Bagaimana Kod Bar (Barcode) berfungsi?9 min read
Di pasar raya, anda berjalan di ruangan biskut kegemaran anda. Anda lihat terdapat perlbagai jenis biskut, sama ada buatan lokal mahupun buatan luar negara. Lalu, anda masukkan biskut kegemaran anda ke dalam troli. Setelah selesai, anda ke kaunter bayaran dan melihat juruwang di kaunter tersebut mengimbas kod bar biskut kegemaran anda di pengimbas kod bar. Pernahkah anda terfikir bagaimana kod bar berfungsi? Juga bagaimana sistem komputer di kaunter tersebut dapat membaca kod bar biskut kegemaran anda dan tahu apakah jenama dan harga biskut tersebut.
Apakah itu Kod Bar?
Kod bar adalah satu kaedah untuk memaparkan data dalam bentuk visual agar mudah dibaca oleh mesin atau komputer. Ianya terdiri daripada siri bar selari atau garisan yang mempunyai lebar dan kuantiti yang berbeza. Garisan selari ini kebiasaannya diwarnakan hitam dan mempunyai latar belakang berwarna putih. Nombor 0-9 diwakili oleh kombinasi dan jarak garisan selari tersebut. Lebar dan kuantiti garisan selari ini berbeza bergantung kepada jenis standard kod bar.
Kenapa sistem Kod Bar digunakan?
Jika anda mengusahakan satu kedai runcit, cara paling mudah untuk tahu adakah sesuatu produk telah habis adalah dengan melihat mana-mana ruangan di rak kedai anda yang kosong. Ruang kosong tersebut lalu hanya perlu di stok semula. Namun, cara ini akan mengrurangkan kepuasan pelanggan anda kerana kedai anda asyik kehabisan stok. Untuk mengatasi masalah ini, mungkin ada akan menyimpan catatan berapa jumlah stok barangan yang ada, dan sentiasa mengemas kini setiap kali satu unit barangan telah terjual. Dengan cara ini, anda dapat mengesan jika sesuatu produk akan kehabisan stok dalam masa terdekat dan perlu di stok semula sebelum ia habis.
Walau bagaimanapun, kaedah ini terlalu merumitkan jika anda mempunyai kedai besar yang mempunyai beribu-ribu barang. Penggunaan sistem kod bar di kedai anda akan menyelesaikan masalah ini. Kaunter dikedai anda akan dilengkapi dengan sistem penjualan berkomputer yang mempunyai pangkalan data yang menyimpan maklumat beribu-ribu barangan tersebut. Pengimbas kod bar yang disambung dengan komputer kaunter akan mengimbas kod bar pada barang yang dibeli pembeli dan secara automatik mengemaskini baki unit barangan yang tinggal. Penggunaan sistem kod bar memberi penjimatan masa dan tenaga. Oleh sebab itu pasaraya besar menggunakan sistem kod bar secara meluas.
Standard kod bar global
Terdapat organisasi global yang membangunkan dan mengekalkan sistem maklumat mengenai produk yang terdapat di dalam rantaian bekalan dunia. Organisasi ini dikenali sebagai GS1. Organisasi ini juga memperkenalkan beberapa standard dan jenis kod bar yang dipakai diseluruh dunia. Penjual yang ingin mendaftarkan produk mereka untuk mempunyai kod bar yang unik, boleh mendaftar dengan organisasi ini. Ianya tidak wajib untuk berdaftar di bawah GS1, namun ia amat digalakkan untuk perniagaan yang ingin menjual barangan mereka melalui peruncit utama atau dalam pasaran rantaian bekalan global.
Kebanyakkan peruncit dan pasaran terkenal seperti Amazon, mewajibkan pembekalnya menggunakan standard GS1 untuk memastikan konsistensi kod bar yang unik pada setiap barangan daripada pembekal berbeza di pasarannya. Ini dapat mengelakkan kod bar yang sama daripada pembekal berlainan di dalam satu pasaran. Bayangkan kalau ada dua produk berbeza namun mempunyai kod bar yang sama di dalam kedai yang anda usahakan, mesti pening untuk kenal pasti mana satukan kod bar yang betul.
Jenis-jenis kod bar
Di bawah standard GS1, terdapat beberapa jenis kod bar yang digunakan secara meluas untuk mengenal pasti produk di pasaran. Jenis berlainan bergantung kepada kawasan geografi dan jenis barang yang digunakan. Gambar rajah dan jadual dibawah menunjukkan contoh dan kegunaan jenis jenis kod bar berlainan.
Jenis | Kegunaan |
UPC (Universal Product Code) | Biasa digunakan di Amerika Syarikat. Ia digunakan untuk mengenal pasti produk di tempat jualan. Kod bar terdiri daripada 12 digit dan biasa digunakan di dalam pasaran runcitan. |
EAN (European Article Numbering) | Kod bar jenis ini lebih kurang sama dengan kod bar UPC, namun ia terdiri daripada 13 digit. Ia digunakan di Eropah dan di kebanyakkan negara. |
GS1-128 | Digunakan untuk mengekod maklumat yang lebih terperinci sesuatu produk seperti nombor kelompok, dan lain-lain. Ianya banyak digunakan dalam insudtri penghantaran dan logistik. |
ISBN (International Standard Book Number) | Kod bar yang digunakan untuk mengenal pasti buku dan penerbitan lain. Kod bar ISBN terdiri daripada 13 digit dan dikodkan menggunakan kod bar EAN. Ia digunakan terutamanya dalam industri penerbitandan diperlukan unutk kebanyakan buku yang dijual. |
Jenis kod bar yang banyak digunakan di Malaysia
Di Malaysia, kebanyakan barangan runcit menggunakan sistem kod bar 13 digit EAN-13. Kod bar ini diimbas di kaunter pembayaran ketika pengguna membuat pembelian. Terdapat juga jenis kod bar yang lain digunakan iaitu ITF-14. Kod bar jenis ITF-14 ini adalah sejenis kod bar karton, dimana ia digunakan pada karton 6 atau 12 produk yang mempunyai kod bar EAN-13 yang sepadan. Barkod jenis ini kebiasaannya tidak diimbas di kaunter pembayaran, namun hanya digunakan oleh peruncit untuk tujuan kemaskini inventori.
Bagaimana sistem kod bar berfungsi?
Awal artikel ini kita telah mendefinisikan apakah itu kod bar. Ia merupakan representasi optik agar data mudah untuk diimbas dengan alat pengimbas. Ayuh kita rungkai bagaimana pengimbas kod bar membaca garis-garis halus tersebut dengan laju. Sebelum itu, kita fahamkan dulu bagaimana untuk membaca garis-garis halus pada kod bar.
Cara-cara membaca dan memahami kod bar
Jika anda memandang kod bar dari mata kasar, mesti susah untuk anda fahamkan garis-garis tersebut, mana satu garis mewakili sesuatu nombor yang ada. Sebenarnya mudah sahaja jika anda tahu corak garis yang diwakili setiap nombor seperti yang ditunjuk di gambarajah di bawah. Jika dilihat dengan lebih dekat, setiap digit 0-9 di dalam kod bar diwakili oleh tujuh blok sama saiz. Blok-blok ini diwarnakan dengan watna hitam dan putih untuk memudahkan ianya dibaca oleh mesin pengimbas. Rekaan corak garis pada kod bar ini sangat bijak kerana walaupun ia diimbas dalam keadaan terbalik, ia masih boleh dibaca oleh komputer pengimbas.
Pasti anda perasan juga yang kod bar mempunyai representasi corak garis tersebut yang agak panjang. Ini kerana, ia digunakan untuk menyimpan tiga atau lebih maklumat pada sesuatu kod bar, begantung kepada jenis atau format kod bar tersebut. Contohnya untuk kod bar EAN-13, terdapat empat jenis maklumat yang terdapat pada kod bar, iaitu kod negara, kod pengeluar, kod produk dan kod semak. Gambar dibawah menunjukkan pecahan bahagian-bahagian tersebut pada kod bar.
Kod Negara
Kod negara terdiri daripada dua atau tiga digit. Ianya digunakan untuk mengenal pasti negara bagi pihak yang memberi nombor kod pengeluar. Untuk Malaysia contohnya, kod negara adalah 955.
Kod Pengeluar
Kod pengeluar adalah kod unik yang diberi kepada pengeluar produk oleh pihak berkuasa kod bar untuk sesebuah negara. Kesemua produk yang keluarkan oleh pengeluar yang sama mempunyai kod pengeluar yang sama.
Kod Produk
Kod produk adah kod yang ditentukan oleh pengeluar produk. Mereka bebas untuk meletakkan kod produk yang unik untuk membezakan produk-produk yang dikilangkan oleh mereka, tanpa perlu merujuk kepada badan organisasi kod bar untuk negara tersebut. Ini kerana kod pengeluar yang unik bagi setiap pengilang yang telah dikawal oleh badan organisasi kod bar negara cukup untuk menghasilkan keseluruhan kod bar yang satu-satunya unik. Pengeluar hanya perlu memastikan mereka tidak mengulang kod bar yang sama untuk barangan berlainan.
Kod semak
Kod semak adalah kod tambahan yang digunakan oleh sistem komputer untuk menyemak sama ada kod bar diimbas dengan tepat. Ini kerana terdapat kebarangkalian pengimbas membaca kod bar dengan salah, contohnya berpunca daripada pengimbasan yang terlalu laju, cetakan kod bar yang cacat dan lain-lain. Kod semak ini dikira berdasarkan semua nombor yang ada pada kod bar. Bagaimana komputer pengimbas tahu sama ada nombor pada kod bar diimbas dengan betul adalah dengan cara membuat operasi kiraan matematik kepada kesemua nombor, dan jika jawapan yang diperoleh sama dengan kod semak, kebarangkalian yang tinggi kod bar diimbas dengan tepat.
Berikut adalah cara untuk mengira kod semak.
Contohnya, jika nombor kod bar: 9555091403502
1. Nombor pada posisi genap adalah: 5, 5, 9, 4, 3, 0, dan jumlahkan kesemuanya = 26, didarab dengan 3 = 78;
2. Nombor pada posisi ganjil adalah (kecuali nombor terakhir) : 9, 5, 0, 1, 0, 5, dan jumlahkan kesemuanya = 20, dan ditambah dengan nombor di langkah pertama= 98;
3. Bahagikan 98 dengan 10 menghasilkan 8 sebagai baki.
4. Jika ia bukan kosong, tolak 8 daripada 10 akan menghasilkan 2.
Maka, kod semak adalah 2.
Bagaimana pengimbas kod bar berfungsi?
Tak guna kalau ada kod bar kalau tiada teknologi untuk membacanya dengan pantas. Kerana itulah tujuan asal penciptaan kod bar pada awalnya, iaitu ingin mempercepatkan proses mengenal pasti inventori. Pengimbas kod bar perlu mampu untuk membaca corak belang garis halus hitam putih pada kod bar. Bagaimana pengimbas kod bar membaca garis hitam putih ini adalah dengan memancarkan cahaya laser kepada kod bar. Garis putih akan memantulkan cahaya lebih banyak berbanding garis hitam. Pantulan cahaya ini akan dikesan oleh penderia atau sel fotoelektrik. Sel fotoelektrik adalah satu transducer bertujuan untuk menukarkan tenaga cahaya kepada tenaga elektrik. Pantulan garis putih akan menghasilkan denyutan elektrik dan ini ditafsirkan sebagai ‘1’ manakala garis hitam yang kurang memantulkan cahaya akan dikesan sebagai ‘0’.
Siri data ‘0’ dan ‘1’ ini akan dikesan dan diproses olek litar elektronik mikropengawal sebelum ia dihantar ke komputer. Komputer akan mendapat nombor lengkap pada kod bar. Perisian di dalam komputer akan menggunakan nombor in dan mencari maklumat tentang barangan yang diimbas seperti nama dan harga di dalam pangakalan data dengan sekelip mata.