‘ atau lembaran data komponen tersebut. Jika tidak, ada cara yang lebih mudah dan pintas, iaitu dengan melihat jumlah kaki atau terminal pada suis tersebut. Cuba perhatikan balik gambar-gambar suis diatas 🧐

jenis konfigurasi sentuhan suis
Ringkasan Jadual Perbezaan Jenis-jenis Konfigurasi Suis

Bacaan Lanjut

https://electronicsclub.info/switches.htm

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *