Bagaimanakah dandang (boiler) berfungsi?4 min read
Apakah yang dimaksudkan dengan dandang?
Dandang atau panggilan dalam bahasa Inggeris iaitu boiler merupakan salah satu instrumen atau komponen terpenting kepada beberapa industri yang besar. Antara industri tersebut adalah industri minyak dan gas, minyak sawit, penjanaan tenaga, perkayuan dan akhir sekali industri plastik.
Ia adalah satu komponen besar seperti tangki tertutup dimana api dihasilkan untuk memanaskan air yang lalu melalui paip di dalamnya. Api yang dihasilkan itu juga berpunca daripada pembakaran bahan bakar seperti arang atau gas.
Air yang melalui dandang tersebut akan bertukar kepada stim atau wap panas bertekanan tinggi untuk digunakan di dalam pelbagai proses. Antara salah satunya adalah membekalkan haba, stim atau air panas untuk kegunaan domestik.
Selain itu, ia juga berfungsi untuk membekalkan stim panas kepada kenderaan seperti kereta api lokomotiv dan juga kapal untuk menggerakkan enjin.
Jenis-jenis dandang
Tiub air (Water-tube boiler)
Jenis dandang yang pertama ialah dandang tiub air. Dandang ini dilengkapi dengan beberapa komponen penting iaitu relau (furnace), tiub air dan juga saluran keluar untuk gas.
Proses dandang tiub air ini bermula dengan bahan bakar yang dibakar didalam relau seterusnya menghasilkan gas yang sangat panas. Gas panas ini akan menghangatkan air yang melalui didalam tiub.
Air yang melalui tiub ini dibekalkan oleh feedwater drum atau bekalan air suapan. Buat makluman semua, bekalan air suapan juga di pra hangatkan oleh ekzos yang dihasilkan untuk meningkatkan lagi efisiensi dan juga menjimatkan kos.
Partikel air yang dihangatkan akan berkembang seterusnya tekanan juga meningkat. Air panas ini akan kemudian naik dan memasuki steam drum atau gelendong stim. Air yang bergelegak di dalam gelendong ini akan bertukar menjadi stim yang mampat.
Namun, bukan semua air yang bergelegak yang dipanaskan bertukar menjadi stim mampat. Hal ini akan terdapat air yang sejuk lebih-lebih lagi dibawah permukaan gelendong stim.
Air ini akan mengalir kembali ke bekalan air suapan melalui downcomer tubes atau tiub bengkok. Air ini juga akan di pra hangatkan.
Selain itu, stim mampat yang dihasilkan ini akan kembali ke dalam relau untuk menghadapi proses kedua di superheater atau pemanas lampau. Proses ini menjadikan stim mampat bertukar menjadi wap panas lampau.
Perbezaan stim mampat dan wap panas lampau ialah stim mampat mempunyai titisan air manakala wap panas lampau tidak mempunyai titisan air.
Buat pengetahuan anda semua, wap panas lampau ini adalah hasil daripada stim mampat yang dihangatkan lagi oleh pembakaran yang berlaku di dalam relau. Namun, proses ini berlaku atas takat didih berdasarkan tekanan yang telah ditetapkan.
Selain itu, wap panas lampau juga merupakan sejenis gas yang kering dan berperanan penting untuk menggerakkan turbin. Hal ini demikian kerana jika kita menggunakan stim mampat sahaja, kerosakan hakisan pada turbin akan berlaku disebabkan oleh kandungan titisan air.
Kelebihan
- Sesuai untuk stim bertekanan tinggi
- Lebih selamat
- Kerja penyelenggaraan yang senang
- Permukaan luas untuk proses pemanasan
- Peredaran air yang lebih baik
- Penghasilan stim yang cepat
- Efisiensi yang tinggi iaitu sekitar 90%
Kekurangan
- Mahal
- Air yang digunakan mestilah dirawat terlebih dahulu
Tiub api (Fire-tube boiler)
Dandang jenis ini merupakan jenis yang amat popular ketika kurun ke-18. Rekaan dandang ini juga sudah ketinggalan zaman jika dibandingkan dengan dandang tiub air.
Selain itu, kegunaannya pada ketika itu banyak digunakan sebagain enjin kereta api. Kebiasaan penggunaan dandang ini adalah untuk industri kecil-kecilan sahaja.
Dandang ini mempunyai relau yang direka sebagai tiub yang melalui tangki air. Proses ini juga sama seperti yang sebelum ini, iaitu bahan bakar di dalam relau dibakar. Seterusnya, air di dalam tangki besar itu dipanaskan seterusnya bertukar menjadi stim mampat panas.
Ekzos yang dihasilkan oleh relau juga disalurkan keluar daripada tangki air tersebut. Selain itu, dandang jenis ini juga mempunyai penunjuk paras air dan tekanan tolok (pressue gauge) untuk memudahkan operasi.
Kelebihan
- Rekaan yang mudah
- Kos penyelenggaraan yang murah
- Perlukan sedikit sahaja pakar untuk operasi
- Tidak perlukan rawatan bekalan air
Kekurangan
- Efisiensi yang rendah iaitu sekitar 75% sahaja
- Tidak sesuai untuk stim bertekanan tinggi
- Tidak mudah untuk diangkut
- Kemalangan oleh letupan boleh berlaku dengan mudah
3 thoughts on “Bagaimanakah dandang (boiler) berfungsi?4 min read”