Alatan penstabil atau gimbal merupakan salah satu aksesori yang terkenal untuk penggemar fotografi sama ada untuk kamera aksi seperti GoPro ataupun kamera daripada telefon pintar. Gimbal 3-paksi secara umumnya ialah suatu sokongan berpusing yang memberikan kamera berpusing dalam satu paksi. Selain itu, ia digunakan untuk memegang atau mengawal kamera pada tempatnya seterusnya membantu dalam penstabilan imej ketika rakaman.

Ini bermakna penstabil gimbal yang akan mengawal sepenuhnya gerakan kamera yang dipasang padanya. Alatan atau aksesori ini sangat popular digunakan untuk rakaman aktiviti lasak seperti meluncur ski, berbasikal dan sebagainya.

Feiyu g3 gimbal GIF - Find on GIFER
Gif yang menunjukkan bagaimana gimbal 3-paksi berfungsi. Sumber: Gifer

Apakah itu gimbal 3-paksi?

Perkataan gimbal itu sendiri adalah khas merujuk kepada pergerakan kamera yang distabilkan daripada bergegar. Alatan gimbal 3-paksi hanya menggunakan motor yang kecil untuk mengawal kedudukan kamera dengan sangat efektif.

3-paksi pula merujuk kepada daya pergerakan kamera yang boleh distabilkan dalam tiga paksi (x, y dan z) atau kiri dan kanan, atas dan bawah serta depan dan belakang. Ketiga-tiga daya pergerakan ini juga dikenali sebagai condong (tilt), pendar (pan) dan gulung (roll);

Condong (tilt)

Paksi condong ialah daya pergerakan kamera atas dan bawah. Kebiasaanya ia diaplikasikan ketika rakaman secara menegak.

Pendar (pan)

Paksi pendar ini ialah daya pergerakan kamera kiri dan kanan. Ini bermakna pergerakan ini biasanya digunakan ketika rakaman mengikuti sesuatu objek seperti kenderaan bergerak dan sebagainya.

Roll (gulung)

Paksi gulung ini ialah daya pergerakan kamera secara mendatar iaitu kehadapan dan kebelakang.

Bagaimana ia berfungsi?

Gimbal 3-paksi yang moden kebanyakkannya menggunakan teknologi yang sama seperti yang ada pada telefon pintar, dron dan juga alat pengawal jauh permainan video.

Selain itu, alatan ini juga menggunakan fungsi Inertial Measurement Unit (IMU) untuk menterjemahkan arahan daripada pengendali kamera untuk memberikan respon semula sambil memanfaatkan motor yang ada padanya untuk menstabilkan kamera.

Kesemua kuasa pengkomputeran yang alatan ini perlukan untuk melaksanakan tugasnya ialah daripada papan litar yang dikenali sebagai kontroler. Terdapat komponen dalaman yang dipasangkan iaitu Micro-Electro-Mechanical Systems (MEMS) yang memberikan respons kepada arahan pergerakan dengan menghantar impuls elektrik yang menterjemahkan daya dan arah dengan tepat.

Selain itu, kontroler ini juga memastikan tiga motor tersebut menstabilkan kamera secara konsisten dengan menghantar arahan banyak kali pada setiap saat. Arahan yang diberikan inilah memastikan kamera tersebut ibarat dalam keadaan ‘terapung’.

Kedudukan motor paksi pan, paksi gulung dan paksi condong pada sesebuah gimbal. Gambar: evogimbals

Kekurangan gimbal 3-paksi

Memerlukan sumber elektrik

Kesemua motor, sensor dan juga kontroler memerlukan sumber kuasa elektrik untuk berfungsi. Ini bermakna, anda perlu mengecas alatan gimbal dahulu sebelum anda guna.

Penat untuk digunakan

Memegang sesuatu sehingga ke paras dada untuk sesuau jangka masa pasti memenatkan bukan? Sama juga seperti alatan aksesori ini, lebih-lebih lagi kebanyakkannya agak berat seterusnya memberi ketegangan pada lengan dan bahu anda. Namun, ianya tidak menjadi masalah untuk gimbal pada dron kerana tidak dipegang oleh manusia.

Keluk pembelajaran

Untuk menggunakan gimbal dengan baik, anda perlu membiasakan diri terlebih dahulu dengan kawalan dan mod penggunaan yang berbeza. Ia bukannya mudah seperti yang disangka.

Saiz besar

Saiz pemegang dan rangka yang besar ini menjadikan ia lebih sukar untuk disimpan di dalam ruangan yang kecil. Jika gimbal tersebut boleh dilipat, mungkin ia lebih memudahkan.

Rujukan

www.captureguide.com

www.studiobender.com

www.evogimbals.com

Tentang Penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *