Apakah itu IoT? -Internet Pelbagai Benda7 min read

5

Sedar atau tidak, anda mungkin telah memakai produk atau servis yang melibatkan IoT. Sebagai contoh, Apple Watch di tangan anda, lampu pintar Philips Hue di bilik anda dan juga mesin pencetak tanpa wayar di pejabat anda. IoT juga tidak hanya memainkan peranan dalam produk pengguna. Malah, ia memberi impak yang sangat besar dalam industri perkilangan dan lain-lain. Persoalannya, apakah itu yang dimaksudkan dengan IoT?

Apakah itu IoT?

IoT ialah singkatan daripada Internet of Things. Dalam Bahasa Malaysia, ianya dipanggil Internet Pelbagai Benda (IPB). Ianya merupakan jaringan benda fizikal yang dilengkapi sensor atau pengerak, perisian dan teknologi lain yang bertujuan untuk menyambungkan dan bertukar data dengan peranti lain atau sistem melalui Internet.

Cara IoT berfungsi ialah sesuatu objek tersebut akan dilengkapi dengan satu mikropengawal yang boleh disambungkan melalui Internet. Objek tersebut juga mempunyai sensor atau penggerak untuk mengambil data ataupun menggerakkan sesuatu seperti suis geganti dan motor. Objek tersebut akan disambungkan ke platform IoT melalui Internet. Platform tersebut menambil data daripada pelbagai objek (jika terdapat lebih daripada satu objek) dan menganalisa data yang diperoleh. Data tersebut boleh dilihat oleh pemilik melalui telefon pintar atau aplikasi web.

Contohnya, dalam aplikasi rumah pintar, objek tersebut mungkin sensor suhu ruang tamu yang disambung ke satu hub, iaitu penghala Wi-Fi rumah anda. Anda boleh mengakses data bacaan suhu tersebut menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar rumah anda.

Apakah itu IoT?
Dalam IoT, pelbagai peranti mampu disambungkan ke satu hub.

Sejarah IoT

Untuk mengetahui dengan lebih mendalam apakah itu IoT, mari kita mengenal dari mana terma “IoT” berasal. Terma IoT pertama kali digunakan 21 tahun dahulu oleh Kevin Ashton pada tahun 1999. Konsep yang sama telah mula awal lagi pada sekitar tahun 70an dengan terma “pervasive computing” atau pengkomputeran meluas. Beliau ketika itu sedang memberi pembentangan kepada pengurusan kanan syarikat beliau bekerja tetang teknologi baru iaitu RFID. Disebabkan tahun itu Internet menjadi trend, beliau memberi tajuk pembentangan beliau “Internet of Things”.

IoT makin dapat direalisasikan dengan adanya teknologi MOSFET, sejenis transistor yang wujud dalam cip bersepadu kebanyakan telefon pintar, komputer dan mikropengawal. Justeru, cip bersaiz kecil dapat dihasilkan dan membolehkan ianya ditanam dalam pelbagai benda seperti mentol, jam tangan dan sensor-sensor kecil. Saiznya yang kecil juga menyebabkan ia menggunakan tenaga yang sedikit. Penggunaan tenaga yang minimum amat penting dalam IoT kerana objek IoT sering dikuasakan oleh bateri.

Apakah itu IoT?
Pemberi nama “Internet of Things“, Kevin Ashton. Gambar: Avast.com

Kenapa IoT penting?

IoT membolehkan data dikumpul dengan mudah. Banyak data bermaksud keputusan analitik dapat dibuat degan lebih cepat dan tepat kerana gambaran luas terhadap sesuatu proses dapat difahami. IoT juga meningkatkan kualiti hidup manusia. Dengan adanya teknologi ini, tenaga manusia tidak lagi diperlukan untuk membuat kerja yang berulang-ulang dan membosankan. Tenaga tersebut sebaliknya boleh digunakan dalam kerja yang lebih strategik dan memerlukan kretiviti yang hanya ada pada manusia.

Penembusan IoT dalam kehidupan harian kita juga sedang meningkat, Pasaran IoT dalam lobal juga berada dalam landasan untuk mencapai nilai pasaran $520 bilion menjelang 2021. Ini merupakan pertumbuhan sekitar 50% pada setiap tahun sejak 2017. Ini menunjukkan peluang IoT dalam ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak.

Graf perkembanngan IoT dalam pasaran
Pertmbuhan pasaran IoT yang menunjukkan peningkatan dan diramalkan akan terus meningkat. Gambar: Statista

Cabaran dalam pelaksanaan IoT

Masalah pertama yang bermain di fikiran masyarakat adalah berkenaan privasi dan kawalan sosial oleh manipulasi politik. Contoh yang kita boleh lihat ialah seperti negara China, mereka menggunakan teknologi IoT dan pengecaman wajah di tempat awam dan sekolah untuk mengawal perilaku rakyat mereka. Sungguhpun niat kerajaan China baik untuk menghalang rakyat mereka daripada melakukan perkara buruk, tetapi masih menjadi perdebatan hangat adakah beretika untuk memantau gerak geri rakyat pada setiap masa.

Sekuriti pula adalah masalah yang paling mencabar dalam IoT. Dalam dunia globalisasi hari ini, apa-apa yang bersambung kepada Internet, mampu digodam dari jauh. Ini merupakan tanggungjawab pemberi servis IoT untuk menguatkan sekuriti sistem IoT mereka. Contoh yang membuatkan sistem IoT mudah diserang ialah penghantaran data antara peranti yang tidak disulitkan (unencrypted message), suntikan SQL (SQL injection) yang berpunca daripada platform IoT yang tidak kukuh dan kurangnya kemas kini sekuriti.

Peranti IoT yang tidak dijaga dengan betul mampu digunakan oleh penggodam untuk membuat penyerangan kepada sistem lain dalam serangan DDoS (Distributed-Denial-of-Service). Peranti IoT mudah untuk diserang kerana kebisannya, peranti IoT tidak mempunyai sumber komputasi yang besar untuk menggunakan ciri sekuriti seperti tembok api (firewall) dan sistem kripto yang kuat.

Sekuriti siber dalam Revolusi Industri 4.0
Penting untuk menguatkan sekuriti dalam peranti IoT untuk mengelakkan serangan daripada penggodam.

Aplikasi IoT dalam kehidupan

1. Rumah pintar

Lampu pintar, mesin basuh baju pintar, pendigin hawa dan pembesar suara pintar merupakan salah satu produk dalam kategori rumah pintar. Ramai suka menggunakan teknologi pintar ini kerana ianya sangat memudahkan. Bayangkan, anda boleh melihat sama ada mesin basuh baju anda sudah siap mencuci pakaian anda dengan menggunakan telefon pintar dari tempat kerja anda.

Penggunaan IoT dalam rumah pintar
Mesin basuh pakaian yang memudahkan pengguna melihat status pencucian mereka. Gambar: Samsung.com

2. Perubatan dan kesihatan

Perkhidmatan kesihatan konvensional hanya melibatkan lawatan pesakit ke klinik atau ke hospital. Ini mungkin memakan masa pesakit untuk ke hospital jika hnya ingin melakukan rutin pemeriksaan yang singkat. Dengan adanya teknologi IoT, pihak hospital boleh memeriksa keadaan pesakit dari jauh menggunakan teknologi seperti pengesan kesihatan pada pergelangan tangan (wearable band).

IoT dalam perubatan dan kesihatan
Penggunaan IoT membolehkan doktor untuk memantau keadaan pesakit dari jauh.

3. Perindustrian

Penggunaan IoT dalam perindustrian melibatkan teknologi robot dan mesin yang bersambung. Contohnya, syarikat e-commerce terbesar, Amazon menggunakan tentera robotnya untuk memindahkan barang dalam gudangnya. Dengan itu, efisiensi dapat ditingkatkan.

Selain itu, IoT juga digunakan dalam pengurusan tenaga dalam bangunan untuk mengurangkan kos tenaga. Fasiliti perkilangan semamangnya menggunakan tenaga yang banyak untuk menggerakkan mesin-mesinnya. Sebab itulah, pemilik kilang melihat kepada penggunaan IoT untuk menjimatkan kos tenaga. Sensor, penggerak dan mesin disambungkan ke satu tulang belakang untuk memantau penchayaan, HVAC dan sistem keselamatan kebakaran. Data ini juga digabung degan data-data luar seperti cuaca, taarif elektrik dan maklumat kewangan.

Apakah Itu revolusi Industri Keempat
Robot yang digunakan dalam Revolusi Industri 4.0 yang berkomunikasi antara mereka.

4. Pertanian

IoT digunakan dalam pertanian untuk mengawasi keadaan tanah, pengairan, cuaca semasa dan kesihatan ternakan. Contohnya, dengan data kadar kelembapan tanah diperolehi daripada sensor kepada pangkalan data, penyiraman air untuk tanaman boleh diautomasikan tanpa memerlukan penglibatan manusia. Sistem ini dibaikkan lagi dengan penggunaan algoritma untuk mengira kadar kelembapan yang optimum dalam tanah.

Penggunaan IoT dalam pertanian dan agrikultur
Stesen kaji cuaca yang disambungkan kepada sensor-sensor di dalam pertanian. Gambar: Eastern Peak

Konklusi

Kini, kita sudahpun mengetahui apakah itu IoT. Penggunaan IoT dalam kehidupan semakin hari semakin meningkat. Artikel saya sebelum ini juga menerangkan kepentingan IoT dalam tiang utama revolusi inudstri 4.0. Malaysia juga berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil peluang ekonomi yang ada. Cuma, beberapa faktor yang menghadkan pertumbuhan IoT dalam negara seperti kurangnya IoT ekosistem dan kurang standard dalam teknologi IoT pada hari ini. Semoga, negara kita tidak ketinggkalan dalam melaksanakan ekosistem IoT.

Rujukan

https://www.ibm.com/blogs/internet-of-things/what-is-the-iot/

www.wikipediainternetofthings.com

https://mojix.com/internet-of-things-everyday-lives/

https://behrtech.com/blog/6-leading-types-of-iot-wireless-tech-and-their-best-use-cases/

https://iot-analytics.com/internet-of-things-definition/

Tentang Penulis

5 thoughts on “Apakah itu IoT? -Internet Pelbagai Benda7 min read

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *