Kapal Selam: Sejarah dan komponen penting8 min read
Manusia sudah menggunakan kapal sebagai pengangkutan utama untuk merentasi benua sejak berkurun lamanya. Kapal-kapal juga dicipta untuk sentiasa terapung di atas lautan. Hal ini kerana, permukaan di bawah laut mempunyai tekanan yang amat tinggi dan gelap. Manusia juga tidak mampu hidup di dalam laut kerana tiada oksigen untuk bernafas. Oleh sebab itulah, kapal selam telah dicipta. Apakah itu kapal selam?
Kapal selam adalah merupakan kenderaan yang digunakan untuk melakukan operasi bawah lautan untuk jangka masa yang lama. Bentuk rekaan kapal selam kebiasaanya adalah seperti sebuah blok berbentuk silinder dan berwarna hitam. Kebiasaanya ianya digunakan untuk ketenteraan sahaja. Namun, ada juga yang digunakan untuk kajian bawah laut tetapi saiznya hanya sebesar kereta sahaja.
Malaysia juga mempunyai dua buah kapal selam kelas Scorpene dari Perancis. Jadi mari kita lihat apakah sejarah dan komponen binaan untuk kapal selam ini.
Sejarah kapal selam
1) Drebbel
Prototaip kapal selam pertama telah dicipta pada kurun ke-17 oleh seorang pencipta berbangsa Belanda iaitu Cornelius Drebbel. Berdasarkan catatan pada tahun 1620, beliau selalu menyelam sehingga 15 kaki kebawah sungai Thames dan pernah membuat demonstrasi di hadapan King James I dan ribuan rakyat British. Namun, kertas kajian dan rekaan kapal selam beliau masih belum dijumpai sehingga sekarang.
2) Turtle
Prototaip kapal selam yang dinamakan “Turtle” ini telah dicipta oleh David Bushnell ketika era Revolusi Amerika untuk pihak penjajah sebagai senjata rahsia. Kapal selam ini diperbuat daripada binaan kayu serta menggunakan kayuhan pedal untuk menimbulkan serta menenggelamkan kapal itu.
3) Nautilus
Prototaip yang dinamakan “Nautilus” telah direka oleh pencipta yang bernama Robert Fulton semasa beliau bekerja untuk kerajaan Perancis. Kapal sepanjang 21 kaki ini diperbuat daripada logam. Kapal ini dikuasakan dengan tenaga manusia serta empat kipas untuk bergerak di dalam air. Ia juga dilengkapi dengan layar untuk pergerakan atas permukaan dan papan menyelam untuk aktiviti selaman.
4) Sea Devil
Prototaip yang dinamakan “Sea Devil” telah dicipta oleh Wilhelm Bauer pada tahun 1855. Kapal selam ini mempunyai saiz sepanjang 52 kaki dan mampu menampung sehingga 12 orang. Rekaan kapal ini mengguna pakai beberapa teknologi baharu iaitu tangki balast untuk daya apungan yang lebih baik serta bilah kipas yang dikuasai dengan menggerakkan pengisar injakan (treadmill) yang terletak di dalam badan kapal itu.
5) Le Plongeur
Prototaip yang dinamakan sebagai “Le Plongeur” yang direka oleh pegawai laut Perancis bernama Simeon Bourgeois dan Charles Brun. Kapal selam ini mempunyai kepanjangan sehingga 140 kaki dan dikuasai oleh enjin piston udara termampat di dalam tangki. Selain itu, udara tersebut berfungsi untuk membekalkan udara kepada krew serta untuk tujuan mengosongkan tangki balast kapal itu.
6) Ictineo II: 1865
Prototaip yang dinamakan sebagai “Ictineo II: 1865” telah direka oleh seorang pencipta berbangsa Sepanyol yang bernama Narcís Monturiol i Estarriol. Kapal ini telah direka oleh beliau untuk meningkatkan keselamatan pekerja berikutan kematian seorang penyelam skuba pada tahun 1857. Kapal ini adalah sepanjang 46 kaki dan dilengkapi dengan enjin berwap stim yang mampu menghasilkan haba dan oksigen melalui reaksi mekanikal.
7) Argonaut
Kapal selam yang bernama “Argonaut” telah dicipta oleh seorang jurutera Amerika yang bernama Simon Lake pada tahun 1897. Ianya mempunyai ukuran 36 kaki dan dikuasai oleh enjin gasolin yang mencapai sehingga 30 kuasa kusa. Kapal ini telah direka dengan mempunyai roda untuk dipandu di dasar lautan. Selain itu, kapal ini juga disambungkan dengan hos terapung untuk bekalan oksigen serta periskop
8) USS Holland:1898
Kapal selam “USS Holland:1898” telah dicipta oleh jurutera berbangsa Irish pada tahun 1898. Saiz kapal ini adalah berukuran sepanjang 54 kaki dan dilengkapi dengan tiub torpedo dan meriam pneumatik. Kapal ini dikuasai dengan enjin gasoline 4 silinder untuk perlayaran di permukaan dan motor elektrik berkuasa 160 kuasa kuda untuk perlayaran bawah laut. Kapal selam ini telah luas digunakan untuk kegunaan Tentera Laut US.
Komponen binaan kapal selam
1) Badan kapal luaran dan bertekanan
Kebanyakan rekaan kapal mempunyai dua jenis badan iaitu badan kapal luaran dan bertekanan. Badan yang memberikan ruang tempat tinggal, tempat simpan senjata, bilik kawalan dan komunikasi dan bilik-bilik mesin ialah badan bertekanan. Ianya dipanggil sedemikian kerana ia dapat menghadapi tekanan tinggi.
Badan bertekanan ini pula ditutupi oleh badan luaran untuk memberikan laluan air masuk kedalam ruang ketika tenggelam untuk mengabaikan tekanan hidrostatik. Ruang ini dikenali sebagai tangki balast utama atau main ballast tanks (MBTs).
Tangki balast utama
Tangki balast utama berfungsi untuk membenarkan air laut masuk dan keluar melalui injap pada seluruh badan luaran kapal selam itu. Apabila air dibawa masuk, daya apungan akan menjadi negatif seterusnya kapal itu tenggelam. Manakala apabila air dibawah keluar dengan melepaskan udara daripada badan kapal bertekanan ke ruang tangki balast, tekanan udara akan menolak air keluar daripada kapal seterunya terapung kerana daya apungan yang positif.
2) Enjin
Kebanyakan kenderaan darat menggunakan sama ada enjin gasolin atau enjin diesel dimana oksigen diperlukan sepanjang masa untuk pembakaran. Namun, situasi ini sangat berbeza untuk kapal selam kerana ia banyak beroperasi di dalam lautan.
Terdapat dua jenis kapal selam iaitu yang beroperasi dengan enjin diesel-elektrik dan beroperasi dengan tenaga nuklear. Untuk enjin diesel-elektrik, biasanya ia beroperasi secara normal apabila kapal tersebut berada di permukaan untuk mengecaj batteri sehingga penuh. Selepas itu, krew kapal akan menutup enjin dieselnya dan menggunakan bateri untuk pergerakan bawah laut. Kapal selam kelas Scorpene milik tentera laut Malaysia juga menggunakan enjin diesel-elektrik.
Manakala untuk enjin nuklear, kapal tersebut tidak perlu timbul ke permukaan untuk mengecaj namun ia boleh beroperasi di bawah lautan untuk jangka masa yang lama. Kebanyakan kapal selam tentera moden lebih-lebih lagi kuasa besar seperti US dan Rusia menggunakan enjin nuklear walaupun kos pembinaan dia yang amat mahal.
3) Ruang tempat tinggal
Ruang atau bilik ini mempunyai semua keperluan untuk krew seperti tempat tidur, tandas dan sebagainya. Kedudukannya yang berada tepat di bawah komponen layar juga memudahkan krew untuk keluar apabila terdapat kerosakan pada kapal tersebut.
4) Ruang persenjataan dan kawalan
Kesemua sistem kapal seperti navigasi, tembakan senjata, sistem kawalan enjin dan mesin dikawal oleh bilik kawalan dan bilik kawalan senjata. Selain itu, kesemua komunikasi anak kapal atau krew juga dikawal di dalam ruang ini.
5) Ruang jentera utama dan jentera bantuan
Ruang jentera utama dan jentera bantuan mengambil sehingga 1/3 daripada keseluruhan ruang di dalam kapal. Ruang jentera utama mempunyai alternator enjin diesel yang digunakan untuk mengecas bateri, loji penghawa dingin, sistem tekanan udara dan sebagainya. Manakala ruang jentera bantuan pula mempunyai komponen sampingan kepada sistem bateri, sistem penghawa dingin, sistem tekanan udara dan sebagainya.