Apakah itu Maglev3 min read
Evolusi kereta api telah mengalami banyak perubahan sejak ia diperkenalkan pada lewat 1800 an. Pengangkutan ini amat penting untuk mengangkut komoditi dan penumpang ke suatu destinati yang diingini. Daripada kereta api yang menggunakan wap stim sehinggalah kereta api laju yang menggunakan magnet yang dikenali sebagai Maglev. Maglev adalah nama pendek kepada ‘Magnetic Levitation‘. Bayangkan anda mampu bergerak sepanjang 4000 km dalam masa 7 jam sahaja. Pantas bukan?
Boleh klik pada pautan ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah kereta api: https://pakcikengineer.com/sejarah/sejarah-kereta-api-berkelajuan-tinggi-high-speed-rail/
Bukan semua negara mempunyai kepakaran untuk membuat kereta api berkelajuan tinggi ini. Hanya 6 kereta api dengan teknologi Maglev yang beroperasi secara komersial iaitu di Jepun, Korea Selatan dan China. Hal ini demikian kerana teknologi ini tidak menggunakan trek kereta api yang biasa dan menggunakan magnet untuk terapung dan bergerak.
Prinsip Asas Maglev
Rekaan teknologi ini telah bermula sejak 1960 lagi dan juga telah menerima paten pertamanya oleh dua pencipta iaitu James Powell dan Gordon Danby. Konsep rekaan adalah agak ringkas dimana magnet superkonduktor berbentuk U yang terdapat pada trek mengangkat kereta api sehinnga terapung kerana kedua-duanya yang mempunyai kutub yang sama menolak sesama sendiri.
Magnet Superkondukter ialah magnet yang apabila ianya disejukkan pada -232° Celcius, di bawah takat beku mempunyai medan magnetik yang 10 kali lebih kuat berbanding elektromagnet yang lain.
Medan magnetik ini akan berinteraksi dengan gelung besi konduktif seperti aluminium yang dipasangkan pada trek kereta api Maglev ini dan menghasilkan arus elektrik.
Terdapat tiga jenis gelung besi yang diletakkan pada posisi tertentu. Setiap posisi ini mempunyai tugasan yang berbeza iaitu;
- Menghasilkan medan yang membuatkan badan kereta api terapung setinggi 5 inci di atas landasan.
- Membuatkan kereta api stabil sepanjang pergerakan secara horizontal.
- Sistem pendorong yang dikuasai oleh kuasa arus ulang alik.
Posisi pertama dan kedua adalah untuk memastikan kereta api berada dalam posisi optimal. Jika kereta api itu berganjak sedikit, rintangan magnet itu akan menolak kereta api itu kembali ke posisi asal. Manakala untuk yang ketiga pula, kedua-dua daya tarikan dan daya menolak digunakan untuk menolak kereta api bergerak sepanjang landasan. Menghidupkan sistem pendorong dengan kuasa elektrik akan menghasilkan medan elektrik yang akan menarik kereta api ke hadapan dari depan dan menolak ia dari belakang.
Kelebihan berbanding kereta api biasa
Konsep yang berteraskan magnet tergantung menghasilkan perjalanan yang sangat lancar. Hal ini demikian kerana tiada geseran diantara roda dan trek kerana kereta api Maglev itu terapung sepanjang masa. Rekaan dan aerodinamik serta ketiadaan geseran membenarkan kereta api ini bergerak dengan kelajuan yang sangat pantas sehingga 500km/h. Untuk pengetahuan anda, sebuah pesawat komersial Boeing-777 boleh mencapai kelajuan optimum sehingga 905 km/h untuk perjalanan jarak jauh.
Kelebihan Maglev yang seterusnya adalah ianya sangat selamat kerana sumber pergerakannya adalah daripada landasan itu. Selain itu, tiada perlanggaran antara dua kereta api berbeza akan berlaku kerana mereka digerakkan oleh landasan yang sama dengan kelajuan yang sama.
Di samping itu, kereta api berteknologi dan berkelajuan tinggi ini juga tidak akan tergelincir dari landasan kerana magnet yang terdapat di landasan akan menolak kereta api tersebut ke posisi optimal dengan mengguna pakai konsep daya tarikan dan daya menolak dua buah magnet.